Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

47) PROGRAM UNTUK MENANGANI MASALAH BANJIR

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Alam Sekitar

Adun: Y.B. Tuan Badrul Hisham Bin Abdullah

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Dalam satu mesyuarat EXCO tahun lepas, kerajaan negeri Selangor telah meluluskan peruntukan sebanyak RM21 juta dalam menangani masalah banjir. Sila nyatakan program yang telah atau sedang dilaksanakan oleh pihak kerajaan negeri melalui agensi yang berkaitan dalam usaha membendung masalah yang sering kali berlaku di setiap daerah

    Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia telah melantik perunding HLA untuk menjalankan Kajian Pelan Induk Saliran Bandar Klang. Kajian tersebut dipersingkat Draf Final Report dan akan dibentangkan kepada Kerajaan Negeri.

  2. Kebanyakan masalah banjir kilat berlaku akibat dari sistem perparitan yang bermasalah terutama di kawasan luar bandar seperti Pulau Indah, Perkampungan Telok Gong, kampung Black Water di Pelabuhan Klang. Oleh yang demikian, apakah bentuk kemudahan dalam penambahbaikan sistem perparitan untuk mengatasi masalah tersebut?

    Ketiga-tiga kawasan tersebut terletak pada paras yang sangat rendah dan terdedah kepada bencana banjir. Oleh itu bagi mengatasi masalah tersebut langkah – langkah seperti berikut perlu dilaksanakan :

     

    1. Melebar dan mendalamkan sistem perparitan.
    2. Menyediakan kolam takungan banjir
    3. Meninggikan benteng pantai melebihi paras air pasang / surut.
    4. Menyediakan sistem pam yang berkapasiti tinggi
  3. Apakah bentuk bantuan yang disediakan oleh pihak berkenaan dalam hal-hal kecemasan atau luar jangka berkenaan banjir kilat di peringkat daerah khususnya di Pelabuhan Klang?

    JAWAPAN OLEH PTD KLANG

    Mekanisme bagi menangani kecemasan atau yang dikategorikan sebagai bencana di peringkat daerah dikenali sebagai Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD).  Jawatankuasa ini dipengerusikan oleh Pegawai Daerah dan dianggotai oleh pihak-pihak yang terlibat secara langsung sekiranya sebarang kejadian bencana berlaku seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Majlis Perbandaran Klang (MPK), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Pertahanan Awam (JPA3), Jabatan Kerja Raya (JKR), Pejabat Kesihatan Daerah, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Telekom Malaysia Berhad (TMB), SYABAS, Lembaga Zakat Selangor (LZS) dan sebagainya.

     

    Pejabat Daerah berperanan sebagai penyelaras agar setiap bencana yang berlaku dapat diberikan bantuan dengan segera dan semua pihak yang terlibat dapat memainkan peranan masing-masing dengan lebih berkesan.

    Pejabat Daerah bertanggung jawab di dalam penyaluran bantuan kewangan segera kepada mangsa-mangsa bencana.  Tabung Bantuan Bencana Negeri Selangor telah menetapkan garis panduan untuk pemberian bantuan kewangan segera kepada mangsa bencana.  Bantuan kepada mangsa bencana disalurkan melalui Jawatankuasa Pengurusan dan Bantuan Bencana Daerah (JPBBD).

    Perlu diingatkan bantuan bermaksud merupakan bantuan ihsan untuk meringankan penderitaan yang dialami oleh mangsa bencana tersebut dan bukannya berbentuk ganti rugi atau pampasan.

     

    Syarat-syarat penerima bantuan adalah seperti berikut:

    i) Warganegara Malaysia;

    ii) Mangsa dikira berdasarkan unit rumah;

    iii) Orang yang tinggal di rumah terlibat sahaja layak dipertimbangkan;

    iv) Pengesahan oleh Ketua Kampung atau Pengerusi JKKK; dan

    v) Mangsa dikehendaki melaporkan kepada PDRM dan JKM.

    Bantuan yang diberikan adalah seperti berikut:

     

    1. Bagi mangsa yang terlibat mengikut keluarga, JPBBD akan mengeluarkan bantuan sebanyak RM300 sekeluarga;
    2. Bantuan susulan akan diberikan oleh JKM dengan jumlah maksimum sebanyak RM500 sekeluarga terhad kepada golongan miskin sahaja, manakala bantuan LZS adalah terhad kepada orang Islam sahaja;
    3. Bagi mangsa yang meninggal dunia, bantuan sebanyak RM1,000 seorang akan dikeluarkan;
    4. Bagi rumah kediaman yang musnah sama sekali, bantuan RM500 sekeluarga akan dikeluarkan; dan
    5. Bagi rumah kediaman yang musnah sebahagiannya, bantuan sebanyak RM300 sekeluarga akan dikeluarkan, dan tertakluk kepada penilaian oleh pihak JKM.

     

    Berhubung banjir kilat dan bantuan yang disediakan seperti yang dibangkit oleh Y.B. ADUN Pelabuhan Klang adalah seperti berikut:

    1. Pusat pemindahan banjir yang telah dikenal pasti akan dibuka berdasarkan keadaan dan jangka masa air surut. Bantuan segera yang disediakan oleh JKM seperti tikar, selimut, makanan kering dan set kit bencana.
    2. Di samping itu, menurut Surat Pekeliling Perbendaharaan Bil.6 Tahun 2008 – Penambahbaikan Garis Panduan Penggunaan Peruntukan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN), Y.B ADUN boleh menggunakan outright grant yang diperuntukkan sebanyak RM2,000 yang disediakan secara bulanan bagi tujuan sumbangan kepada mangsa bencana alam, kebakaran, penyakit kronik dan kemalangan.

Lampiran

Tiada Lampiran.