Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

131) INDUSTRI AIR

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam

Adun: Y.B. Datuk Mohd Isa Bin Abu Kasim

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kenapakah kerajaan negeri dilihat tidak cekap untuk memuktamadkan penstrukturan industri air negeri ?

    Dalam memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Selangor, terdapat banyak perkara yang perlu diteliti dan diperhalusi oleh Kerajaan Negeri Selangor supaya apa jua keputusan yang dibuat tidak mendatangkan sebarang kesan buruk kepada rakyat negeri Selangor khususnya dan pada masa yang sama tidak menjejaskan operasi perkhidmatan air.  Selangor sebagai negeri yang menjadikan kepentingan rakyat sebagai agenda utama, matlamat akhir yang perlu dicapai di dalam memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air antaranya adalah:-

    • Tarif air yang adil dan munasabah yang tidak membebankan pengguna dan pada masa yang sama tidak merugikan syarikat operator air. Kenaikan tarif yang tinggi adalah bertentangan dengan hasrat Kerajaan Negeri dalam mencapai Agenda Merakyatkan Ekonomi Selangor;
    • Nilai pampasan yang perlu dibayar kepada Syarikat Konsesi Air di dalam penstrukturan semula merupakan satu nilai yang berpatutan (fair value) yang tidak merugikan mana-mana pihak di mana Kerajaan Negeri Selangor amat menitik beratkan nilai yang adil dan berpatutan. Dalam membuat penilaian ini, Kerajaan Negeri Selangor mengambil kira faktor jumlah, tempoh pelaburan yang telah dibuat oleh pemegang saham dalam Syarikat Konsesi Air termasuk jumlah hutang yang ditanggung serta memberikan pulangan sebanyak 12% atas pelaburan tersebut.  Pada masa yang sama, Kerajaan Negeri Selangor perlu menghormati terma dan syarat Perjanjian Konsesi Air yang masih berkuat kuasa dan hak-hak Syarikat Konsesi Air  di bawah Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan bahawa tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang yang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai;
    • Kos operasi syarikat operator air yang munasabah dan tidak membebankan pengguna kerana setiap kos yang dibelanjakan oleh operator air akhirnya akan dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan tarif. Semakan awal terhadap bayaran jualan pukal dan bayaran tetap/kapasiti yang dituntut oleh pemegang konsesi sedia ada menunjukkan bahawa Syarikat Konsesi Air telah meraut pulangan yang tinggi berbanding dengan kos pembangunan, cukai dan faedah/untung institusi kewangan. Hasrat Kerajaan Negeri Selangor dalam mencapai matlamat Merakyatkan  Ekonomi Selangor, keuntungan ke atas operator air yang baru setelah penstrukturan dimuktamadkan ditetapkan antara 0 hingga 1% sahaja; dan
    • Dasar pemberian 20 meter padu air percuma.
  2. Adakah wujud tekanan politik untuk kerajaan negeri terus menangguhkan cadangan yang penstrukturan yang ada ?

    Model penstrukturan secara holistik yang diutarakan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah Model yang terbaik dan mengutamakan kepentingan pengguna serta mendukung dasar-dasar penyusunan semula Industri Perkhidmatan Air Negara sebagaimana yang telah dibahaskan di dalam Dewan Rakyat dengan ciri-ciriberikut:-

    1. Industri perkhidmatan air diuruskan secara holistik melalui sebuah syarikat yang dimiliki atau di bawah kawalan kerajaan Negeri;
    2. Operator perkhidmatan air yang dilesenkan di bawah Akta Industri

    Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655); dan iii) Operator yang beroperasi secara asset light dengan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada peningkatan tahap keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan berasaskan syarat lesen dan KPI yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

    Namun demikian,  Model Holistik Kerajaan Negeri Selangor tidak dapat diterima oleh kesemua Syarikat Konsesi Air sedia ada.  Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KTTHA) seterusnya bersetuju supaya Model Kerajaan Persekutuan yang mengekalkan operasi semua syarikat konsesi air melalui Authorisation di bawah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) digunakan dalam penstrukturan semula air di Selangor.

    Kerajaan Negeri Selangor tidak bersetuju dengan Model yang diutarakan oleh KTTHA kerana melalui Model tersebut, SYABAS masih mengekalkan operasinya dan hasrat untuk mewujudkan satu operator tunggal secara holistik tidak akan dapat tercapai.

    Dalam memuktamadkan penstrukturan semula air di Selangor, tekanan utama yang ujud adalah untuk memastikan rakyat di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya mendapat hak yang adil melalui  kadar tarif munasabah yang tidak membebankan pengguna dan pada masa yang sama tidak merugikan manamana pihak.  Melalui Model Kerajaan Persekutuan, kadar tarif yang munasabah adalah belum terjamin lagi kerana di bawah Model yang fragmented  akan transfer pricing di dalam operasi  yang mana ini boleh menyumbang kepada kos operasi yang tinggi.  Kos operasi yang tinggi akhirnya akan ditanggung oleh pengguna dalam bentuk kenaikan tarif air.

    Masalah kekurangan air  adalah berkait rapat dengan pembangunan infrastruktur bekalan air sebagai langkah mengatasi masalah kekurangan bekalan air.  Pembangunan infrastruktur bekalan air memakan belanja yang tinggi dan setiap sen yang dibelanjakan untuk pembangunan infrastruktur bekalan air akhirnya akan ditanggung oleh pengguna dalam bentuk tarif yang tinggi.

  3. Adakah kerajaan negeri sedar penangguhan ini telah meresahkan rakyat, menyusahkan pihak operator dan Kerajaan Persekutuan ?

    Model penstrukturan secara holistik yang diutarakan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah Model yang terbaik dan mengutamakan kepentingan pengguna serta mendukung dasar-dasar penyusunan semula Industri Perkhidmatan Air Negara sebagaimana yang telah dibahaskan di dalam Dewan Rakyat dengan ciri-ciri berikut:-

    1. Industri perkhidmatan air diuruskan secara holistik melalui sebuah syarikat yang dimiliki atau di bawah kawalan kerajaan Negeri;
    2. Operator perkhidmatan air yang dilesenkan di bawah Akta Industri

    Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655); dan iii) Operator yang beroperasi secara asset light dengan menumpukan perhatian sepenuhnya kepada peningkatan tahap keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan berasaskan syarat lesen dan KPI yang dikawal selia oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).

    Walaupun Model Holistik tersebut diakui sebagai yang terbaik, namun masih terdapat banyak kesukaran untuk meyakinkan semua pihak yang terlibat dalam menerima Model Holistik sebagai kaedah untuk menstrukturkan semula industri perkhidmatan air di Selangor.

    Di dalam menjayakan rundingan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Selangor, faktor utama yang dititik beratkan oleh Kerajaan Negeri Selangor adalah nilai yang berpatutan dan tidak membebankan pengguna. Kerajaan Negeri Selangor perlu menghormati segala terma dan syarat di dalam Perjanjian Konsesi Air yang masih berkuat kuasa dan pada masa yang sama akur akan hak Syarikat konsesi Air di bawah Perlembagaan Malaysia yang memperuntukkan bahawa  tiada seorang pun boleh dilucutkan hartanya kecuali mengikut undang-undang dan tiada undang-undang yang boleh memperuntukkan pengambilan atau penggunaan harta dengan paksa tanpa pampasan yang memadai.  Dalam memuktamadkan penstrukturan air ini, Kerajaan Negeri Selangor masih konsisten dengan matlamat untuk Merakyat Ekonomi Selangor dan dasar pemberian air percuma 20meter padu masih dititik beratkan.

    Kerajaan Negeri Selangor sedar kelewatan dalam memuktamadkan penstrukturan semula air boleh mendatangkan kesan yang besar dari segi operasi.  Dari segi pasaran kewangan, kelewatan ini memberi kesan yang besar di mana baru-baru ini bon-bon bagi industri air telah diturun taraf nilaiannya.  Memandangkan kelewatan ini bukan semata-mata disebabkan oleh Kerajaan Negeri Selangor, maka pada 22 Oktober 2010, Kerajaan Negeri Selangor telah menggesa Y.B. Menteri Tenaga Teknologi Hijau dan Air untuk menyelesaikan segera penstrukturan semula ini.

    Akta 655 memperuntukkan bahawa Menteri mempunyai kuasa dalam menetapkan kepentingan awam bagi memastikan pelaksanaan penstrukturan semula, di mana ini termasuk ketetapan mengenai jumlah isu kepentingan awam dalam negara di mana ini termasuk penamatan perjanjian konsesi dengan nilai pampasan yang bersesuaian, yang mana sebarang ketetapan yang dibuat oleh Menteri adalah muktamad dan hendaklah dipatuhi.  Keputusan Menteri ini tidak boleh dicabar, dirayu, dinilai, dimansuhkan atau dipersoalkan di mahkamah. Namun demikian, Menteri masih belum bersedia menggunakan kuasa yang telah diberikan di bawah Akta tersebut.  Oleh itu sebagai langkah untuk mempercepatkan pelaksanaan penstrukturan semula ini, Kerajaan Negeri Selangor bersetuju dengan konsep willing buyer willing seller   dan telah mencadangkan supaya sebarang pertikaian yang ujud ke atas nilai pampasan yang akan dibayar kepada Syarikat Konsesi Air hendaklah dirujuk kepada Badan Timbang Tara Antarabangsa bagi menentukan nilai yang adil dan munasabah.

Lampiran

Tiada Lampiran.