Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
179) POLISI PEMBERIAN BANTUAN OLEH JABATAN KEBAJIKAN MASYARAKAT (JKM)
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Mat Shuhaimi Bin Shafiei
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila huraikan apakah garis panduan baru bagi memohon bantuan jabatan ini kerana ramai mengadu permohonan mereka ditolak disebabkan permohonan yang tidak disokong oleh ADUN dari Barisan Nasional
Pihak JKM menerima setiap permohonan bantuan JKM sama ada dari pemohon atau rujukan daripada mana-mana agensi melalui faks, surat, telefon atau datang sendiri ke pejabat. Semua permohonan akan disiasat dan diberi layanan yang sama tanpa mengira rujukan dari mana-mana Kelulusan daripada pihak JKM dalam pemberian bantuan kewangan adalah berdasarkan kepada kriteria dan syarat-syarat yang telah ditetapkan. Pemohon akan dimaklumkan melalui surat mengenai keputusan permohonannya. Jika lulus, pemohon akan dimaklumkan tarikh bayaran yang akan diterima oleh penerima dan jika ditolak, sebab-sebab ditolak akan dinyatakan.
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri bagi memastikan permohonan kepada JKM dilayan secara saksama dan diberikan pada semua mereka yang layak tanpa mengira fahaman politik
Dalam memastikan semua permohonan bantuan dilayan secara saksama, Kerajaan Negeri sentiasa mengadakan perjumpaan bersama masyarakat, sama ada secara langsung dan tidak langsung dari semasa ke semasa tanpa mengira fahaman politik. Selain daripada itu, pihak Kerajaan Negeri juga sentiasa mengadakan mesyuarat dengan pihak JKM Negeri Selangor dalam memastikan mereka benar-benar layak mendapat bantuan yang sewajarnya. Hubungan baik di antara EXCO Kebajikan dengan pihak JKM Negeri Selangor juga merupakan salah satu aspek yang diambil kira selaras dengan visi Kerajaan Negeri Selangor untuk mewujudkan negeri yang berkebajikan dan memberi manfaat kepada masyarakat di Negeri Selangor.
-
Apakan Kerajaan Negeri bercadang meningkatkan peruntukan kepada JKM bagi memberikan ruang lebih ramai rakyat yang layak mendapat bantuan dan bila ia akan dibuat?
Adalah dimaklumkan bahawa pada masa ini Kerajaan Negeri tidak bercadang untuk meningkatkan peruntukan kepada JKM. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri pada masa ini melalui agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) ada menyediakan pelbagai bantuan dan program bagi membantu dan meringankan beban rakyat Selangor yang layak.