Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009
10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009
45) PEMBANGUNAN EKONOMI NELAYAN
Tahun: 2009
Sesi: 1
Isu: Industri Asas Tani
Adun: Y.B. Dato' Haji Raja Ideris Bin Raja Ahmad
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah tindakan segera Jabatan Perikanan Negeri bagi memastikan sumber perikanan di perairan Negeri Selangor bertambah?
Sumber ikan laut telah diterokai sehingga ke tahap maksima dan usaha mengekalkan sumber pada tahap sekarang merupakan satu tugas yang sangat mencabar. Antara usaha pengekalan sumber yang telah dilakukan ialah membanyakkan tukun-tukun atau tempat ikan berkumpul dan seterusnya membiak. Sehingga kini terdapat 5 buah atau tempat di mana tukun-tukun telah dilabuhkan di dasar laut di sepanjang pantai Negeri Selangor. Empat tukun dasar lembut dan satu tukun daripada vesel-vesel rampasan telah dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan. Kajian mendapati bahawa tukun-tukun ini telah terdapat kumpulan-kumpulan ikan dari berbagai saiz yang mendiaminya. Kawasan di mana tukun-tukun ini diletakkan menjadi tumpuan peminat memancing. Jabatan akan cuba memperbanyakkan pembinaan tukun ini pada masa depan.
-
Apakah tindakan Jabatan Perikanan Negeri di dalam menambah pendapatan nelayan miskin?
Berbagai usaha telah dan akan dijalankan oleh Jabatan Perikanan untuk meningkatkan pendapatan nelayan dan sekaligus mengeluarkan mereka daripada belenggu kemiskinan. Antara projek yang telah dilaksanakan ialah pembangunan kebun kerang yang melibatkan 3 daerah, iaitu Klang, Kuala Selangor dan Sabak Bernam. Sejumlah 200 lot satu seluas lebih kurang 50 ha telah diwujudkan melibatkan hampir 950 nelayan. Tujuan utama kebun kerang ialah untuk meningkatkan pendapatan nelayan kepada RM3,000.00 sebulan. Sejumlah 97 telah dilesenkan dan beroperasi, dan sejumlah 103 lot masih kosong. Sejumlah 37 lot telah mengeluarkan hasil pada 2008 berjumlah 14,000 mt bernilai RM10.0 juta. Di samping itu juga, kerajaan persekutuan telah memberikan insentif pengeluaran akuakultur di mana nelayan pekebun kerang layak menuntut 10 sen/kg bagi kerang yang dihasilkan. Jumlah insentif yang telah dibayar bernilai RM1.2 juta melibatkan hamir 200 orang nelayan pekebun kerang. Hampir semua 200 orang nelayan ini telah berjaya meningkatkan pendapatan kepada RM3,000.00 sebulan.
Jabatan juga akan melaksanakan pada tahun 2009 projek ternakan siput belitung atau siput sedut di kawasan hutan bakau bagi meningkatkan pendapatan nelayan yang tidak mempunyai sampan berlesen bekerja sebagai pengutip siput atau kerang-kerangan. Program akua-pelancungan melibatkan penggunaan vesel menangkap ikan untuk membawa pemancing dan juga pelancung menikmati kawasan hutan bakau dan kampung nelayan akan dipergiatkan dengan kerjasama Jabatan Laut bagi memastikan aspek keselamatan diberi keutamaan oleh nelayan. Jabatan akan mengaturkan kursus khas bagi melayakkan nelayan mendapat kebenaran sijil khas membawa penumpang menggunakan vesel menangkap ikan.