Mesyuarat Kedua Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
08 Julai hingga 10 Julai 2009 dan 13 Julai hingga 15 Julai 2009
69) ALAM SEKITAR
Tahun: 2009
Sesi: 2
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Ismail Bin Sani
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan Kerajaan Negeri terhadap syarikat pengeluaran pasir di Jalan Sungai Tekali, Hulu Langat yang melepaskan air kelodak tanah merah berlumpur ke Sungai Tekali dan seterusnya masuk ke Sungai Langat. Air sungai ini telah tercemar dan ekosistemnya telah rosak akibat kelodak lumpur tersebut?
Mekanisme yang dijalankan oleh LUAS.
Pihak LUAS sebagai agensi setempat dalam pengurusan sumber air, lembangan sungai dan perairan pantai Negeri Selangor menjalankan pemantauan punca pencemaran melalui Pasukan Petugas Mengawal Pencemaran Sungai Langat yang dipengerusikan oleh Pengarah LUAS dan Jawatankuasa Pengurusan Lembangan Negeri Selangor yang dipengerusikan oleh Y.B Dato’ Dr. Hasan Bin Mohamed Ali. Pendekatan yang diguna pakai ialah secara holistik dan bersepadu antara pihak LUAS dan semua jabatan/agensi yang berkaitan dalam penyelesaian sesuatu isu pencemaran.
Dalam isu ini, Unit Penguatkuasaan LUAS telah mengeluarkan Notis Pemberitahuan Kesalahan di bawah Seksyen 43, Enakmen LUAS 1999 iaitu melakukan aktiviti pengubahan sumber tanpa kebenaran daripada Pengarah LUAS ( No. Siri:000415) dan di bawah Seksyen 79, Enakmen LUAS 1999 iaitu melakukan pencemaran ke atas Sungai Tekali (No. Siri: 000416).
Di atas kesalahan tersebut tetuan Autocell Machinery dikehendaki melakukan kerjakerja penyelenggaraan kolam perangkap kelodak dan seterusnya menghentikan aktiviti pengambilan serta pengeluaran pasir yang telah mencemarkan Sungai Tekali.
Pihak LUAS akan memantau lokasi ini dari masa ke semasa bagi memastikan pengusaha mematuhi Notis yang telah diberikan.
-
Adakah syarikat pengeluar pasir ini mempunyai permit mengeluarkan pasir?
Sehingga kini, PTD Hulu Langat tidak mengeluarkan sebarang permit kepada manamana pihak untuk mengeluarkan pasir ke atas tanah hak milik di kawasan berkenaan selaras dengan keputusan Kerajaan Negeri yang telah menamatkan pengeluaran permit pasir mulai 30 Jun 2008.