Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
161) PERUMAHAN (MASALAH PERUMAHAN TERBENGKALAI)
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Dato' Subahan Bin Kamal
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Kebelakangan ini terdapat terlalu banyak projek perumahan yang terbengkalai di dalam negeri Selangor. Apakah tindakan Kerajaan Negeri terhadap pemaju-pemaju perumahan yang terlibat supaya hak dan kepentingan pembeli-pembeli rumah projek terbengkalai ini terpelihara.
Untuk makluman semua Yang Berhormat, tindakan penguatkuasaan terhadap pemaju yang terlibat dengan projek terbengkalai adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan di bawah Akta 118 dan ia di luar bidang kuasa Kerajaan Negeri.
Ini selaras dengan S. 11(1)(a), (b), atau (c) Akta 118 di mana Menteri diberi kuasa untuk mengambil tindakan penguatkuasaan atau tindakan pembetulan ‘corrective’ untuk mengarahkan supaya seseorang dilantik atau dia sendiri melantik seseorang untuk menasihati pemaju dalam menjalankan perniagaannya atau mengarahkan suatu syarikat untuk mengambil kawalan dan menjalankan perniagaan pemaju yang bermasalah dengan terma dan syarat-syarat yang ditentukan oleh Menteri.
Di samping itu, Menteri juga mempunyai kuasa untuk mengarahkan pemaju yang berkenaan mengambil langkah yang difikirkan perlu untuk membetulkan sesuatu perkara.
Kegagalan mematuhi arahan yang dikeluarkan oleh menteri di bawah perenggan 11(1)(a), (b), atau (c) Akta 118 maka mengikut S. 19 Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118), jika disabitkan, boleh didenda tidak kurang dari lima puluh ribu ringgit tetapi tidak melebihi dua ratus lima puluh ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya dan boleh juga dikenakan denda tambahan tidak melebihi lima ratus ringgit bagi tiap-tiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan.
Walau bagaimanapun, pada masa ini Kerajaan Negeri telah mengambil inisiatif dengan mendapatkan nama pengarah-pengarah syarikat pemaju yang terlibat dengan projek terbengkalai melalui Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk disenaraihitamkan dan diedarkan kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan dan Pejabat Daerah dan Tanah
seluruh Selangor termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan. Namanama yang telah disenaraihitamkan tersebut tidak akan dibenarkan menjalankan sebarang projek di Negeri Selangor walaupun memiliki syer di bawah syarikat pemaju yang lain.
-
Apakah langkah-langkah yang diambil Kerajaan Negeri untuk membantu pembelipembeli rumah di projek terbengkalai di negeri Selangor ini
Untuk makluman semua Yang Berhormat, sememangnya Kerajaan Negeri amat prihatin di atas nasib pembeli-pembeli rumah yang terlibat dengan projek terbengkalai. Walaupun begitu Kerajaan Negeri hanya boleh mengambil tindakan secara pentadbiran sahaja bagi membantu pembeli-pembeli tersebut. Ke arah ini Kerajaan Negeri telah mengambil beberapa langkah pro aktif ke arah membantu pembeli-pembeli projek yang terbengkalai untuk memahami situasi yang mereka hadapi dan bertindak sebagai pemudah cara dalam menasihati mereka bagi mengatasi masalah yang dihadapi dalam menyalurkan aduan tersebut kepada pihak yang berkaitan seperti KPKT, bank dan Pihak Berkuasa Tempatan.
Langkah-langkah lain yang diambil oleh Kerajaan Negeri dalam membantu pembeli adalah seperti berikut :
- Membantu pembeli menubuhkan jawatankuasa bertindak supaya tindakan yang diambil dapat diselaraskan dengan pihak berkuasa dan badan yang terlibat di mana persetujuan untuk memulihkan perlu diperoleh daripada sekurang-kurangnya 85% daripada pembeli.
- Bagi projek terbengkalai di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) ia akan dirujuk kepada KPKT untuk mendapatkan surat pengesahan projek terbengkalai supaya pembeli dapat berurusan dengan pihak bank bagi penyusunan semula pembiayaan pinjaman manakala bagi kes yang tidak berdaftar di bawah KPKT, LPHS akan mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai tersebut.
- LPHS juga akan mengadakan perbincangan dengan pemaju terbabit bersama semua jabatan teknikal termasuk pihak bank sekiranya projek tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan dengan tujuan mempercepatkan pemulihan projek di samping mengenakan syarat minima bagi membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang kecil tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan.
- Bagi pemaju yang menghadapi masalah kewangan, LPHS akan mengatur pertemuan dengan pembiaya-pembiaya bagi melihat pendekatan yang sesuai dalam membantu pemaju-pemaju menstrukturkan semula pembiayaan titian (bridging loan) supaya projek boleh diteruskan. Sekiranya masih gagal dan terdapat pemaju/kontraktor berwibawa yang berminat memulihkan projek berkenaan LPHS akan mengemukakan cadangan pemulihan tersebut kepada KPKT untuk membuat keputusan.
- Bagi pemaju-pemaju yang sedang dalam proses atau telah digulung, perbincangan dengan pihak Jabatan Insolvensi Malaysia akan diaturkan dari masa ke semasa untuk menyemak sama ada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) boleh mencadangkan mana-mana ‘liquidator’/Pegawai Penerima yang berwibawa bagi mempercepatkan pemulihan semula projek Bagi projek-projek yang telah diletakkan di bawah ‘liquidator’/Pegawai Penerima pula perbincangan akan dijalankan bersama ‘liquidator’/Pegawai Penerima terbabit bagi mencari kaedah terbaik dalam memulihkan projek yang terbengkalai.
- Bagi projek yang boleh dipulihkan di mana melibatkan kenaikan kos, LPHS akan melantik Juruukur Bahan untuk menilai semula kos pemulihan projek tersebut yang bertujuan untuk memaklumkan kos tambahan yang perlu ditanggung oleh pembeli sekiranya projek itu ingin diteruskan.
- Kerajaan Negeri juga sebagai tindakan terakhir telah mengambil tindakan perampasan beberapa keping tanah atas faktor wujud pelanggaran peruntukkan di bawah Kanun Tanah Negara 1965 seperti kegagalan membayar cukai tanah di bawah S.100 KTN dan pelanggaran syarat kegunaan tanah atau syarat tersirat di bawah S.129 KTN bagi memastikan hak pembeli terhadap hartanah mereka terjamin.
- Penubuhan Jawatankuasa Task Force Projek Terbengkalai yang dipengerusikan oleh Y.B. Saari Sungib ADUN Hulu Kelang di mana tiga Konsultan iaitu Rimbun Capital Sdn. Bhd., RSS-PMC Sdn Bhd. dan Kumpulan Muhandis Sdn. Bhd. telah bekerjasama dengan jawatankuasa ini bagi membantu untuk menilai semula sama ada projek terbengkalai tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan. Setakat ini terdapat 48 projek dalam proses kajian pihak konsultan.
Seperti Yang Berhormat sedia maklum pembelian sesebuah rumah atau hartanah adalah melalui perjanjian jual beli di antara pemaju dan pembeli. Dalam erti kata lain satu kontrak telah ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak dan sekiranya berlaku “breach of contract” maka pihak terlibat perlu membawa kes mereka ke mahkamah. Begitu juga keadaannya apabila pembeli-pembeli rumah mereka terbengkalai. Kerajaan Negeri tidak mempunyai “locus standi” untuk mengambil apa-apa tindakan terhadap mana-mana pihak yang terlibat. Walau bagaimanapun pembeli boleh merujuk terus kes mereka ke Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) di bawah Akta Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989.
-
Berapakah jumlah bilangan projek-projek terbengkalai yang dikenal pasti di seluruh negeri Selangor sehingga kini.
Mengikut data terkini, terdapat sebanyak 144 projek terbengkalai yang dikenal pasti di seluruh Negeri Selangor melibatkan 49,451 pembeli. Pecahan projek terbengkalai mengikut PBT adalah seperti berikut :
STATISTIK PROJEK TERBENGKALAI DI NEGERI SELANGOR
BIL
PIHAK BERKUASA TEMPATAN
JUMLAH UNIT 1 MAJLIS BANDARAYA SHAH ALAM 19 5,480 2 MAJLIS PERBANDARAN KLANG 28 4,061 3 MAJLIS BANDARAYA PETALING JAYA 7 2,996 4 MAJLIS PERBANDARAN AMPANG JAYA 13 3,022 5 MAJLIS PERBANDARAN SUBANG JAYA 10 9,208 6 MAJLIS PERBANDARAN SELAYANG 16 2,936 7 MAJLIS PERBANDARAN KAJANG 11 4,202 8 MAJLIS DAERAH KUALA LANGAT 8 962 9 MAJLIS DAERAH HULU SELANGOR 11 5,405 10 MAJLIS DAERAH KUALA SELANGOR 13 7,238 11 MAJLIS PERBANDARAN SEPANG 8 3,941 JUMLAH 144
49,451