Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

127) PERKHIDMATAN AWAM

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah perubahan-perubahan yang bakal dijalankan ke atas sektor perkhidmatan awam di kerajaan Selangor untuk mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan di peringkat PBT dan Kerajaan Selangor?

    Proses Pembelajaran Organisasi (Learning Organisation) diberi keutamaan melalui kegigihan melaksanakan pembaharuan seperti:-

    • Memastikan surat-surat makluman kepada organisasi dikeluarkan dalam tempoh 1 hari bekerja; &
    • Urusan pembayaran dibuat dalam tempoh 6 hari bekerja apabila dokumen lengkap dipenuhi.
    • Komitmen kepada peraturan & perundangan bagi memastikan permasalahan penyelewengan, penyalahgunaan kuasa di kalangan penjawat awam dapat ditangani.
    • Memastikan setiap keputusan atau tindakan mempunyai justifikasi yang jelas dan telus serta boleh dipertanggungjawabkan.
    • Memastikan setiap garis panduan perlaksanaan tugasan dilaksanakan secara terperinci tanpa mempunyai klausa yang membolehkan kelulusan dibuat secara‘budi bicara’.
    • Memastikan semua aduan perlu dikemukakan maklum balasnya dengan memberi maklumat-maklumat yang jelas berasaskan peraturan supaya pengadu memahaminya.
    • Memperkasa penggunaan ICT dalam urusan pentadbiran.
    • Mereka jasa sistem dan prosedur kerja melalui penambahbaikan terhadap sistem & prosedur yang lapuk, lambat dan menyusahkan.
    • Mempertingkatkan kompetensi dan komitmen warga kerja melalui merangka pelan latihan yang berterusan dengan menekan konsep prinsip ‘learn, unlearn & relearn’.

    JAWAPAN DARIPADA SURUHANJAYA PERKHIDMATAN AWAM

     

    Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor dalam usaha meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan telah melaksanakan laman web jabatan http//:spn.selangor.gov.my yang menyediakan maklumat misi, visi, peranan dan tanggungjawab Suruhanjaya mengikut bidang kuasa yang diberi.  Maklumat mengenai iklan jawatan kosong di Pentadbiran Kerajaan Negeri Selangor juga mampu diperoleh pengguna melalui laman web Suruhanjaya.

  2. Adakah Kerajaan Negeri mempunyai autonominya dalam pengisian jawatan-jawatan kelas profesional dan pentadbiran?

    Pada masa ini Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Negeri Selangor dalam bidang kuasanya boleh melantik jawatan-jawatan profesional dalam jawatan Pegawai Perkhidmatan Pendidikan Siswazah Gred DG41.  Walau bagaimana pun pelantikan bagi jawatan profesional dan pentadbiran adalah tertakluk kepada kelulusan waran perjawatan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia.

    JAWAPAN DARIPADA KORPORAT

    Di antara perubahan-perubahan yang sedang dan bakal dijalankan ke atas sektor perkhidmatan awam di Selangor, dalam konteks mengukuhkan sistem penyampaian perkhidmatan, ialah: –

    • Mempertingkat dan menambah baik sistem penyampaian perkhidmatan melalui penubuhan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan Selangor (PEMUDAH Selangor), seperti yang diumumkan oleh YAB Dato’ Menteri Besar Selangor melalui ucapan sempena Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan/Agensi Kerajaan Selangor pada 23 Februari 2009. Melalui PEMUDAH Selangor, keduadua belah pihak iaitu sektor awam dan sektor swasta duduk semeja dan berunding tentang aspek-aspek yang boleh ditambah baik supaya penyampaian perkhidmatan Kerajaan dapat diperkemas, lebih cekap, lebih berkesan dan lebih berdaya saing. Beberapa Kumpulan Fokus (focus group) telah dibentuk di bawah PEMUDAH Selangor, untuk mengenal pasti penambahbaikan tempoh memproses urusan-urusan seperti Hak milik Strata (Tanah), Pusat Khidmat Setempat (OSC), Kebenaran Pindah Milik (Tanah), dan seumpamanya.
    • Memperkasakan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam urusan pentadbiran. Sebagai contoh, penggunaan perkhidmatan mySMS Gerbang Kerajaan (15888) digunakan dalam aspek hebahan dan penyebaran maklumat ke atas dasar-dasar terkini Kerajaan Selangor.
    • Menerapkan suasana persekitaran pejabat sebagai satu pembelajaran organisasi (Learning Organisation) diberi keutamaan melalui kegigihan melaksanakan pembaharuan seperti memastikan semua surat makluman kepada organisasi dikeluarkan dalam tempoh satu (1) hari bekerja; dan semua urusan pembayaran dengan dokumen yang lengkap diselesaikan dalam tempoh enam (6) hari bekerja.
    • Merancang dan membangunkan keseluruhan proses yang diperlukan bagi penyampaian perkhidmatan pelanggan, dengan menambah baik Sistem Pengurusan Kualiti secara berterusan, termasuk mengemas kini dokumentasi mengikut piawaian MS ISO 9001:2008.
    • Mematuhi Piagam Pelanggan dan mengambil tindakan segera ke atas semua aduan yang diterima. Oleh itu, proses merekayasa (re-engineering) ke atas sistem dan prosedur kerja dibuat dengan penambahbaikan terhadap sistem dan prosedur yang lapuk, lambat dan menyusahkan.
    • Memperkemas setiap garis panduan pelaksanaan tugasan secara terperinci, sekali gus mengurangkan klausa yang membolehkan kelulusan/pertimbangan dibuat secara ‘budi bicara’. Justeru, setiap keputusan atau tindakan mempunyai justifikasi yang jelas dan telus serta dipertanggungjawabkan (akauntabiliti) kepada pihak berwajib.
    1. Pentadbiran Kerajaan Selangor tidak mempunyai autonominya dalam soal pengisian jawatan kelas-kelas profesional dan pentadbiran (iaitu Kumpulan Pengurusan Tertinggi, dan Kumpulan Pengurusan dan Profesional).

    Walau bagaimanapun, Pentadbiran Kerajaan Negeri melalui YB Setiausaha Kerajaan Negeri telah diberi penurunan kuasa bagi urusan penempatan dan pertukaran Pegawai Kategori Guna sama Persekutuan bagi Kumpulan Pengurusan dan Profesional (Gred 41 hingga Gred 54). Kuasa ini dinyatakan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Malaysia melalui Surat Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 7 Tahun 2007 yang telah diguna pakai di Selangor. Penurunan kuasa bagi penempatan/pertukaran ini adalah terhad kepada pentadbiran YB Setiausaha Kerajaan Negeri dan semua Jabatan di bawahnya sahaja.

Lampiran

Tiada Lampiran.