Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

251) PROGRAM BAYARAN TUNGGAKAN SEWA SECARA KHIDMAT KOMUNITI

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohd Nasir Bin Hashim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kerajaan Negeri telah memperkenalkan program pembayaran tunggakan sewa rumah PPR Lembah Subang secara melakukan khidmat komuniti. Berapakah bilangan keluarga yang terlibat dalam program ini ?

    Program khidmat komuniti di Projek Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri bertujuan untuk membantu penyewa-penyewa yang tidak mampu membayar tunggakan sewa kerana faktor pendapatan yang rendah atau mempunyai tanggungan yang tinggi. Peserta akan melakukan kerja-kerja khidmat komuniti mengikut kadar jam yang ditetapkan oleh Majlis Perbandaran Petaling Jaya (MBPJ) sehingga selesai untuk membolehkan tunggakan sewa mereka sebelum tahun 2010 dilupuskan.

    Pada peringkat pemilihan peserta seramai 30 nama penyewa telah dipilih untuk menyertai program khidmat komuniti ini. Seramai 14 orang penyewa sahaja memberi maklum balas dan bersetuju menerima surat tawaran daripada MBPJ. Sesi taklimat kepada peserta telah diadakan pada 10 Ogos 2010 dan seramai 7 orang sahaja yang hadir pada hari tersebut. Walau bagaimanapun, hanya 4 orang peserta sahaja yang melaporkan diri pada hari pertama program khidmat komuniti dijalankan di PPR Lembah Subang.

  2. Bagaimanakah kejayaan perlaksanaan program tersebut ?

    Pelaksanaan khidmat komuniti sebagai pembayaran tunggakan sewa di kalangan penyewa PPR Lembah Subang didapati tidak mencapai sasaran yang ditetapkan oleh Kerajaan Negeri. Kebanyakan peserta yang dipilih merupakan ibu tunggal yang sukar memberi komitmen sepenuh masa untuk menyertai program komuniti di samping tidak berminat dengan kerja-kerja yang ditetapkan kepada mereka.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.