Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
129) PENGGERAK BELIA TEMPATAN
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Kerajaan Tempatan
Adun: Y.B. Puan Haniza Binti Mohamed Talha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah perancangan Jawatankuasa Belia dan Sukan dalam menggerakkan golongan belia melalui Penggerak Belia Tempatan?
Penggerak Belia tempatan (PeBT) merupakan jentera utama dalam menggerakkan program-program belia dan dasar-dasar Kerajaan Negeri di peringkat akar umbi. Sehubungan itu, pelbagai perancangan dirangka oleh Jawatankuasa Tetap Belia Dan Sukan dalam menggerakkan belia bagi tujuan tersebut.
Selaras dengan kehendak YAB Dato’ Menteri Besar untuk membangunkan sukan Selangor dari akar umbi, Liga PeBT telah dirancang untuk mencari bakat-bakat sukan di peringkat kampung untuk diketengahkan ke peringkat nasional.
Dari aspek kebajikan dan kesukarelawan PeBT akan dilibatkan dengan program Youth In Community yang sedang dijalankan oleh Kerajaan Negeri setelah penubuhan PeBT peringkat zon selesai.
Memandangkan peluang pekerjaan kini semakin berkurangan, Kerajaan Negeri turut merancang untuk membangunkan ekonomi belia dengan menubuhkan koperasi belia. Projek pertama koperasi belia ini akan memfokuskan kepada bidang pertanian dan dijangka Sabak Bernam akan menjadi pilihan. Sebab utama koperasi belia dicadangkan kerana melalui koperasi belia dapat membuat perhubungan rantaian nilai, modal , pemasaran dan pengagihan. Gabungan kesemua faedah ini dapat membantu belia menjana pendapatan melalui bidang pertanian di samping mendapat faedah dividen daripada saham yang dilaburkan.
-
Apakah usaha terancang Kerajaan Negeri terhadap golongan belia yang terlibat dengan dadah dan yang serupa dengannya?
Kerajaan Negeri sememangnya prihatin dengan gejala kurang sihat seperti dadah dan sebagainya di kalangan golongan belia. Kerjasama sedia ada seperti Bahagian Narkotik Polis sedang mempertingkatkan usaha untuk membanteras masalah dadah di Negeri Selangor. Begitu juga dengan Pertubuhan Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang sentiasa bekerjasama dengan Kerajaan Negeri dalam usaha memulihkan penagih-penagih dadah ini terutamanya di Negeri Selangor.
Sehubungan dengan itu, dengan adanya PeBT ia dapat membantu Kerajaan Negeri untuk mengenal pasti belia-belia yang bermasalah di kawasan zon jagaannya sama ada yang terlibat dengan masalah dadah mahupun gejala sosial yang lain.