Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
201) SETINGGAN
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Perumahan
Adun: Y.B. Dato' Abd Rahman Bin Palil
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah bilangan setinggan dan keluarga di Selangor mengikut PBT Ð PBT setakat ini?
Berdasarkan laporan bancian yang dibuat oleh setiap Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sehingga 30 Oktober 2010 masih terdapat seramai 4,073 keluarga setinggan di Negeri Selangor yang belum dipindahkan ke penempatan baru atau diselesaikan. Majlis Perbandaran Klang (MPK) mencatat bilangan setinggan paling tinggi di atas tapak iaitu seramai 1,318 keluarga, diikuti Majlis Perbandaran Selayang (MPS) 1,075 keluarga, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) 348 keluarga, Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) 337 keluarga, Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS) 331 keluarga, Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) 256 keluarga dan Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) 173 keluarga. Manakala PBT-PBT lain menunjukkan bilangan yang lebih kecil iaitu Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) 112 keluarga, Majlis Perbandaran Sepang (MPSp) 103 keluarga, Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) 12 keluarga dan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) 8 keluarga. Tiada lagi penempatan setinggan di Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ). Walau bagaimanapun, MBPJ sedang menumpukan program pemindahan semula bekas setinggan yang menghuni di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang dan PPR Kota Damansara ke projek rumah kos rendah.
-
Bagaimanakah perkembangan proses penyelesaian masalah setinggan yang berbangkit?
Kerajaan Negeri komited untuk memastikan masalah setinggan atau peneroka bandar yang sebelum ini tidak mendapat pembelaan atau perhatian serius oleh Kerajaan terdahulu terbela. Kebanyakan penempatan setinggan yang masih di tapak mempunyai pelbagai masalah yang perlu diselesaikan secara teliti memandangkan adanya isu-isu tanah, kes mahkamah, setinggan dan sebagainya.
Sebagai contoh penempatan setinggan Pandan Jaya, Ampang yang didiami oleh 188 keluarga setinggan sukar dipindahkan kerana tiada projek RKR berhampiran yang boleh ditawarkan kepada mereka walaupun bersetuju keluar daripada tapak. Namun demikian ada di antara mereka bersetuju membeli rumah yang dicadangkan oleh Lembaga Perumahan Dan Hartanah Selangor (LPHS) di projek RKR Taman Harmoni, Balakong yang jauh sedikit daripada penempatan sekarang.
Kerajaan Negeri akan terus mencari jalan penyelesaian dengan mengadakan perbincangan dan rundingan dengan pihak-pihak berkepentingan supaya masalah setinggan dapat diselesaikan dalam masa terdekat.