Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
234) KOLAM TAKUNGAN UNTUK SISTEM PENGAIRAN PROJEK BARAT LAUT
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Dato' Mohd Shamsudin Bin Lias
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah dasar Kerajaan Negeri Selangor yang cuba menghalang pembinaan projek takungan untuk sistem pengairan padi Projek Barat Laut Selangor yang bertujuan untuk membantu meningkatkan hasil pengeluaran padi dui Tanjong Karang ?
Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah menghalang sebarang pembinaan projek “mega” yang akan memberi manfaat jangka panjang kepada rakyat khususnya parapara petani padi di Tanjung Karang bagi peningkatan hasil padi mereka. Namun begitu, Kerajaan Negeri menghendaki supaya projek-projek yang dilaksanakan ini tidak akan memberi kesan negatif dan merugikan para petani di masa jangka panjang. Bagi Projek Barat Laut Selangor, ianya melibatkan kawasan Hutan Simpan Sungai Karang, Hutan Simpan Raja Musa dan Hutan Simpan Sungai Dusun. Sehubungan dengan itu, pembangunan HSK ini memerlukan pematuhan kriteria tertentu untuk menjamin kelestarian hutan-hutan ini. Selain dari itu, Kerajaan Negeri Selangor memerlukan dokumentasi yang lengkap serta kajian terperinci berhubung rancangan pembinaan ini kerana tanpa kajian menyeluruh, kemungkinan kesan dari projek ini, paras air bagi HSK ini akan turun dan menyebabkan hutan berpaya gambut ini menjadi kering serta terdedah kepada risiko kebakaran hutan. Secara tidak langsung, keadaan ini akan mengakibatkan kepupusan biodiversiti dalam HSK tersebut.
-
Mengapa Kerajaan Negeri Selangor denda dan mengambil tindakan menghalang pembinaan projek tersebut ?
Denda yang dikenakan ialah kerana projek ini melibatkan penebangan pokok-pokok hutan dalam kawasan Hutan Simpan Raja Musa, Hutan Simpan Sungai Dusun dan Hutan Simpan Sungai Karang sepanjang kawasan rizab sungai tanpa mendapat kebenaran terlebih dahulu daripada Kerajaan Negeri Selangor dan tindakan ini menyalahi Enakmen(Pemakaian) Akta Perhutanan Negara 1985.