Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

262) UGUTAN KEMENTERIAN TERHADAP NEGERI SELANGOR

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air pada 5 Oktober mengugut untuk menyaman Kerajaan Negeri Selangor berhubung dengan tertangguhnya Projek Menyalurkan air dari Pahang ke Hulu Langat. Apakah sikap kerajaan Selangor terhadap ugutan ini?

    Kerajaan Negeri Selangor bersikap profesional di dalam menangani setiap ugutan yang dikemukakan oleh man-mana pihak menerusi surat khabar. Namun sekiranya terdapat writ saman dikemukakan oleh Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air atau mana-mana pihak lain, maka Kerajaan Negeri Selangor akan sentiasa bersedia dalam menyediakan segala pembelaan .   Dalam kes Projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor, tidak ada sebarang writ saman yang dikemukakan oleh mana-mana pihak kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Negeri Selangor beranggapan ugutan tersebut hanyalah mainan politik sahaja.

     

  2. Sejauh manakah terlibatnya kerajaan dahulu (BN) berhubungan dengan Projek Penyaluran Air ini?

    Projek Penyaluran Air Mentah dari Pahang ke Selangor adalah projek yang dibiayai oleh Kerajaan Persekutuan yang melibatkan pinjaman dari Jepun melalui JBIC. Projek ini melibatkan 3 komponen utama iaitu:-

    • Pembinaan Empangan Kelau di Sungai Semantan, Pahang
    • Pembinaan terowong sejauh 13 km bagi menyalurkan air mentah dari Empangan Kelau ke Loji Rawatan Air Langat 2; dan
    • Pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 di Hulu Langat

    Memorandum Persefahaman telah ditandatangani di antara Kerajaan Pahang dan Kerajaan Selangor berhubung dengan projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor pada 27 Mac 2001.  Pada 14 Ogos 2001, Kerajaan

    Negeri Selangor telah meluluskan pelantikan Kumpulan Darul Ehsan Berhad

    (KDEB), sebuah anak syarikat milik penuh Kerajaan Negeri Selangor sebagai

    Turnkey Contractor  di dalam pembinaan projek Loji Langat  2 dan sebagai pemegang konsesi bagi menjalankan kerja-kerja operasi dan penyelenggaraan bagi projek tersebut.

    Pada 09 Jun 2003,  Head of Agreement telah ditandatangani bagi memperakukan pelantikan KDEB sebagai Turnkey Contractor.  Pada 22 November 2007,  Perjanjian Jual Beli Air Mentah dari Pahang ke Selangor telah ditandatangani.  Pada 16 Januari 2008, Jemaah Menteri telah bersetuju bahawa KDEB ditawarkan kontrak pembinaan bagi pakej utama secara rundingan terus selepas syarikat perunding yang dilantik oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB) menyiapkan kerja-kerja reka bentuk kejuruteraan (detailed design) dan mengemukakan anggaran kos keseluruhan projek Langat 2.

    Namun demikian, selepas dari Mac 2008,  pelaksanaan Projek Penyaluran Air Pahang ke Selangor seolah-olah dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan tanpa kerjasama Kerajaan Negeri Selangor.  Sehingga hari ini, tidak ada sebarang perbincangan di antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Selangor mengenai pelantikan kontraktor dan operator bagi Loji Langat 2 walaupun keputusan Jemaah Menteri bertarikh 16 Januari 2008 telah memperakukan pelantikan KDEB.

  3. Adakah kerajaan Negeri Selangor bercadang untuk menyaman balik mereka yang bertanggungjawab dengan projek yang menyebabkan seperti kerosakan alam sekitar dan sebagainya?

    Dalam kes Projek penyaluran air mentah dari Pahang ke Selangor, Kerajaan Negeri Selangor setakat ini tidak menerima sebarang writ saman dari manamana pihak.   Projek ini pada dasarnya tidak akan merosakkan alam sekitar dan mencemarkan sungai di Hulu Langat kerana aspek pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar amat dititikberatkan di bawah pelan pengurusan alam sekitar (EMP) yang disediakan oleh pasukan projek.  Setiap pelaksanaan projek akan dipantau dengan teliti oleh semua jabatan teknikal di bawah jawatankuasa yang dipengerusikan oleh Y.B. Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor.  Sekiranya dikenal pasti bahawa projek ini menyebabkan kerosakan alam sekitar, Kerajaan Negeri Selangor akan mempertimbangkan tindakan undang-undang diambil terhadap mereka yang terlibat.

Lampiran

Tiada Lampiran.