Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
189) PEMBANGUNAN PERINDUSTRIAN HERBA DARI NEGERI SELANGOR
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Kesihatan
Adun: Y.B. Dato' Subahan Bin Kamal
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan Negeri Selangor untuk meningkatkan dan mempromosi industri herba Negeri Selangor di luar negara.
Pada masa ini Kerajaan Negeri Selangor melalui anak syarikatnya iaitu Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS) lebih menumpukan kepada aktiviti industri hiliran dalam industri herba (proses produk). Ini adalah disebabkan keluasan kawasan penanaman pokok-pokok herba adalah terhad dan bersaiz kecil. PKPS melalui anakanak syarikatnya iaitu Polens (M) Sdn. Bhd. Dan Premium Bio Herbs Sdn. Bhd. lebih menumpukan kepada pengeluaran produk siap dengan memastikan tahap kualiti yang tinggi dengan penggunaan mesin-mesin pemprosesan yang berteknologi tinggi. Dalam masa yang sama juga produk herba yang berasaskan tongkat ali telah memulakan operasi peringkat awal di Pulau Indah yang menggunakan teknologi nano.
Dari segi mempromosikan produk herba pula, PKPS telah pun menyertai beberapa ekspo-ekspo antarabangsa seperti MIHAS 2008 dan juga pernah menyertai pameran Indonesia Halal Exhibition & Global Halal Summit 2008 di Kartika Expo Center Balai Kartini, Jakarta, Indonesia. Di samping itu juga, promosi melalui televisyen juga pernah dilakukan sebelum menumpukan promosi melalui akhbar pada ketika ini.
-
Berapakah jumlah perdagangan dalam industri herba ke luar negara dari negeri Selangor yang dikenal pasti bagi tempoh 3 tahun yang lepas.
Dalam tempoh 3 tahun yang lepas, produk herba dari Negeri Selangor PKPS lebih menumpukan kepada pasaran domestik. Walau bagaimanapun usaha-usaha sedang giat dijalankan bagi mendapatkan peluang untuk mengeksport produk herba ke luar negara dan yang terkini ialah usaha untuk mengeksport produk herba tongkat ali ke Negara Korea Selatan yang masih lagi di peringkat percubaan.
-
Bagaimanakah kerajaan akan membantu pengeluar-pengeluar produk herba tempatan untuk mencari peluang-peluang perdagangan di luar negara
PKPS melalui anak syarikatnya POLENS (M) Sdn. Bhd. (POLENS) menyediakan khidmat memproses produk-produk berasaskan madu lebah dan herba untuk pasaran. Pengusaha-pengusaha herba telah menggunakan kemudahan pembungkusan produk dalam bentuk kapsul, tablet dan sachet yang ada di POLENS sebelum memasarkan produk-produk mereka.
POLENS juga boleh membantu pengeluar-pengeluar berkenaan dalam pengurusan pendaftaran produk makanan kesihatan dan herba tradisional dengan Biro Pengawalan Farmasutikal Kebangsaan (BPFK) dan juga pendaftaran untuk pensijilan HALAL dan JAKIM.