Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
249) PEJABAT TANAH DAERAH PETALING
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Puan Hannah Yeoh Tseow Suan
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Mengapakah Pejabat Tanah Daerah Petaling di SS16 Subang Jaya perlu berpindah?
Kompleks Pejabat Tanah Daerah Petaling di SS16 Subang Jaya perlu
berpindah mengambil kira:-
- Keperluan Jabatan-jabatan Negeri Dan Persekutuan Untuk Berada Di Bawah Satu Bumbung
Pejabat sedia ada telah menyediakan banyak ruang bagi setiap jabatan akan tetapi dengan kepesatan pembangunan negara maka permintaan ruang baru untuk jabatan-jabatan tertentu pada peringkat Negeri dan Persekutuan telah bertambah dan memaksa perkongsian ruang yang terhad di dalam bangunan yang agak kecil jika dibandingkan dengan jabatan-jabatan yang terdapat di sini. Oleh itu, keperluan bagi berpindah ke kawasan yang lebih luas serta keperluan bangunan yang lebih besar adalah amat kritikal dan memerlukan tindakan yang drastik. Jabatan-jabatan yang ketika ini terletak di luar Kompleks sedia ada seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Petaling, Jabatan Penerangan Daerah Petaling, Pejabat Pemadam Daerah Petaling, Pejabat Rela Daerah Petaling, Jabatan Kerja Raya Daerah Petaling dan Jabatan Pengairan dan Saliran Daerah Petaling dicadangkan akan diletakkan di bawah satu bumbung untuk memudahkan orang ramai membuat urusan.
- Keperluan Ruang Kerja Yang Bertambah
Pejabat Daerah Petaling yang sedia ada di Subang Jaya dengan keluasan 11,398 meter persegi tidak lagi mampu untuk menampung bilangan kakitangan dan perkakasan baru yang bertambah mengikut peredaran masa. Ini menyebabkan persekitaran pejabat menjadi kurang selesa dan secara tidak langsung mewujudkan satu suasana yang tidak kondusif untuk bekerja. Ruang-
ruang yang sepatutnya dijadikan tempat yang confidencial telah diambil alih oleh ruang-ruang untuk menampung kepadatan kakitangan.
- Keperluan Bekerja Di Bangunan Baru Yang Mempunyai Ciri-Ciri ‘Smart Building’
Usia bangunan dan perkakasan pejabat boleh dikatakan agak lama dan sesetengahnya tidak boleh digunakan lagi. Kekurangan ini boleh menyebabkan mutu perkhidmatan yang diberikan kurang memuaskan dan membebankan kakitangan dan orang ramai yang berurusan dengan Pejabat Daerah. Masalah kelewatan juga sering kali dikautkan dengan kelemahan dari segi aspek perkakasan dan suasana kerja yang tidak memberangsangkan. Maka sebuah bangunan yang dilengkapi dengan ciri-ciri ‘smart building’ amatlah diperlukan untuk mengatasi masalah-masalah yang timbul demi mencapai visi ‘Selangor Maju 2005’.
-
Siapakah yang telah meluluskan transaksi pindah milik ini?
Kerajaan Negeri melalui Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (MMKN) Ke 14/2004 bertarikh 12 Mei 2004 telah meluluskan secara penswastaan pembinaan Kompleks Pejabat Daerah/Tanah Petaling yang dilaksanakan oleh Syarikat Gapurna Builders Sdn. Bhd. Perjanjian penswastaan telah ditandatangani di antara Kerajaan Negeri dengan Syarikat Gapurna Builders Sdn. Bhd. pada 22 September 2006 sebagai tanda persetujuan mengenai syarat dan terma yang perlu dipatuhi oleh syarikat dan Kerajaan Negeri dalam pelaksanaan syarat pulangan in-kind
-
Sila berikan butir-butir seperti harga penjualan, nama pembeli dan pengarah yang terlibat, syarat-syarat duluan
- Maklumat mengenai Syarikat Gapurna Builders Sdn. Bhd. yang melaksanakan pembinaan Kompleks Pejabat Daerah/Tanah Petaling adalah:-
- a) Ahli Lembaga Pengarah
- Bhg. Dato’ Mohamad Salim bin Fateh Din
- Bhg. Datin Yasmin binti Mohamed Ashraff
- Modal Berbayar adalah RM1,000,000.00.
- Modal Dibenarkan adalah RM5,000,000.00
Kaedah pelaksanaan projek ini adalah melibatkan land swapping yang meliputi tanah di Kompleks Pejabat Daerah/Tanah Petaling sedia ada seluas 3.04 ekar dan tanah perumahan kuarters kerajaan seluas 1.1 ekar. Jumlah keluasannya adalah 4.14 ekar. Dalam pelaksanaan projek ini, Kerajaan Negeri bersetuju seperti berikut:-
- Luas Tanah Yang Diserah Kepada Syarikat Gapurna Builders Sdn. Bhd.:-
BIL. LOT KELUASAN 1. Lot 50700, Jalan Kemajuan SS16/1, Subang Jaya, Petaling yang merupakan tapak Pejabat Daerah/Tanah Petaling sedia ada. 3.04 ekar 2. Lot 12458, Lot 12666, Lot 12671, Lot 12672, Lot 12673, Lot 12674, Lot 12675, Lot 12677, Lot 12678 dan Lot 12679 di Jalan SS19/2, Subang Jaya, Petaling yang merupakan tapak kuarters Pejabat Daerah/Tanah Petaling. 1.1 ekar Jumlah 4.14 ekar - Luas Tanah Kerajaan Bagi Pembangunan Pejabat Daerah/Tanah Baru Adalah:-
BIL. LOT KELUASAN 1. Lot 37026 di Seksyen U5, Mukim Sungai Buloh, Daerah Petaling, Selangor 11.19 ekar Jumlah 11.19 ekar Dalam pelaksanaan projek ini, Kerajaan Negeri bersetuju menyerahkan tanah-tanah ini kepada pihak Syarikat Gapurna Builders Sdn. Bhd. dengan syarat syarikat dikehendaki membina dahulu Kompleks Pejabat Daerah/Tanah Petaling.
Pembinaan kompleks ini adalah mengikut konsep Design And Build di mana kos pembinaan kompleks tersebut pada ketika itu berjumlah RM24.6 juta. Nilaian ini adalah berdasarkan kepada Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) yang telah membuat penilaian tanah-tanah yang akan diserahkan kepada pihak syarikat. Nilaian RM24.6 juta yang diberikan oleh pihak JPPH merupakan nilai yang bersamaan dengan keluasan tanah seluas 4.14 ekar.
JAWAPAN DARIPADA PTD PETALING
- Ini adalah keputusan Kerajaan Negeri yang dibuat pada tahun 2004 melalui MMKN Bil 31/2004 yang bersidang pada 15 Disember 2004.
- Ini tidak melibatkan proses pindah milik kerana tanah yang terlibat masih merupakan tanah kerajaan ketika ianya berlaku. Oleh yang demikian pemberimilikan tanah di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara adalah terpakai. Pemberimilikan ini telah diluluskan oleh Kerajaan Negeri melalui MMKN 17/2006 bertarikh 2 Ogos 2006.
- Ini tidak melibatkan transaksi jual beli tetapi pemberimilikan tanah di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara. Oleh yang demikian Tetuan Gapurna Builders Sdn Bhd dikehendaki membayar premium dengan kadar nominal iaitu RM 1,000.00 bagi Kompleks Pejabat sedia ada dan RM 100.00 bagi setiap unit kuarters kediaman.
- Dato’ Mohamad Salim Bin Fateh Din
- Datin Yasmin Binti Mohamed Ashraff
MAKLUMAT TAMBAHAN :
Kertas Cadangan Pembangunan Secara Penswastaan Pejabat Tanah dan Daerah Petaling dibawa oleh Unit Perancang Ekonomi (UPEN) untuk taklimat di dalam Mesyuarat EXCO MTES Bil 21/2004 yang telah diluluskan secara dasar oleh MMKN Bil 31/2004 yang bersidang pada 15 Disember 2004.
Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK ke 17/2006) YANG bersidang pada 2 Ogos 2006 dan disahkan oleh MMKN (MMK ke 18/2006) pada 9 Ogos 2006 telah meluluskan pemberimilikan tanah secara penswastaan (Land Swapping) berserta syarat-syarat terperinci bagi Lot 50700, (Kompleks Pejabat Tanah sedia ada) dan 10 buah kuarters kediaman iaitu Lot 12458, 12666, 12671, 12672, 12673, 12674, 12675, 12677, 12678 dan 12679 di Bandar Subang Jaya kepada Gapurna Builders Sdn Bhd.
Pemberimilikan tanah di bawah Seksyen 76 Kanun Tanah Negara untuk Kompleks Pejabat Kerajaan sedia ada dan 10 buah lot kediaman kuarters ini adalah secara Land Swapping di bawah konsep penswastaan yang diselaraskan oleh UPEN di mana sebagai balasan balik Tetuan Gapurna Builders Sdn Bhd akan membangunkan Kompleks Pejabat Tanah Daerah Petaling yang baru di Seksyen U5, Mukim Sg. Buloh, Daerah Petaling. Hampir 90% pejabat baru telah siap dibina. Tetuan Gapurna Builders Sdn Bhd akan membangunkan Kompleks Pejabat yang baru dengan spesifikasi dan kos yang dipersetujui bersama pihak Kerajaan Negeri.
Di dalam Perjanjian Penswastaan yang ditandatangani di antara Kerajaan Negeri Selangor dan Tetuan Gapurna Builders Sdn Bhd telah bersetuju bahawa Tetuan Gapurna Builders Sdn Bhd akan membina Kompleks Pejabat Tanah dan Daerah Petaling yang baru di Seksyen U5, Mukim Sg. Buloh dengan kos pembinaan tidak melebihi Ringgit Malaysia Dua Puluh Empat Juta dan Enam Ratus Ringgit Sahaja (RM 24,600.000.00).