Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Negeri Selangor Tahun 2009

10 Mac hingga 13 Mac 2009 dan 16 Mac hingga 17 Mac 2009

40) KRISIS EKONOMI

Tahun: 2009

Sesi: 1

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohamad Khir Bin Toyo

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Berapa banyak kilang yang telah ditutup atau dipindah keluar dari negeri Selangor sejak Oktober 2008?

    Sehingga hari ini sebanyak dua syarikat milikan asing yang telah memaklumkan akan membuat penutupan syarikat secara berperingkat kepada SSIC Berhad. Syarikat tersebut ialah Flextronics Technology (Shah Alam) Sdn Bhd dan Sidel Industry (Malaysia) Sdn Bhd. Dijangkakan seramai 2,327 orang pekerja akan terlibat.

  2. Berapakah jumlah pekerja yang telah diberhentikan?

    Jumlah pekerja yang telah diberhentikan bagi tahun 2008 dan Januari 2009 adalah seperti berikut;-

     

    Tahun Pemberhentian Biasa Pemberhentian VSS Jumlah
    Tempatan Asing Jumlah Tempatan Asing Jumlah Tempatan Asing Jumlah
    2008 2,733 683 3,416 2,567 0 2,567 5,300 683 5,983
    Jan.

    2009

    1,754 451 1,205

     

    * Sumber : Jabatan Tenaga Kerja, Selangor

  3. Apakah tindakan kerajaan negeri untuk membantu mengatasi masalah pengangguran yang dijangka bertambah berikutan krisis ekonomi dunia?

    Bagi menangani masalah ini, Kerajaan Negeri  telah mengambil langkah proaktif dengan menubuhkan Jawatankuasa Tindakan Menangani Masalah Pemberhentian Pekerja di Negeri Selangor pada 30 Januari 2009 bertujuan untuk memantau, mengumpul maklumat dan maklum balas serta membincangkan bentuk bantuan yang boleh ditawarkan bagi menangani isu pemberhentian pekerja khususnya di negeri Selangor. Jawatankuasa ini mengadakan mesyuarat pada hari Jumaat setiap minggu dan antara agensi yang terlibat adalah:

    1. Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN);
    2. Selangor State Investment Centre (SSIC) Berhad;
    3. Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Selangor;
    4. Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) Wilayah Tengah;
    5. Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Selangor;
    6. Jabatan Imigresen Negeri Selangor;
    7. Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Selangor;
    8. Lembaga Zakat Selangor (LZS);
    9. Persatuan Pengilang Malaysia (FMM);
    10. Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF); dan
    11. Kongres Kesatuan Pekerja Malaysia (MTUC).

    Antara perancangan dan tindakan Kerajaan Negeri bagi mengatasi masalah ini adalah seperti berikut:

    1. Membuka kaunter pendaftaran khas bagi pendaftaran pekerja yang diberhentikan pada setiap hari Sabtu di setiap Majlis Bandaraya dan Majlis Perbandaran di seluruh negeri Selangor dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Lembaga Zakat Selangor (LZS) bagi mengenal pasti bentuk bantuan menerusi program sedia ada yang boleh diberikan sama ada dalam bentuk bantuan sara hidup, pendidikan, sewa rumah, bantuan modal dan lain-lain;
    2. Membangunkan Selangor Retrenchment Helpline iaitu pendaftaran secara online bagi tujuan pengumpulan maklumat pekerja yang diberhentikan serta penyuaipadanan (match-making) antara pekerja tersebut dengan kekosongan di syarikat yang berdaftar di bawah sistem tersebut berdasarkan kelayakan;
    3. Membangunkan Selangor Career Exchange bertujuan memberi kemudahan pencarian peluang-peluang pekerjaan di dalam sektor awam di Selangor dan sektor swasta dalam skop yang lebih luas termasuk kepada para graduan dan pekerja yang diberhentikan;
    4. Menawarkan bantuan-bantuan latihan kepada pekerja yang diberhentikan dan yang berkemungkinan diberhentikan dengan kerjasama institusi latihan di negeri Selangor yang mendapat tauliah daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran, agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia di mana elaun akan diberikan kepada pelatih sepanjang tempoh latihan. Langkah ini juga membolehkan mereka yang diberhentikan diserap ke sektor yang masih memerlukan pekerja seperti pelancongan dan perhotelan. Ia juga dilihat antara langkah yang dapat mengurangkan kos operasi kepada majikan yang terlibat sekali gus mengelakkan kemungkinan pekerja-pekerja berkenaan diberhentikan; dan
    5. Menubuhkan Pasukan Petugas Khas Pemudah cara (PEMUDAH) Negeri Selangor yang bertujuan untuk memberi maklum balas segera dan pantas terhadap segala isu yang dihadapi oleh syarikat, para pelabur serta rakyat di negeri Selangor

Lampiran

Tiada Lampiran.