Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

185) PENDIDIKAN BELIA NEGERI SELANGOR

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Pendidikan

Adun: Y.B. Tuan Ng Suee Lim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila nyatakan apakah langkah dan usaha yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri dalam memastikan para belia mendapat pendidikan peringkat rendah dan menengah

    Terlebih dahulu ingin dijelaskan bahawa merujuk kepada Seksyen 2,Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007, belia adalah masyarakat yang berumur tidak kurang 15 tahun dan tidak lebih 40 tahun. Oleh yang demikian, tiada golongan belia yang akan terlibat dengan pendidikan sekolah rendah.

     

    Fokus kerajaan Negeri di dalam memastikan golongan belia mendapat pendidikan di peringkat menengah ialah fokus kepada peningkatan pencapaian akademik yang boleh melayakkan mereka untuk menyambung pengajian ke peringkat yang tertinggi.

     

    Sehubungan itu, Program Tuisyen Rakyat dilihat adalah di antara mekanisme bagi mempastikan belia mendapat pendidikan di peringkat  menengah. Selain itu, di dalam program SPIES Belia, pengisiannya adalah lebih kepada pembinaan keyakinan dan pembentukkan pemikiran yang lebih positif untuk mereka lebih berdaya saing dan maju di dalam kehidupan mereka.

     

    Selain itu Kerajaan Negeri, turut memberi tumpuan kepada pendidikan bagi golongan berlia yang ”dropped out”,dengan memperkasakan Institusi-Institusi Kemahiran Yayasan Selangor dan Kolej Antarabangsa Inpens dari aspek infrasturktur dan kemudahan pembelajaran di institusi-institusi tersebut.

  2. Sila nyatakan berapakah ramai belia-belia yang tidak dapat menamatkan pendidikan menengah dan huraikan apakah puncanya?

    Menurut Jabatan Pelajaran Selangor dan Bahagian Pendidikan Jabatan  Agama Islam Negeri Selangor, tiada terdapat pelajar yang tidak dapat menamatkan pendidikan menengah mereka di negeri Selangor. Namun begitu pihak Kerajaan Negeri kini sedang berusaha mendapatkan data  tersebut dari pelbagai pihak, seperti NGO, Pertubuhanpertubuhan dan Individu.

  3. Sila nyatakan apakah perancangan Kerajaan Negeri untuk menjadikan Negeri Selangor sebagai hub ilmuan dan apakah faedah kepada para belia?

    Perancangan Kerajaan Negeri untuk menjadikan Negeri Selangor sebagai hub ilmuwan dan apakah faedah kepada para belia, antaranya terkandung di dalam Program Jejak Ilmuwan. Di dalam Program Jejak Ilmuwan terdapat sub Program seperti berikut :

    1.              Program Jejak Ilmuwan 
    • Program Jelajah Ilmuwan

    Program Jelajah Ilmuwan adalah merupakan program di mana, Ilmuwan Selangor akan dibawa ke seluruh Negeri Selangor untuk berkongsi rahsia kejayaan mereka bersama para pelajar.  Dengan  perkongsian ini, Selangor akan dilihat sebagai satu-satunya Negeri yang begitu serius mendekatkan Ilmuwan yang ada di Negeri  Selangor dengan rakyat. Malah perkongsian ini juga akan melibatkan pihak JKK, ibu bapa para pelajar dan  guru-guru sekolah.

    Faedah kepada golongan belia adalah dari aspek pendedahan awal dan pendedahan secara langsung kepada golongan Ilmuwan ini akan memberi semangat dan motivasi kepada golongan belia ini untuk lebih mencintai ilmu dan berlumba-lumba mencari ilmu.

    Selain itu di dalam program ini turut disediakan Meja IPT di mana para belia boleh mendapatkan maklumat berkenaan peluang-peluang untuk menyambung pengajian di dalam IPT Negeri Selangor seperti UNISEL, KUIS, INPENS dan IKYS .

    • Program Permentoran IPT Selangor

    Program ini yang juga dikenali sebagai “ buddy system” , di mana belia yang belajar di Unisel dan KUIS akan digandingkan  dengan mentor  dalam bidang masing-masing, semata-mata untuk mendapatkan bimbingan akademik dan perancangan kerjaya dari pensyarah-pensyarah dari IPT Selangor dan IPT-IPT lain di sekitar Lembah Kelang.

    • Hari Ilmu Negeri Selangor.

    Hari ilmu Negeri Selangor adalah merupakan program berbentuk “ karnival Imu” di mana di dalam program  tersebut, semua informasi yang berkaitan ilmu akan dipamerkan di dalam program tersebut, seperti pameran  IPTA/IPTS yang berada di Negeri Selangor, permainan berkaitan ilmu seperti pertandingan Bercerita tentang Ilmuwan, Pertandingan Buku Skrap  perkongsian ilmu, dan pelbagai kegiatan atau aktiviti untuk membudayakan ilmu di kalangan rakyat.

    1. 2. Program SPIES BELIA pemantapan 

    Program ini merupakan program susulan selepas golongan belia ini menyertai program SPIES di tahap awal. SPIES Pemantapan akan memberi fokus kepada apa yang diperlukan oleh golongan belia, seperti pekerjaan, peluang menyambung pengajian dan sebagaimana. Selepas perubahan minda dan sikap diterapkan kepada golongan belia di peringkat awal SPIES, kini mereka akan di sediakan peluang-peluang serta maklumat berkaitan pembinaan kerjaya dan pengajian mereka.

Lampiran

Tiada Lampiran.