Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

17) PEMBANGUNAN BELIA

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohamad Khir Bin Toyo

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Kerajaan Negeri pernah berjanji akan mengadakan program khas bagi meningkatkan pendapatan belia ke RM 1, 500 sebulan dan pendaftarannya adalah secara terbuka seperti yang telah diumumkan oleh Y.A.B Menteri Besar. Berapa ramai yang telah mendaftar untuk program ini?

    Kerajaan Negeri sedar bahawa belia merupakan tulang belakang negara. Oleh sebab itu, Kerajaan Negeri telah memperkenalkan dan melaksanakan Program Latihan Kemahiran Belia dengan kerjasama Yayasan Selangor. Sehingga kini seramai 1579 orang telah berdaftar dan daripada jumlah tersebut seramai 782 orang telah selesai menjalani program tersebut. Manakala baki seramai 797 orang masih menjalani program tersebut. Program ini diadakan secara bersiri dan sehingga kini sebanyak 6 siri telah dilaksanakan bertempat di Kem Bina Semangat Ampang Pecah. Selain daripada itu Kerajaan Negeri turut mengadakan “ Road Show “ bagi menarik minat para belia menyertai program tersebut.

     

  2. Berapa ramaikah belia yang telah berjaya mendapat pendapatan RM 1, 500.00 sebulan dari program ini?

    Memandangkan program ini masih baru dilancarkan dan buat masa ini sasaran untuk mencapai pendapatan RM 1,500.00 masih belum dapat dihasilkan. Walau bagaimanapun selain mensasarkan pendapatan RM 1,500.00 – RM 2,000.00 sebulan, program ini turut memberi penekanan kepada aspek-aspek seperti berikut:

    1. Program ini memberi peluang kepada peserta belia yang berkelulusan SPM dan ke bawah bagi mendapatkan tempat untuk mengikuti program-program kemahiran di Institusi kemahiran di bawah Kerajaan Negeri dan institusi swasta.
    2. Program ini juga memberi peluang untuk mendapatkan lanjutan pendidikan kepada peserta yang ingin melanjutkan pelajaran ke peringkat Diploma dan Ijazah ke Institusi Pendidikan Tinggi seperti di UNISEL dan KUIS.
    3. Memberi pendedahan dan peluang kepada peserta tentang program keusahwanan dan perniagaan melalui panel yang disediakan seperti:
      i) Agro Bank
      ii) Tekun Nasional
      iii) Safaworld Urban Agriculture- Contrac Farming
    4. Pendapatan tambahan peserta melalui program kursus perniagaan dan keusahawanan agar menjadikan sumber pendapatan tambahan bagi peserta yang telah berkerja yakni yang belum mencapai pendapatan RM 1,500.00.
    5. Program ini lebih memberi penekanan kepada golongan belia yang tercicir dalam pelajaran, yang mana pihak Yayasan Selangor dan Kerajaan Negeri akan cuba memberi pendedahan dan dorongan untuk golongan ini mendapat peluang  “ Second Chance “ iaitu diberi peluang untuk menjalani latihan kemahiran, asas keusahawanan dan peluang kejaya. Untuk mendapatkan atau mencapai pendapatan RM 1,500.00 ini golongan belia mestilah mengambil peluang yang telah diberikan oleh Kerajaan Negeri Selangor ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.