Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

162) PERCAMBAHAN RUMAH URUT DAN PUSAT PERMAINAN VIDEO

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Dato' Ir. Muhammad Bushro Bin Mat Johor

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Masalah sosial ini terus membelenggu penduduk negeri ini. Walau pun masalah yang dihadapi ini telah wujud sejak dahulu lagi, namun usaha untuk membanteras atau menghapuskannya telah dijalankan secara agresif. Namun demikian, sejak kebelakangan ini masalah tersebut nampaknya seperti tidak dapat ditangani lagi. Sekiranya tiada tindakan yang agresif diambil, masalah ini akan terus menghantui penduduk negeri ini. Apakah tindakan yang akan diambil oleh Kerajaan Negeri bagi menangani masalah sosial ini?

    Kerajaan Negeri telah pun mengambil tindakan seawal tahun 2008 lagi dengan membekukan semua lesen Pusat Penjagaan Kesihatan atau dikenali sebagai rumah urut dan lesen hiburan. Perkara ini masih dipantau secara serius oleh Kerajaan Negeri dengan bantuan PBT bagi memastikan gejala sosial dapat dikawal.

  2. Adakah disebabkan keadaan ekonomi global yang tenat menyebabkan Kerajaan Negeri mengambil sikap yang liberal dalam hal ini?

    Kerajaan Negeri tidak pernah bersikap liberal terhadap perkara-perkara yang menyumbang kepada peningkatan gejala sosial malahan ia tidak selaras dengan visi negeri. Perkara ini dapat dilihat dengan tindakan membekukan semua lesen hiburan yang mana turut mengundang bantahan daripada sesetengah pihak. Walau bagaimanapun demi menjaga kesejahteraan rakyat maka tindakan pembekuan ini perlu dilaksanakan dengan tujuan untuk mengawal masalah-masalah sosial yang berlaku dewasa ini. Operasi penguatkuasaan juga turut dilaksanakan bersama pihak JAIS dan PDRM bagi memastikan gejala ini dapat dibendung dengan lebih cekap dan praktikal.

Lampiran

Tiada Lampiran.