Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

140) SAMBUTAN HARI IBU

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Wanita & Keluarga

Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Tanggal 10 Mei diiktiraf sebagai Hari Ibu, sambutan turut diadakan pada peringkat negeri melalui Exco dan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kebajikan, Hal Ehwal Wanita, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Kebudayaan. Apakah pendekatan yang diambil Kerajaan Negeri di dalam menyambut `Hari IbuÕ?

    Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri telah mengadakan sambutan Hari Ibu dengan kerjasama Perkawanis yang diadakan pada 10 Mei 2009 yang lepas bertempat di Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah (SSAAS). Kaum ibu telah diraikan dalam program tersebut dan memberi sedikit penghargaan kepada mereka yang berjaya dalam membesarkan anak masing-masing.

     

    Di samping itu, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita turut mengadakan bengkel-bengkel kemahiran seperti sulaman manik bagi membantu golongan ibu untuk mendapat pendapatan tambahan di rumah. Program tersebut ternyata mendapat sambutan baik kerana memberi kemahiran tambahan kepada wanita di samping membesarkan anak-anak.

  2. Sejauh manakah pembelaan yang diberi terhadap ibu tunggal dan miskin?

    Nasib kaum ibu tunggal sentiasa menjadi perhatian Kerajaan Negeri dari semasa ke semasa. Kerajaan Negeri ingin memastikan tiada seorang pun dari kalangan ibu tunggal tercicir dalam arus pembangunan negeri Selangor. Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita telah melancarkan portal ‘Ebu.org’ yang bertujuan untuk mengumpul segala maklumat berkaitan ibu tunggal di Selangor. Dengan maklumat yang diperoleh, Kerajaan Negeri dapat merangka serta merancang program yang bersesuaian yang mengikut keperluan para ibu tunggal.

     

    Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Wanita bercadang untuk menubuhkan Pusat Komuniti bagi wanita terutamanya ibu tunggal. Pusat ini ditubuhkan bertujuan untuk menggalakkan kaum wanita untuk berkecimpung dalam bidang keusahawanan. Segala peralatan dan kelengkapan yang diperlukan akan disediakan untuk menjana aktiviti ekonomi yang dapat memberi pulangan pendapatan kepada mereka yang terlibat. Antara aktiviti-aktiviti yang dicadangkan seperti jahitan sulaman dan manik, pembuatan kek dan biskut, kraf tangan dan pelbagai kegiatan lagi yang boleh menyumbang pendapatan kepada mereka.

    Selain itu, ibu tunggal yang layak juga boleh memohon program ‘Blueprint Kemiskinan’ di mana mereka akan diberikan bantuan dalam bentuk peralatan dan dapat memulakan perusahaan yang bersesuaian dari rumah masing-masing. Bantuan ini serba sedikit dapat meringankan beban ibu tunggal dalam membimbing keluarga dan seterusnya menjana pendapatan tambahan kepada mereka. Program Kerajaan Prihatin juga merupakan salah satu bantuan daripada Kerajaan Negeri kepada ibu-ibu tunggal yang miskin. Menerusi program ini, ibu tunggal yang layak akan diberi sebuah rumah atau membaik pulih rumah mereka.

     

  3. Bagaimanakah penghargaan sepatutnya diberi kepada ibu-ibu yang berjaya membimbing keluarga?

    Kerajaan Negeri akan mencadangkan nama-nama ibu tunggal yang berjaya keluar dari kepompong kesusahan untuk dicalonkan sebagai Anugerah Ibu Mithali dalam sambutan Maulidur Rasul. Dengan cara ini, Kerajaan Negeri yakin ia akan menjadi satu sumber inspirasi kepada ibu-ibu tunggal yang lain untuk berjaya dan meningkatkan taraf hidup masing-masing.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.