Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
164) KEMISKINAN
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Kebajikan
Adun: Y.B. Tuan Yap Lum Chin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah jumlah orang miskin yang terdapat di Negeri Selangor?
Kerajaan Negeri telah menetapkan Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) Negeri kepada RM1500 bagi seisi rumah seramai lima (5) orang. Jumlah orang miskin di Selangor berdasarkan kepada PGK tersebut adalah seramai 13,990 orang. Data kemiskinan adalah sangat dinamik. Umum mengetahui bahawa banyak faktor yang boleh menjadi penyebab kepada kemiskinan. Penghijrahan, kematian ketua isi rumah, keadaan ekonomi, kehilangan pekerjaan dan sumber pendapatan, sikap dan mentaliti individu dan pelbagai faktor lain boleh menjadi penyumbang kepada insiden kemiskinan. Data juga akan berubah apabila garis kemiskinan diubah. Justeru, Kerajaan Negeri sedang memperkemaskan maklumat dan data kemiskinan secara menyeluruh agar dapat memudahkan akses dan bantuan kepada penerima.
-
Apakah langkah-langkah yang telah dilaksanakan dan juga yang bakal dilaksanakan untuk memberi bantuan kepada orang miskin ini?
Banyak program dirangka ke arah pembasmian kemiskinan di peringkat Kerajaan Negeri. Beberapa langkah telah diambil dengan mewujudkan program bersepadu oleh Kerajaan Negeri seperti Program Kerajaan Prihatin, Program Bantuan Kesihatan (katarak mata, Dialisis buah pinggang dan pembedahan Kecil) dan Program peningkatan pendapatan seperti Program Blueprint yang memberi bantuan peralatan dan mesin untuk membantu golongan yang kurang berkemampuan mengusahakan perniagaan secara kecil-kecilan. Program-program Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) turut menitikberatkan segala hal kebajikan rakyat Negeri Selangor tanpa mengira kaum, agama, usia dan fahaman politik. Semua program tersebut merangkumi semua jenis kebajikan seperti pendidikan, faedah kematian, pembelaan kaum wanita dan pelaburan anak kelahiran Selangor. Program ini merupakan satu harapan baru kepada seluruh rakyat Selangor dalam membantu untuk meringankan beban yang ditanggung akibat daripada peningkatan kos sara hidup. Selain itu, tujuan program ini dilaksanakan adalah untuk mengurangkan jurang ekonomi rakyat Selangor.
Selain program-program yang dinyatakan tersebut, Kerajaan Negeri sentiasa mengambil langkah proaktif dengan mewujudkan program-program baru yang dirasakan relevan untuk membantu dan membela kebajikan rakyat Selangor ang secara amnya memberi banyak faedah dan manfaat kepada penduduk Selangor.