Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

204) PUSAT RAWAT DAN REHAT (R&R)

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan bilakah pihak Kerajaan Negeri akan membina sebuah kawasan Rawat dan Rehat (R&R) di Jalan Persekutuan 5 peringkat daerah Sabak Bernam dan nyatakan apakah matlamatnya

    Pihak Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) telah membuat permohonan di dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negeri (MTES) Bil. 14/2009 pada 22hb. Mei 2009 yang lalu. Perkara tersebut juga telah di kemukakan dalam Cabutan Kertas Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri ke 17/2009 bertarikh 27hb. Mei 2009 dan di sahkan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Ke 18/2009 pada 3hb. Jun 2009 yang lepas.

     

    Kerajaan Negeri secara dasarnya telah mempersetujui untuk membina sebuah pusat pembangunan Rehat dan Rawat (R&R) di Jalan Persekutuan Kuala Selangor – Teluk Intan dibangunkan di Ladang Air Manis, Mukim Panchang Bedena, Daerah Sabak Bernam. Pembangunan projek ini akan dilaksanakan oleh PNSB.

     

    Sehubungan itu pembinaan akan dilaksanakan setelah kajian terperinci dilakukan oleh pihak Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB). Walau bagaimanapun, Pihak Majlis Daerah Sabak Bernam telah menyediakan kertas cadangan pembangunan R&R  ini untuk maklumat dan panduan lanjut pihak PNSB.

    Matlamat pembinaan projek ini adalah ;

    1. Menyediakan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) untuk kemudahan dan keselesaan kepada pengguna jalan raya terutama melibatkan perjalanan yang jauh.
    2. Menyediakan ruang-ruang lantai perniagaan dalam usaha memberi peluang kepada penduduk tempatan terlibat dalam sektor perniagaan misalnya restoran, kedai serbaneka dan lain-lain.
    3. Mengurangkan risiko kemalangan dan keselamatan pengguna jalan raya.
    4. Menyediakan kemudahan asas dan interaksi sosial.
    5. Mensasarkan sifar peletakan kenderaan berat di tepi laluan persekutuan di sepanjang laluan.
  2. Sila nyatakan berapakah keluasan tanah dan anggaran kos untuk pembinaan R&R tersebut

    Bagi tujuan pembangunan pusat R&R tersebut, lokasi yang dipersetujui dan diluluskan oleh Kerajaan Negeri adalah di Ladang Air Manis, Sabak Bernam yang melibatkan Lot 20029 seluas 4.98 ekar. Walau bagaimanapun, mesyuarat telah bersetuju untuk menyerahkan segala urusan pembangunan kepada pihak PNSB. Sehubungan dengan itu, tiada peruntukkan atau anggaran kos dibuat bagi tujuan tersebut. Kos pembangunan hanya akan ditentukan oleh PNSB kelak setelah mengambil kira cadangan pembangunan.

  3. Sila nyatakan pihak manakah yang dipertanggungjawabkan untuk membina R&R tersebut.

    Kerajaan Negeri telah memutuskan untuk menyerahkan pembangunan tersebut oleh Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB).

     

Lampiran

Tiada Lampiran.