Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

11) MASALAH EKONOMI GLOBAL

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Mat Shuhaimi Bin Shafiei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Dunia kini sedang menghadapi masalah ekonomi global yang agak meruncing, jelaskan tindakan kerajaan negeri dalam menghadapi masalah ekonomi global ini terutama yang melibatkan golongan berpendapatan rendah

    Masalah ekonomi global yang berlaku sekarang berpunca daripada krisis kewangan Amerika Syarikat yang melibatkan keruntuhan ekonomi, perdagangan, gadai janji subprima perumahan di Amerika Syarikat sejak 2007 dan berlarutan sehingga  tahun 2008. Bursa saham di seluruh dunia menjunam pada September 2008 apabila beberapa syarikat gergasi di Amerika Syarikat terjerumus ke dalam masalah kewangan akibat krisis kredit perumahan. Kerajaan Amerika Syarikat terpaksa menggunakan wang cukai rakyat untuk menyelamatkan beberapa syarikat (bailout) agar tidak menjadi muflis.

    Walaubagaimanapun, Malaysia tidak menerima kesan langsung kerana sejak dahulu Malaysia tidak menerima pakej pinjaman kewangan perumahan dan subprima dari Amerika. Namun kesannya tetap dirasai kerana wujudnya hubungan perdagangan import dan eksport antara kedua-dua negara. Antara kesan yang dirasai termasuklah rakyat terpaksa menanggung beban daripada beberapa segi antaranya, kadar inflasi yang tinggi, kenaikan harga barang, penutupan kilang dan pemberhentian pekerja yang akan meningkatkan kadar pengangguran.

    Bagi menghadapi masalah tersebut, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa berusaha memastikan  kebajikan rakyat  sentiasa terpelihara  khususnya golongan berpendapatan rendah menerusi pelaksanaan pelbagai program dalam agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES).

    Antara program MES yang telah dilaksanakan bagi Fasa 1 termasuklah program seperti Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Bekalan Air Percuma, Hadiah Anak Masuk Universiti, Bantuan Warga Usia Emas, Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) dan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang .

    Selain itu, terdapat beberapa program MES yang akan dilaksanakan secara berfasa khusus untuk golongan berpendapatan rendah termasuklah Caruman Takaful bagi Orang Kurang Upaya (OKU)/anak yatim, bantuan kepada peniaga muda; bimbingan perniagaan kepada belia, bantuan anak ke nurseri RM75 sebulan/orang, bantuan anak pra sekolah RM50 sebulan/orang, bantuan mendirikan rumah tangga, elaun ibu tunggal, elaun khas suri rumah dan bantuan memiliki kediaman.

    Menerusi program-program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dijangka dapat mengurangkan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi krisis ekonomi global.

  2. Apakah bentuk bantuan yang akan disalurkan kepada pengusaha dan pekerja yang hilang punca pendapatan ini ?

    Antara langkah Kerajaan Negeri dalam membantu mereka yang menerima impak akibat kemerosotan ekonomi khususnya para pekerja yang diberhentikan adalah seperti berikut:

    1. membuka kaunter pendaftaran khas bagi pendaftaran pekerja yang diberhentikan pada setiap hari Sabtu di setiap Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran di seluruh negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi mengenalpasti bentuk bantuan yang boleh diberikan samada bantuan sara hidup, pendidikan, sewa rumah, bantuan modal dan lain-lain;
    2. Membangunkan Selangor Retrenchment Helpline bagi tujuan pengumpulan maklumat pekerja yang diberhentikan serta penyuaipadanan (match-making) antara pekerja tersebut dengan kekosongan di syarikat yang berdaftar di bawah sistem tersebut; dan
    3. Menawarkan bantuan-bantuan latihan kepada pekerja yang diberhentikan dengan kerjasama institusi latihan di negeri Selangor yang mendapat tauliah daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia di mana elaun akan diberikan kepada pelatih sepanjang tempoh latihan dan ianya juga dapat mengurangkan kos operasi kepda majikan yang terlibat.

     

  3. Jelaskan adakah perancangan dibuat untuk memberi latihan semula kepada mereka, dan jika ada bila ianya akan dimulakan dan di mana?

    Kerajaan Negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tindakan Menangani Masalah Pemberhentian Pekerja Negeri Selangor telah membuat perbincangan dengan pihak Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Selangor, Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Tengah dan beberapa institusi latihan di sekitar Selangor dalam mendapatkan khidmat nasihat berserta pandangan berhubung bantuan yang ada dan yang boleh ditawarkan kepada pekerja yang diberhentikan kerja.

    Hasil perbincangan mendapati antara peruntukan yang boleh digunapakai adalah melalui Perbadanan Sumber Manusia Berhad (PSMB) di mana PSMB akan memberikan peruntukan di bawah Human Resource Development Fund (HRDF) bagi membiayai segala kos kepada institusi yang telah diakreditasi atau ditauliahkan oleh Kementerian Sumber Manusia melalui Jabatan Pembangunan Kemahiran serta elaun kepada pelatih yang mengikuti kursus terbabit.

    Kerajaan Negeri juga telah mengarahkan agar pihak Yayasan Selangor memohon untuk ditauliahkan sebagai pusat pengendali latihan (training provider) oleh pihak Jabatan Pembangunan Kemahiran.

Lampiran

Tiada Lampiran.