Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
86) TEMPAT REKREASI KAWASAN HIJAU
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Pelancongan
Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Apakah piawaian yang digunakan oleh kerajaan untuk mewujudkan tempat rekreasi kawasan hijau di kawasan perumahan dan kediaman di Selangor?
Pemakaian Manual Garis Panduan Piawaian dan Perancangan Negeri Selangor yang telah diluluskan oleh Mesyuarat MMKN ke 27/2007 bertarikh 29hb. September 2007
Penyediaan 10% kawasan lapang telah dijadikan syarat bagi setiap pembangunan perumahan baru iaitu seperti berikut :
- Bagi pembangunan berkeluasan 5 ekar dan lebih ATAU pembangunan yang mempunyai 50 unit rumah dan lebih, kawasan lapang minimum yang perlu disediakan ialah sebanyak 10% (tidak termasuk Taman Bandar/Tempatan).
- Bagi pembangunan berkeluasan kurang daripada 5 ekar, kawasan lapang minimum yang perlu disediakan ialah sebanyak 5%.
- Bagi pembangunan berbilang tingkat seperti rumah pangsa, pangsapuri, kondominium, rumah bandar, pangsapuri perkhidmatan, 10 % kawasan lapang perlu disediakan dengan tambahan 50mp bagi setiap unit rumah.
- 30% dari keluasan zon penampan, jalur hijau dan kolam takungan air boleh di ambil kira sebagai sebahagian daripada 10% kawasan lapang.
-
Apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan bagi memastikan bahawa pemaju menyediakan kawasan rekreasi yang mencukupi untuk penduduk setempat?
Pemaju mesti menyediakan 10% kawasan lapang atau yang mana bersesuaian semasa peringkat permohonan kebenaran merancang yang dikemukakan kepada Pihak Berkuasa Tempatan
Langkah seterusnya adalah pelaksanaan arahan pewartaan kawasan lapang.
- Pemantauan berterusan status pewartaan kawasan lapang di 12 Pihak Berkuasa Tempatan oleh Unit Perancangan Ekonomi Negeri.
- Pelaporan status pewartaan kawasan lapang di 12 Pihak Berkuasa Tempatan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor dan Majlis Perancang Fizikal Negara.
(Rujuk Lampiran 1- Jadual Status Pewartaan Kawasan Lapang yang dilaporkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perancang Negeri Bil. 3/2009 pada 16hb. Jun 2009).
- Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Bil. 3/2008.
Bagi kawasan lapang yang tidak mempunyai pelan akui atau kawasan lapang yang terletak di kawasan yang telah dibangunkan tetapi belum diukur atau kawasan lapang yang terletak di kawasan yang telah diluluskan kebenaran merancang, penggunaan pelan pre-comp adalah memadai untuk mempercepatkan proses pewartaan.
(Rujuk Lampiran 2- Pekeliling Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor Bil. 3/2008 yang bertujuan bagi mempercepatkan proses pewartaan kawasan lapang)
-
Apakah rancangan kerajaan bagi mewujudkan lebih banyak tempat rekreasi kawasan hijau di kawasan yang padat dengan penduduk?
Jawatankuasa Perancang Negeri Selangor Bil. 3/2008 yang bersidang pada 20hb. November 2008 telah meluluskan pemakaian dasar-dasar berikut untuk diguna pakai oleh semua Pihak Berkuasa Tempatan di Negeri Selangor:
Pemakaian sasaran 1,000 penduduk / 2 hektar kawasan lapang awam bagi pembangunan perumahan berbilang tingkat.
- Berdasarkan Dasar Perbandaran Negara (DPN 9) iaitu kawasan lapang dan rekreasi yang mencukupi perlu disediakan mengikut keperluan penduduk. Salah satu langkah yang penting adalah menyediakan kawasan tanah lapang awam yang mencukupi melalui pemakaian sasaran petunjuk 1,000 penduduk / 2 hektar tanah lapang awam.
- Cadangan rancangan sasaran 1,000 penduduk / 2 hektar kawasan lapang awam bagi pembangunan perumahan berbilang tingkat ini merupakan salah satu aspek yang dibentangkan dan dipersetujui secara dasar semasa Bengkel Hala tuju Perancangan dan Pembangunan Negeri Selangor 2008-2025 pada 29-30hb. Julai 2008 bertempat di Hotel Quality Shah Alam.
- Sasaran 1,000 penduduk / 2 hektar kawasan lapang awam ini, akan dilaksanakan kepada dua jenis kategori pembangunan perumahan berbilang tingkat seperti berikut :
- Kategori perumahan
Semua jenis perumahan berbilang tingkat iaitu kondominium, pangsapuri dan rumah pangsa.
- Kategori perniagaan
- Pangsapuri perkhidmatan (service apartment)/SOHO.
- Pembangunan pangsapuri perkhidmatan ini akan melibatkan kawalan nisbah plot yang mengehadkan bilangan tingkat.
- Sekiranya konsep penyediaan kemudahan awam di antara tingkat (between floors) digunakan, ianya akan dikecualikan di dalam pengiraan bilangan tingkat berdasarkan nisbah plot.
- Bagi memastikan sasaran ini dapat dipenuhi di dalam pembangunan berbilang tingkat, perkara-perkara berikut boleh diambil kira :
- Pembangunan taman atas bumbung;
- Penyediaan kemudahan awam/ kawasan lapang di antara tingkat bangunan atau di antara dua bangunan (sebahagian daripada keperluan kawasan lapang);
- Tingkat bawah bangunan yang dikosongkan untuk kegunaan komuniti; dan
- ‘Perimeter planting’ minima 10 kaki (termasuk anjakan bangunan, jika berkaitan) disediakan di setiap pembangunan perumahan berbilang tingkat.
- Amalan Perancangan Terbaik
Melalui dasar amalan perancangan terbaik, penyediaan kawasan lapang perlulah memenuhi spesifikasi seperti berikut :
- ‘Accidental open space’ tidak dibenarkan dan kawasan lapang mestilah diletakkan di lokasi yang berpusat.
- Kawasan lapang disediakan secara berpusat di kawasan yang rata, berfungsi dan mengikut hierarki.
- Pencawang elektrik atau sebarang struktur binaan tidak dibenarkan diletakkan di atas kawasan lapang.
- Kawasan lapang yang disediakan mestilah diserahkan kepada kerajaan untuk diwartakan.
- Penyediaan ‘Perimeter planting’ minima 10 kaki bagi tujuan landskap dan teduhan, dan
- Penyediaan lorong selebar 20 kaki bagi binaan yang terletak bersebelahan dengan kawasan lapang.