Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

71) KEMELESETAN DAN KEGAWATAN EKONOMI SEDUNIA

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Datuk Sulaiman Bin Abdul Razak

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah khusus yang dirancang dan akan dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri untuk menangani krisis kegawatan dan kemelesetan ekonomi seperti yang berlaku sekarang?

    Kerajaan Negeri melalui Bajet 2009 telah menggariskan lima (5) strategi khusus bagi memastikan kestabilan ekonomi Negeri Selangor seterusnya menangani krisis kegawatan dan kemelesetan ekonomi seperti yang berlaku sekarang. Lima (5) strategi tersebut ialah:

                Pertama     : Merakyatkan ekonomi Selangor (MES)

    Antara program MES yang telah dilaksanakan bagi Fasa 1 termasuklah program Tabung Warisan Anak Selangor (TAWAS), Bekalan Air Percuma, Hadiah Anak Masuk Universiti, Bantuan Warga Usia Emas, Pusat Khidmat Krisis Sehenti (OSCC) dan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang .

    Selain itu, terdapat beberapa program MES yang akan dilaksanakan secara berfasa khusus untuk golongan berpendapatan rendah termasuklah caruman Takaful bagi OKU/anak yatim, bantuan kepada peniaga muda; bimbingan perniagaan kepada belia, bantuan anak ke nurseri RM75 sebulan/orang, bantuan anak pra sekolah RM50 sebulan/orang, bantuan mendirikan rumah tangga, elaun ibu tunggal, elaun khas suri rumah dan bantuan memiliki kediaman.

    Menerusi program-program yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri dijangka dapat mengurangkan beban rakyat khususnya golongan berpendapatan rendah dalam menghadapi krisis ekonomi global.

     

              Kedua : Mempertingkat hasil pendapatan negeri

    Kerajaan Negeri juga berusaha untuk mempertingkatkan hasil pendapatan negeri menerusi peningkatan royalti bahan batuan. Kerajaan Negeri menubuhkan Kumpulan Semesta Sdn. Bhd (KSSB) yang beroperasi sebagai syarikat kerajaan yang memberi penumpuan pada aktiviti perniagaan pasir. Selain itu, bagi meningkatkan pendapatan, Kerajaan Negeri akan membuat Kajian Semula Kadar Caj Abstraksi Air Mentah, yang selaras dengan kenaikan kadar tarif air berawat. Kerajaan Negeri juga akan memperkenalkan Perlesenan Bahan Pencemar (Effluent Discharge) dan perlaksanaan Konsep “Let Polluters Pay!” sebagai satu usaha menangani pencemaran dan dalam masa yang sama memberi hasil kepada Kerajaan Negeri.  

                Ketiga : Memperkasa modal insan

    Strategi ketiga dalam perancangan Bajet  2009, iaitu usaha Kerajaan Negeri bagi membangunkan modal insan. Kerajaan Negeri akan menyediakan peluang pendidikan dan juga latihan kepada rakyat Selangor sebagai satu usaha untuk menghadapi krisis ekonomi di mana rakyat boleh berdikari dan menyiapkan diri untuk menceburi bidang perniagaan ataupun sektor-sektor lain seperti pertanian dan sebagainya.

               Keempat : Menguruskan perbelanjaan dengan cekap

    Menerusi pengurusan perbelanjaan yang cekap, Kerajaan Negeri sentiasa melaksanakan budaya perbelanjaan berhemat dengan memastikan semua perbelanjaan dibuat secara lebih berhati-hati berdasarkan  prinsip value for money bagi mengelakkan berlakunya pembaziran dalam pentadbiran Kerajaan Selangor.

    Kelima  :  Memantapkan pembangunan negeri Selangor

    Walaupun krisis ekonomi melanda, pembangunan negeri Selangor tetap diteruskan dengan menyediakan peruntukan sebanyak RM 710 juta bagi projek-projek pembangunan. Ini bagi memastikan ekonomi Negeri Selangor dapat terus dijana dan memberikan peluang-peluang pekerjaan kepada rakyat Negeri Selangor khususnya.

    Kerajaan Negeri Selangor juga sedar bahawa sebagai sebuah ekonomi yang bergantung kepada sektor perindustrian dan pembuatan, ekonomi negeri Selangor sangat sensitif kepada kesan kemelesetan ekonomi global. Kemelesetan ekonomi yang sedan gberlaku sekarang telah menyebabkan sebahagian rakyat hilang pekerjaan. Lantaran itu, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil tindakan menubuhkan sebuah Jawatankuasa Tindakan Menangani Masalah Pemberhentian Pekerja Negeri Selangor yang dianggotai oleh semua ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN). Jawatankuasa ini bertujuan untuk mendapatkan maklumat mengenai segala bentuk bantuan yang disediakan oleh jabatan/ agensi Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan serta kaedah pengagihannya kepada rakyat. Ia melibatkan jabatan/ agensi seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Lembaga Zakat Selangor, Jabatan Tenaga Kerja, Jabatan Pembangunan Kemahiran dan agensi-agensi latihan.

  2. Apakah Kerajaan Negeri akan mengurangkan cukai pintu rumah kediaman sebanyak 20% dan cukai premis komersial sebanyak 10% dalam usaha membantu meringankan bebanan rakyat dalam menangani kegawatan ekonomi?

    Kerajaan Negeri tidak merancang untuk mengurangkan cukai pintu rumah kediaman dan cukai premis komersial dalam tempoh waktu sekarang. Pendapatan daripada hasil cukai amat penting dalam meningkatkan pendapatan hasil negeri dan pada masa yang sama akan digunakan untuk menjana ekonomi Negeri Selangor.

    Kerajaan Negeri melalui Pihak Berkuasa Tempatan sedang melaksanakan pelbagai program dalam usaha membantu meringankan bebanan rakyat dalam menangani kegawatan ekonomi.

    Kaunter pendaftaran khas telah disediakan bagi pendaftaran pekerja yang diberhentikan pada setiap hari Sabtu di setiap Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran di seluruh negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh diberikan sama ada bantuan sara hidup, pendidikan, sewa rumah, bantuan modal dan lain-lain

    Selain itu, program pembasmian kemiskinan bandar juga telah dilaksanakan di mana sebanyak 7, 924 rumah perumahan rakyat dan Council Homes telah disediakan untuk mereka yang layak.

  3. Apakah kerajaan akan memberikan elaun ibu tunggal serta elaun suri rumah yang memilih menjaga sepenuh masa anak-anak kecil mereka dalam usaha membantu meringankan bebanan kewangan penduduk?

    Elaun ibu tunggal serta elaun khas suri rumah akan dilaksanakan di bawah agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor (MES) bagi Fasa yang keempat yang dijadualkan untuk dilaksanakan dalam tempoh Julai hingga Disember 2009. Program ini masih di peringkat kajian dan cadangan pelaksanaan.

    Kerajaan Negeri masih lagi belum memutuskan bentuk elaun yang akan diberikan itu dan perbincangan mengenainya sedang dibuat. Elaun tersebut tidak semestinya berbentuk peruntukan kewangan bulanan dan sebagainya, tapi mungkin dalam bentuk yang lebih kreatif dan seimbang.

Lampiran

Tiada Lampiran.