Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

69) RUMAH UNTUK MISKIN

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Sejak pemerintahan PR, berapakah rumah keluarga miskin telah dibina semula atau ditambah baik di bawah program kerajaan prihatin. Sila berikan maklumat terperinci mengikut daerah

    Program Kerajaan Prihatin merupakan satu program yang bertujuan untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah yang selesa sebagai tempat berteduh. Ianya memberi bantuan bina semula rumah yang keseluruhannya terlalu daif dan tidak boleh lagi dibaiki pada harga RM25,000.00 sebuah. Rumah yang dibina lengkap dengan tiga (3) atau dua (2) atau satu (1) bilik tidur dan bilik air pada keluasan maksima 560 kaki persegi bergantung pada jumlah bilik yang diluluskan, termasuk pendawaian elektrik dan pemasangan paip air dalaman. Program ini juga memberi bantuan baik pulih bahagian rumah ibu yang mengalami kerosakan pada kos tidak melebihi RM7,000.00.

    Berikut disenaraikan pecahan bantuan yang telah diberikan kepada setiap daerah bagi tahun 2008;

     

    Bil Daerah Bina baru Baik pulih Jumlah 
    1. Klang 20 10 RM 508,000.00
    2. Petaling 7 RM 173,000.00
    3. Kuala Langat 23 14 RM 740,000.00
    4. Hulu Langat 10 3 RM 266,000.00
    5. Sabak Bernam 31 59 RM1,132,000.00
    6. Kuala Selangor 14 34 RM 405,500.00
    7. Gombak 14 15 RM 446,000.00
    8. Hulu Selangor 6 8 RM 189,000.00
    9. Sepang 7 11 RM 230,000.00
      JUMLAH 132 154 RM4,089,500.00

    (286 rumah)

  2. Apakah rancangan pihak kerajaan negeri dalam tahun ini untuk memastikan bahawa mereka yang masih tinggal di rumah yang buruk boleh mendapat keprihatinan Kerajaan Negeri?

    Perancangan Kerajaan Negeri pada tahun 2009 dalam memastikan mereka yang masih tinggal di rumah yang buruk mendapat keprihatinan Kerajaan Negeri adalah dengan meneruskan program Kerajaan Prihatin dan menambah baik sistem pengumpulan data i-Bantu serta mewujudkan program-program bantuan lain bagi membantu golongan sasar antaranya;

    Kerajaan Negeri melalui Bajet 2009 telah menggariskan lima (5) strategi khusus bagi memastikan kestabilan ekonomi Negeri Selangor seterusnya menangani masalah kemiskinan. Antara strategi tersebut ialah :

    •            Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES)

    Antara program MES yang telah dilaksanakan bagi Fasa 1 termasuklah program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Bekalan Air Percuma, Hadiah Anak Masuk Universiti, Bantuan Warga Usia Emas, Pusat Khidmat Kisi Sehenti (OSCC) dan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang.

    Selain dari itu beberapa program MES yang akan dilaksanakan secara berfasa khusus untuk golongan berpendapatan rendah termasuklah Caruman Takaful bagi OKU/Anak Yatim, Bantuan Kepada Peniaga Muda, Bimbingan Perniagaan Kepada Belia, Bantuan Anak ke Nurseri RM75 sebulan/orang, Bantuan Anak Pra Sekolah RM50 sebulan/orang, Bantuan Mendirikan Rumah Tangga, Elaun Ibu Tunggal, Elaun Khas Suri Rumah dan Bantuan memiliki Kediaman.

    Menerusi program-program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dijangka dapat mengurangkan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi krisis ekonomi global dan kemiskinan di Negeri Selangor.

    Selain itu Kerajaan Negeri Juga telah merangka program-program yang dilihat dapat membantu golongan miskin di Selangor mendapat bantuan yang sewajarnya dengan menyediakan bantuan seperti berikut;

    • Program Kerajaan Prihatin

    Program Kerajaan Prihatin  bertujuan untuk membantu mereka yang kurang berkemampuan untuk memiliki rumah yang selesa sebagai tempat berteduh

    Objektif program ini diwujudkan adalah untuk memberi bantuan membina semula rumah yang keseluruhannya terlalu daif dan tidak boleh lagi dibaiki pada harga RM25,000.00 sebuah. Rumah yang dibina lengkap dengan tiga (3) bilik tidur dan bilik air serta berkeluasan 560 kaki persegi termasuk pendawaian dalaman elektrik dan pemasangan paip air dalaman; atau memberi bantuan membaik pulih bahagian rumah ibu yang mengalami kerosakan pada kos tidak melebihi RM7,000.00.

    • Program ”Blueprint” Kemiskinan

    Program ”blueprint” merupakan program bantuan peralatan yang diberikan kepada golongan sasar yang mempunyai kemahiran dalam sesuatu bidang contohnya;

    1. Kemahiran jahitan
    2. Kemahiran masakan
    3. Kemahiran perniagaan
    • Program Kemahiran Teknikal

    Program ini diwujudkan adalah untuk membantu anak-anak golongan sasar untuk mendapatkan pendidikan tertinggi dengan menyediakan sejumlah 170 tempat setiap tahun di INSPENS. Tujuan program akan memberi peluang kepada anak-anak golongan sasar yang keciciran atau tidak mampu untuk menyambung pelajaran ke peringkat tertinggi.

    • Program Kesihatan

    Program Kesihatan adalah bertujuan untuk memberi peluang kepada golongan sasar untuk mendapatkan bantuan kesihatan dalam dua jenis penyakit iaitu;

    1. Katarak Mata
    2. Dialisis Buah Pinggang

Lampiran

Tiada Lampiran.