Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
255) TANAH PERKUBURAN CINA DAN INDIA
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Manoharan A/l Malayalam
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Mengapakah tanah-tanah perkuburan masyarakat kaum Cina dan India tidak dijaga dan dibersihkan oleh pihak berkuasa tempatan?
Untuk makluman, pengurusan pembersihan tanah-tanah perkuburan adalah di luar skop perkhidmatan pihak berkuasa tempatan kecuali bagi tanah-tanah perkuburan Islam awam tertentu yang terletak di bawah tanggungjawab PBT, penyelenggaraan tersebut dilakukan oleh pihak masjid/institusi atau penduduk sekitar. Tanah-tanah perkuburan bukan Islam di negeri Selangor kebanyakannya di selenggara oleh persatuan-persatuan agama Cina dan India. Walau bagaimanapun, di Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) terdapat tanah perkuburan bersepadu di Seksyen 21, Shah Alam diurus tadbir oleh pihak majlis.
-
Apakah langkah-langkah Kerajaan Negeri Selangor untuk mengurangkan bebanan rakyat jelata di dalam menanggung kos perbelanjaan pengebumian yang pada masa kini semakin meningkat di kalangan masyarakat kaum Cina dan juga India?
Kerajaan Negeri telah memutuskan bahawa, bagi tanah-tanah perkuburan yang dijalankan di atas tanah kerajaan, tidak boleh dijadikan sebagai tujuan komersial. Kos perbelanjaan yang semakin meningkatkan kebanyakannya adalah dari tanah-tanah perkuburan komersial yang di selenggara oleh persatuan atau pertubuhan NGO.
-
Berapakah jumlah wang peruntukan yang telah dibelanjakan oleh Kerajaan Negeri Selangor pada tahun 2008 dan juga tahun 2009 bagi tujuan menjaga dan meningkatkan kemudahan infrastruktur di perkuburan masyarakat kaum Cina dan India?
Kerajaan Negeri tidak menyediakan sebarang peruntukan khas bagi infrastruktur tanah-tanah perkuburan selain Islam di Negeri Selangor. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri telah menetapkan bagi setiap pembangunan yang berkeluasan 100 hektar atau lebih diwajibkan untuk menyediakan tapak perkuburan. Bagi pembangunan yang kurang daripada 100 hektar, pemaju atau pemilik tanah diwajibkan untuk menyumbang kepada Tabung Amanah Perkuburan yang berperanan untuk menyalurkan dana atau kewangan untuk menyediakan tapak-tapak perkuburan di Negeri Selangor. Selain itu, kerajaan negeri juga telah menetapkan melalui Pihak Berkuasa Tempatan, keperluan bagi menyediakan tapak tanah perkuburan atau caruman tapak perkuburan dikenakan sebagai syarat tambahan di dalam setiap kebenaran merancang yang dikemukakan.