Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009
60) KERJA MENGOREK SUNGAI LANGAT
Tahun: 2009
Sesi: 1
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Ismail Bin Sani
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Didapati beberapa syarikat telah menjalankan kerja mengorek Sungai Langat di dalam DUN Dusun Tua. Bagaimana cara pemilihan syarikat tersebut dibuat? Apakah dibuat secara tender terbuka atau sebaliknya?
Setelah kejadian banjir Oktober 2008, JPS telah mengenalpasti bahawa diantara faktor berlaku banjir dikawasan tebing Sungai Langat adalah dasar sungai yang cetek. Memandangkan hujan lebat dijangka akan berlaku pada bulan Disember 2008, Maka untuk mengelakkan kejadian banjir daripada berulang, dasar Sungai Langat perlu segera didalamkan. Sebagai tindakan lanjut, kontraktor secara tindakan kecemasan telah dipanggil khususnya dikawasan kritikal. Bagi mempercepatkan pelaksanaan perlantikan kontraktor telah dibuat secara lantikan terus.
-
Apakah syarat-syarat syarikat yang layak?
Syarat – syarat syarikat yang dipilih perlu;
- Berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan Dan Koperasi dimana mempunyai kelas, kepala dan sub kepala yang berkaitan dangan skop kerja yang dijalankan
- Berdaftar dengan Pusat Khidmat Kontraktor(PKK) yang berkaitan dengan skop kerja yang dijalankan.
- Berdaftar dengan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB)
- Mempunyai rekod pengalaman kerja yang baik bersama Jabatan
-
Ada aduan penduduk mengatakan bahawa syarikat yang mengorek sungai ini mengambil kesempatan mengeluarkan pasir tanpa permit. Apakah tindakan Kerajaan Negeri?
Antara syarat di bawah pelaksanaan kontrak mengorek sungai, kontraktor di arah untuk menggunakan korekan pasir sungai bagi membina struktur benteng ban. Pasir yang dikorek tidak dibenarkan dibawa keluar bagi memastikan benteng ban yang dibina berfungsi dengan sempurna.
Walaubagaimanapun terdapat kecurian pasir daripada longgokan lebihan pasir setelah benteng ban dibina. Perkara ini telah segera diambil tindakan pemantauan oleh pihak JPS, LUAS bersama pihak Penguatkuasa Pejabat Tanah/Daerah Hulu Langat. Hasil pemantauan mendapati tiada lagi aktiviti pengeluaran pasir secara haram.