Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

262) MEMPERKAYAKAN SEMULA TULISAN JAWI

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Hal Ehwal Islam

Adun: Y.B. Tuan Mat Shuhaimi Bin Shafiei

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah rancangan yang ada di pihak Kerajaan Negeri bagi menjamin keberlangsungan dan kepopularan tulisan jawi di kalangan rakyat berbilang kaum di negeri ini?

    Menjalankan kerjasama bersama Perbadanan Adat Melayu dengan merancang dan merencanakan agenda serta inisiatif untuk mempopularkan tulisan jawi di Selangor secara berkekalan dan berterusan.

    1. Merancang bagi mewajibkan satu artikel tulisan jawi dalam mana-mana penerbitan di setiap jabatan negeri Selangor.
    2. Menggunakan tulisan jawi pada nama-nama jalan di Bandaraya Shah Alam sebagai projek perintisan bersama tulisan rumi dengan kerjasama pihak MBSA sebelum ianya diperluaskan ke lain-lain pihak PBT.
    3. Melaksanakan program tahunan seperti mengadakan pameran khas serta aktivitiaktiviti sampingan meliputi kuiz, pertandingan menulis tulisan jawi, bengkel belajar tulisan jawi, kelas tulisan jawi secara percuma dan lain-lain berkaitan tulisan jawi dengan kerjasama JAIS, MAIS dan Perbadanan Adat Melayu.
  2. Adakah pihak-pihak PBT di negeri ini mempunyai rancangan untuk memartabatkan tulisan jawi di papan-papan tanda yang diwujudkan di bawah bidang kuasa PBT-PBT tersebut?

    Sesetengah PBT telah pun mengguna pakai tulisan jawi pada papan tanda nama jalan seperti Majlis Bandar raya Shah Alam. Setakat ini Kerajaan Negeri lebih menumpukan kepada pendidikan di peringkat sekolah dan perkara ini akan diteliti semula oleh Kerajaan Negeri.

  3. Apakah pula perancangan strategik di pihak Adat-adat Melayu dalam usaha memartabatkan tulisan-tulisan jawi itu?

    Antara perancangan strategik Perbadanan Adat Melayu dalam usaha memartabatkan tulisan-tulisan jawi adalah seperti berikut:

    1. Seni Khat dan Seni Lukis adalah sebahagian daripada aspek Seni Rupa dan Seni Hias yang melengkapkan kewujudan Warisan Kesenian. Seni Khat ini dilukis, diukir (dalam seni ukiran) disulam (dalam seni tekat benang emas) malah telah mencipta ciri khas Melayu melalui perkembangan abjad jawi Melayu. Oleh yang demikian, Perbadanan Adat Melayu telah merancang dan mengesyorkan untuk memartabatkan Seni Khat sebagai alat penyampai maklumat dengan menggunakan papan tanda, papan nama jalan dan perniagaan khususnya di jabatan milik kerajaan, bangunan pendidikan, budaya dan Institusi Melayu-Islam.
    2. Selain itu, Seni Khat dan Tulisan Jawi akan dijadikan sebagai wadah utama untuk diluaskan dalam bidang pendidikan sama ada di kelas-kelas Agama mahupun sekolah kerajaan.
    3. Mempelbagaikan persembahan seni khat gabungan unsur seni lukis dan abjad jawi untuk menampilkan ciri-ciri hias Selangor. Ini dilakukan bersama kelas pendidikan Seni Khat dan Seni Lukis yang berterusan.
    4. Mewujudkan pusat-pusat kegiatan dan seterusnya menaik taraf menjadi galeri sebagai wadah kegiatan tulisan jawi dan Seni Khat dengan membuat pertemuan, menghimpun para seniman dan mengadakan pameran dari masa ke masa.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.