Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

45) RANCANGAN PEMBANGUNAN DAERAH SABAK BERNAM

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan apakah pelan perancangan pembangunan yang bakal dilaksanakan di daerah Sabak Bernam bagi tempoh 5 tahun akan datang?

    Perancangan jangka panjang bagi kawasan pembangunan Daerah Sabak Bernam telah disediakan di dalam bentuk Rancangan Tempatan Daerah Sabak Bernam 2002 – 2015 yang telah diwartakan penggunaannya pada Jun 2007.

    Melalui pelan tindakan tersebut, perancangan yang melibatkan zon guna tanah, kajian keperluan kemudahan, corak pembangunan, pelan strategi pembangunan dan garis panduan pembangunan yang di bahagikan kepada 9 zon bagi keseluruhan kawasan Daerah Sabak Bernam telah dirangka sehingga tahun 2015.

  2. Sila nyatakan dengan detail apakah usaha-usaha yang dirangka oleh pihak Kerajaan Negeri bagi menarik lebih banyak pelabur asing dan domestik datang melabur ke daerah Sabak Bernam.

    Terdapat 4 kawasan zon industri di Daerah Sabak Bernam iaitu di Pekan Sekinchan, Sungai Burung Sungai Besar, Sungai Lang Sabak Bernam dan Tebuk Pulai Sabak Bernam. Walau bagaimanapun hanya kawasan industri Sekinchan sahaja yang telah dipenuhi dengan industri dan sebahagian kecil di Sungai Burung. Justeru itu beberapa usaha sedang dan akan dilaksanakan antaranya ;

    • Mempromosikan kawasan Sungai Lang dan Tebuk Pulai sebagai kawasan aktiviti industri perkhidmatan, industri berat, kecil dan sederhana;
    • Program yang berorientasi Business net working atau program temu suai perniagaan akan terus dilaksanakan dari semasa ke semasa.
    • Menganjurkan misi lawatan penggalakan pelaburan dan perdagangan ke luar negara yang berpotensi ; dan
    • Penyertaan syarikat-syarikat dari Selangor dalam pameran yang dianjurkan dalam dan luar negara.

    Justeru dipohon pihak Kerajaan Negeri melalui SSIC serta MIDA untuk membantu pihak Majlis Daerah Sabak Bernam mempromosikan kawasan zon industri di Daerah Sabak Bernam dan juga menyalurkan bantuan peruntukan pembangunan kawasan tersebut.

    Promosi dan pembangunan infrastruktur yang lengkap akan menarik pelabur asing dan domestik untuk melabur di Sabak Bernam.

  3. Selain sektor pertanian dan perikanan, apakah sektor yang berpotensi untuk dimajukan di daerah Sabak Bernam?

    Rancangan Tempatan Daerah Sabak Bernam 2002 – 2015 (RTDSB) mensasarkan antara sektor yang mampu dimajukan dan memberikan pulangan kepada Daerah Sabak Bernam selain daripada pertanian adalah sektor Pelancongan khususnya yang melibatkan sumber air homestay dan produk makanan.

    Namun begitu, RTDSB mencadangkan agar sektor pertanian Sabak Bernam, yang telah menyumbangkan 22% daripada nilai tambah pertanian negeri Selangor wajar diberi nafas baru melalui pemodenan dan pengkomersialan hasil produk yang dijangka akan menjadi nadi pembangunan daerah.

Lampiran

Tiada Lampiran.