Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
247) MASALAH LINTAH DARAT
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Phillip Tan Choon Swee
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Masalah lintah darat semakin hari semakin serius. PBT di Negeri Selangor telah mengambil tindakan dengan merampas sepanduk-sepanduk lintah darat, tetapi nampaknya tidak berkesan. Apakah tindakan yang akan diambilkan oleh PBT Negeri Selangor seterusnya, untuk menangani masalah sepanduk lintah darat?
Untuk makluman, lesen pemberi pinjaman wang terletak di bawah Akta Pemberi Pinjaman Wang 1951 dan dikawal selia oleh pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT). Oleh sebab itu PBT mempunyai kuasa yang terhad untuk bertindak menghalang masalah ini dari sumber asalnya iaitu syarikat pemberi pinjaman wang. Jika syarikat – syarikat ini dapat ditutup dan lesennya dirampas, maka kuranglah masalah sepanduk-sepanduk haram. Perkara ini telah pun dimaklumkan kepada pihak KPKT dan sehingga mereka menggariskan peraturan atau keputusan yang terbaru, PBT akan terus menjalankan operasi menurunkan sepanduk-sepanduk ini. Lanjutan daripada itu pihak Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan telah memaklumkan bahawa satu keputusan di peringkat pusat melalui Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Pengaduan Awam (JKTPA) Bil 2/2009 pada 7 Mei 2009 yang dipengerusikan oleh Y.Bhg Ketua Setiausaha Negara telah memutuskan bahawa PBT hendaklah mengemukakan maklumat mengenai nombor telefon yang dipaparkan pada iklan-iklan haram di tempat/kemudahan awam kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) untuk tindakan pembatalan talian telefon.
-
Bagaimanakah kerajaan bekerjasama dengan pihak polis untuk menangani masalah lintah darat?
Pihak Polis sentiasa memantau dan mengambil tindakan ke atas kegiatan Ah Long yang didapati melakukan kesalahan jenayah dalam menjalankan perniagaan mereka. Orang ramai yang terlibat dan diganggu oleh Ah Long di saran supaya melaporkan perkara tersebut untuk diambil tindakan oleh pihak Polis. Kerjasama yang bakal dijalankan adalah menerusi dialog bersama penduduk di mana pihak polis akan menerangkan kepada penduduk berhubung tindakan yang boleh dilakukan oleh mereka yang terlibat dengan Ah Long.