Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
72) TANAH UNTUK PERTANIAN
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Bertulis
Sub Soalan
-
Adakah pihak Kerajaan Negeri akan membuka tanah untuk diteroka oleh petani-petani bagi menjana ekonomi dan memberi pekerjaan bagi para penganggur?
60% tanah di Selangor telah diberi hak milik dan selebihnya adalah hutan simpan (30%) dan pantai. Sebarang usaha pertanian perlu dijalankan di tanah-tanah yang disewa atau diberi kebenaran oleh pemilik tanah.
-
Apakah bantuan yang diberikan kepada mereka yang ingin memulakan usaha pertanian?
Kerajaan Negeri Selangor menyediakan bantuan dan kemudahan bagi pengusaha yang berminat menceburkan diri dalam bidang pertanian. Bantuan – bantuan yang disediakan melalui Jabatan Pertanian Negeri Selangor adalah seperti berikut:
- Bantuan khidmat nasihat yang dibuat oleh pegawai-pegawai pengembangan yang bertugas di 8 Pejabat Pertanian Daerah.
- Bantuan dari segi pemberian insentif amalan teknologi di mana bantuan dari segi kemudahan infrastruktur ladang (Jalan ladang, perparitan) dan input- input pertanian seperti jentera, alatan pertanian baja dan racun.
Kerajaan negeri pada 2009 telah memperuntukkan sebanyak RM 3.93 juta untuk pembangunan Taman Agroteknologi (TKPM), RM 4.27 juta untuk Pembangunan Tanaman Makanan, RM 0.4 juta untuk memajukan tanaman industri dan RM 0.85 juta untuk pembangunan industri bunga-bungaan dan tanaman hiasan.
-
Adakah dikenal pasti tanaman apa yang mampu memberi pulangan yang baik kepada pengusaha?
Pemilihan tanaman yang sesuai melibatkan banyak faktor penting seperti kesesuaian tanah, keadaan pasaran, modal dan kemahiran. Dasar utama kerajaan negeri adalah menggalakkan pertanian moden diusahakan di mana penggunaan tanah dioptimumkan dengan hasil yang tinggi. Contoh tanaman yang digalakkan adalah seperti penanaman cili dan melon secara fertigasi, cendawan dan florikultur.