Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
254) PEMBELIAN AIR DARI PAHANG
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Puan Lee Ying Ha
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Sila nyatakan sebab-sebab negeri Selangor membeli air dari Pahang.
Peristiwa krisis bekalan air tahun 1998 yang telah berlaku di Selangor yang melibatkan hampir 1.8 juta orang dan berlarutan selama 6 bulan menjadi iktibar kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Kerajaan Persekutuan. Lanjutan dari peristiwa krisis bekalan air tahun 1998, satu kajian telah dibuat oleh Unit Perancang Ekonomi, Malaysia dengan kerjasama Juru perunding SMHB bagi menghasilkan National Water Resources Studies 2000.
Hasil dari kajian tersebut, Negeri Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mempunyai penduduk dianggarkan sejumlah 7.5 juta orang menggunakan bekalan air sebanyak 3,904 JLH di mana sebanyak 61% adalah penggunaan domestik dan bakinya 39% adalah penggunaan komersial, industri dan pelancongan. Kapasiti maksimum pengeluaran dari 33 loji rawatan air adalah sebanyak 4,445 JLH. Unjuran purata permintaan bekalan air dikira berdasarkan kepada pertambahan penduduk dan pembangunan ekonomi serta industri.
Berdasarkan kepada kajian tersebut, dijangkakan akan berlaku pertambahan penduduk dan pembangunan ekonomi. Pertambahan penduduk serta pertumbuhan ekonomi yang rancak secara langsung akan mendorong kepada permintaan air bersih yang lebih tinggi manakala pembekalan air tidak berubah. Adalah dijangkakan dalam keadaan yang sedemikian, Kerajaan Negeri Selangor akan menghadapi masalah kekurangan bekalan air.
Masalah kekurangan bekalan air boleh mendatangkan kesan dan risiko yang besar dari segi sosial, ekonomi dan politik serta imej kerajaan. Bagi mengatasi masalah kekurangan bekalan air yang dijangka melanda Negeri Selangor, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan pelaksanaan Projek Penyaluran Air dari Pahang ke Selangor pada tahun 2001. Dengan terlaksananya projek ini, ia dapat membekalkan air mentah sejumlah 2260 JLH bagi menampung permintaan air di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
-
Bagaimanakah rakyat boleh dijamin oleh pihak berkenaan supaya air yang disalurkan dari Pahang tidak di cemar oleh racun Cyanide.
Lombong emas di Bukit Koman, Raub adalah di luar kawasan tadahan air Empangan Kelau. Air dari Bukit Koman mengalir ke Sg Gali di mana arah aliran air sungai ini tidak mengalir ke kawasan tadahan air khususnya ke kawasan takungan air Empangan Kelau.
Hasil kajian Jabatan Kimia terhadap sampel air Sungai Koman serta air bawah tanah di Bukit Koman, Raub, Pahang mendapati tiada unsur sianida dikesan di kawasan itu. Bagi memastikan tidak ada ujud sebarang pencemaran yang disebabkan oleh Cyanide, Jabatan Alam Sekitar (JAS) serta Jabatan Mineral dan Geosains akan terus membuat pemantauan terhadap tahap penggunaan sianida dalam aktiviti perlombongan emas di Bukit Koman.