Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009

120) KRISIS MAKANAN

Tahun: 2009

Sesi: 2

Isu: Industri Asas Tani

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Nasir Bin Hashim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Memandangkan krisis ekonomi sering diikuti dengan krisis makanan dan menimbulkan pelbagai masalah pada rakyat yang miskin. Apakah tindakan-tindakan yang dilakukan oleh Kerajaan Negeri untuk memastikan masalah krisis makanan tidak berulang lagi khususnya semasa krisis ekonomi

    Kerajaan Negeri percaya fungsi dan peranan sektor pertanian di Selangor amat penting sebagai sumber makanan dan merupakan sumber pendapatan utama golongan petani, penternak dan nelayan khususnya di kawasan luar bandar. Saya ingin menegaskan di sini bahawa krisis makanan tidak berlaku di negeri ini. Namun demikian, bagi memastikan masalah krisis makanan tidak berlaku, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian telah memperkenalkan program-program berikut :

    • Program Pembangunan Taman Agroteknologi / Tanaman Kekal

    Pengeluaran Makanan 

    Objektif program ini adalah untuk mewujudkan kawasan pengeluaran pertanian kekal, berskala besar, komersial dan berteknologi tinggi selaras dengan matlamat Dasar Pertanian Negara dan Negeri. Pelaksanaan program ini juga bertujuan untuk mengeluarkan hasil pertanian terpilih, bermutu dan bernilai tinggi untuk membantu menampung keperluan makanan negara di samping berfungsi sebagai kawasan agro pelancongan. Program ini turut membantu mengatasi masalah kekurangan tanah untuk pengeluaran makanan yang sering dihadapi oleh usahawan tani dan sektor swasta.

    • Program Tanaman Makanan

    Program ini memfokuskan kepada tanaman makanan utama iaitu padi, buah-buahan, sayur-sayuran, kelapa dan tanaman jangka pendek. Selain memenuhi permintaan penduduk tempatan, program ini juga bertujuan untuk mengurangkan bilangan import (imbangan perdagangan) terutamanya bagi tanaman bernilai tinggi seperti tanaman cili, timun dan tomato. Pemulihan kawasan tanaman sedia ada, pelaksanaan penanaman baru dan amalan teknologi moden seperti penggunaan benih bermutu tinggi, penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan menggunakan kaedah fertigasi, pembaikpulihan pengairan dan saliran, implementasi teknologi perladangan persis, penggunaan mekanisasi dan automasi serta amalan pengendalian lepas tuai akan dipertingkatkan bagi memastikan peningkatan hasil pengeluaran tanaman makanan.

  2. Apakah ketetapan Kerajaan Negeri untuk memastikan wujudnya perimbangan antara perkembangan perindustrian dan perkembangan pertanian

    Dalam tahun 2008, sektor pertanian menyumbangkan 4.2% kepada pembangunan ekonomi negeri. Nilai tambah sektor ini dijangka meningkat sebanyak RM 3.5 bilion pada tahun 2009 berbanding RM 3.4 bilion pada tahun 2008. Bagi mewujudkan keseimbangan antara perkembangan perindustrian dan perkembangan pertanian serta menjadikan pertanian sebagai asas memajukan negeri Selangor, Kerajaan Negeri telah mengaplikasikan pendekatan Pertanian Moden yang memberikan fokus kepada pertanian berteknologi moden, berskala besar dan berorientasikan eksport bagi meningkatkan kualiti dan produk pertanian bermutu tinggi.

     

    Kawasan-kawasan yang berpotensi untuk pertanian akan diberi tambah nilai, dikekalkan, dan tidak akan digunakan untuk tujuan guna tanah yang lain. Berdasarkan statistik daripada Jabatan Pertanian Negeri Selangor dan Rancangan Sosial Negara (RSN) Selangor 2020, unjuran kawasan pertanian di negeri Selangor sehingga tahun 2020 adalah sebanyak 221,612.64 hektar iaitu 27.85% daripada keluasan negeri Selangor.

     

    Bagi merancakkan pertumbuhan sektor pertanian, beberapa program telah dijalankan seperti berikut :

     

    • Program Pembangunan Taman Agroteknologi / Tanaman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM)

    Objektif program ini adalah untuk mewujudkan kawasan pengeluaran pertanian kekal, berskala besar, komersial dan berteknologi tinggi selaras dengan matlamat Dasar Pertanian Negara dan Negeri. Pelaksanaan program ini juga bertujuan untuk mengeluarkan hasil pertanian terpilih, bermutu dan bernilai tinggi untuk membantu menampung keperluan makanan negara di samping berfungsi sebagai kawasan agro pelancongan. Program ini turut membantu mengatasi masalah kekurangan tanah untuk pengeluaran makanan yang sering dihadapi oleh usahawan tani dan sektor swasta.

    1. Program Tanaman Makanan

    Program ini memfokuskan kepada tanaman makanan utama iaitu padi, buah-buahan, sayur-sayuran, kelapa dan tanaman jangka pendek. Selain memenuhi permintaan penduduk tempatan, program ini juga bertujuan untuk mengurangkan bilangan import (imbangan perdagangan) terutamanya bagi tanaman bernilai tinggi seperti tanaman cili, timun dan tomato. Pemulihan kawasan tanaman sedia ada, pelaksanaan penanaman baru dan amalan teknologi moden seperti penggunaan benih bermutu tinggi, penanaman sayur-sayuran dan buah-buahan menggunakan kaedah fertigasi, pembaikpulihan pengairan dan saliran, implementasi teknologi perladangan persis, penggunaan mekanisasi dan automasi serta amalan pengendalian lepas tuai akan dipertingkatkan bagi memastikan peningkatan hasil pengeluaran tanaman makanan.

     

    • Projek 10 Ton

     

    Di bawah projek ini, para petani menggunakan sistem ‘periksa beras’ iaitu semua aktiviti dilakukan mengikut jadual yang teratur, berdisiplin dan bekerjasama bagi mencapai objektif pengeluaran hasil padi 10 ton/hektar.

     

    • Program Pembangunan Pengurusan Jerami Padi

     

    Program ini adalah bertujuan untuk mewujudkan sistem pengurusan jerami padi yang lebih berkesan dengan menggunakan mekanisasi, automasi dan teknologi terkini.

     

    • Pembangunan Usahawan Tani – Industri Asas Tani (IAT) / Industri Kecil dan Sederhana (IKS)

     

    Program ini bertujuan untuk memperkembangkan produk-produk IAT / IKS dari luar bandar dengan mempelbagaikan produk-produk usahawan tani yang merangkumi produk bakeri dan biskut, kraf tani, industri minuman ringan dan industri makanan kesihatan seperti mas cotek, serai dan sebagainya. Program ini dilaksanakan bagi meningkatkan mutu produk-produk terpilih industri IAT/IKS di mana produk tersebut perlu melalui penyelidikan pengembangan intensif oleh MARDI  iaitu ia dikeluarkan mengikut piawaian Good Manufacturing Practice (GMP), pengiktirafan Sijil Halal dan kemudiannya diakreditasi, diberi penjenamaan, promosi dan diedarkan oleh FAMA ke seluruh negara termasuk di pasar raya besar seperti TESCO, CARREFOUR dan GIANT.

Lampiran

Tiada Lampiran.