Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

25) MENANGANI PENYAKIT BERJANGKIT

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Kesihatan

Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan tempat-tempat berisiko tinggi yang menghadapi serangan wabak penyakit seperti Denggi, Chikukungnya dan lain-lain penyakit yang membawa maut?

    Untuk makluman Yang Berhormat, seluruh Negeri Selangor boleh dianggap berisiko diserang denggi. Walaubagaimana pun, pemantauan harian Jabatan Kesihatan Negeri Selangor mendapati pada 30 Jun 2009, lokaliti-lokaliti berikut telah mengalami wabak denggi melebihi 14 hari. Enam lokaliti dalam daerah Hulu Langat iaitu Seksyen 3 Bandar Sri Putra, Kolej Islam Antarabangsa Bangi, Appt Vista Putra Bandar Sri Putra Bangi, Taman Mega Jaya, Ampang, Taman Putra Sulaiman Ampang dan Taman Ampang Mewah. Tiga lokaliti dalam Daerah Gombak iaitu Taman Sri Gombak Fasa 1, Taman Permata Ulu Klang dan Bt 8 – 10 Jln Gombak.  Dua lokaliti dalam Daerah Petaling iaitu Seksyen U5, Subang Murni dan Kem Paya Jaras.

     

    Pada masa ini Penyakit Chikungunya berlaku secara sporadik dan tiada lokaliti wabak dilaporkan di Negeri Selangor.

  2. Apakah perancangan jangka pendek dan jangka panjang yang telah dirangka untuk menangani jangkitan wabak penyakit ini dan berapa kos yang diperlukan?

    Usaha kawalan dan pencegahan denggi dan Chikungunya yang telah dilaksanakan termasuklah kempen kesedaran denggi kepada masyarakat melalui media elektronik. Kempen melalui media cetak dengan mengedar risalah, poster, kad dan banner mengenai denggi dan cara-cara pencegahan di lokaliti bermasalah.  Hebahan awam dan penyampaian maklumat kepada orang awam juga dilaksanakan melalui bacaan teks khutbah Jumaat di seluruh Masjid di Selangor. Hebahan melalui unit bergerak Jabatan Kesihatan Negeri Selangor dan Pehak Berkuasa Tempatan di lokaliti bermasalah. Maklumat juga disampaikan melalui kaedah bersemuka oleh anggota Jabatan Kesihatan Negeri Selangor semasa memberi nasihat individu, perbincangan kumpulan kecil, dialog dan tunjuk cara. Melaksanakan aktiviti ”mencari dan memusnah” tempat pembiakan nyamuk dan aktiviti semburan kabus untuk setiap notifikasi denggi dan chikungunya yang diterima. Melaksanakan ”operasi basmi aedes” pada hujung minggu, dilokaliti wabak demam denggi atau chikungunya yang berpanjangan melebihi 14 hari. Mengerakkan penduduk untuk mengadakan gotong royong secara berkala memusnahkan tempat pembiakan nyamuk di rumah dan kawasan sekeliling.

     

    Langkah jangka panjang termasuk mengwujudkan inisiatif komuniti seperti ”COMBI” dan ”Skuad Denggi” di lokaliti berwabak dimana penduduk tempatan menjalankan aktiviti ” mencari dan memusnah” tempat pembiakan nyamuk di dalam dan di persekitaran rumah masing-masing.

  3. Apakah langkah-langkah pencegahan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri bagi mengelakkan jangkitan wabak dari luar menular di negeri ini seperti influenza A H1N1?

    Langkah pencegahan berikut telah dilaksanakan iaitu mewajibkan pelawat mengisi borang pengisytiharan kesihatan dan menjalani saringan suhu badan. Mewajibkan operator penerbangan menyediakan topeng muka bagi penumpang yang mengalami gejala influenza A termasuk 3 orang penumpang di depan, di belakang, di kanan dan kiri.

Lampiran

Tiada Lampiran.