Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
192) DASAR PEMUTIHAN GERAI DAN PREMIS-PREMIS PERNIAGAAN TIDAK SAH
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Tuan Haji Saari Bin Sungib
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Bagi pemutihan kawasan-kawasan setinggan, kerajaan tidak meruntuhkan rumah-rumah setinggan sehingga ada tempat-tempat kediaman bagi memindahkan penduduk terlebih dahulu. Bagi gerai-gerai dan premis-premis perniagaan tidak sah yang telah sedia wujud sebelum 8 Mac 2008. Adakah dasar yang sama tidak boleh dilaksanakan oleh kerajaan, iaitu kerajaan mewujudkan tempat-tempat perniagaan yang sesuai terlebih dahulu sebelum mengusir dan merobohkan gerai-gerai dan premis-premis tersebut?
Kerajaan Negeri masih mengamalkan dasar yang sama di mana gerai-gerai tidak sah tidak akan dirobohkan sewenang-wenangnya. Tindakan yang diambil oleh Kerajaan Negeri ialah dengan menawarkan gerai-gerai PBT yang masih kosong untuk dimasuki oleh peniaga-peniaga terlibat. Manakala bagi gerai-gerai yang berada di lokasi yang bersesuaian, PBT akan mengeluarkan permit sementara untuk mereka terus berniaga sehingga tapak gerai yang sesuai disediakan kepada mereka.
Walau bagaimanapun terdapat pemilik–pemilik gerai tidak sah ini berdegil dan terlalu memilih lokasi gerai yang ditawarkan oleh PBT. Keadaan ini menyukarkan PBT untuk menyediakan ruang niaga yang sesuai kepada mereka dan kadangkala gerai mereka terpaksa dirobohkan kerana lokasi mereka tidak sesuai dan menghalang lalu lintas serta menimbulkan kacau ganggu kepada penduduk lain.
-
Apakah tidak diwujudkan senarai kategori kedai-kedai dan premis-premis perniagaan tersebut menurut kadar berat ringan pelanggarannya terhadap syarat dan peraturan di PBT masing-masing?
Semua kedai, premis dan penjaja di Selangor termaktub di bawah Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan & Perindustrian, Undang-undang Kecil Penjaja 2007 dan Undang-undang Kecil Pengendali Makanan 2007 (jika ia berkaitan dengan perniagaan berasaskan makanan) dan UUK lain yang berkaitan di mana ia mewajibkan semua aktiviti perniagaan dilesenkan dan sebarang pelanggaran syarat adalah satu kesalahan. Di dalam UUK ini tidak dinyatakan kategori yang membolehkan PBT memberi pertimbangan berat ringan perlanggaran terhadap syarat-syarat dan peraturan di PBT masing-masing. Semua tindakan yang diambil adalah berlandaskan peruntukanperuntukan di dalam UUK yang telah diwartakan dan dikuatkuasakan.
-
Adakah Kerajaan Negeri mempunyai rancangan untuk memberi sumbangan kepada PBT-PBT dalam program pemutihan gera-gerai dan premis-premis seperti ini?
Pada masa ini Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk memberikan sumbangan kepada PBT untuk program pemutihan gerai-gerai tanpa kebenaran. PBT diminta untuk menempatkan peniaga-peniaga tanpa kebenaran ini di gerai-gerai PBT yang masih kosong atau pun mendirikan gerai-gerai baru dengan menggunakan peruntukan Majlis atau sumbangan daripada pemaju.