Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
128) PERBADANAN ADAT-ADAT WARISAN MELAYU
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Adat Istiadat & Warisan
Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah pencapaian Perbadanan adat-adat dan warisan Melayu dalam memulihara dan memelihara adat-adat Melayu di negeri Selangor setakat ini.
Sebagai institusi yang bertanggungjawab dalam pemeliharaan dan pemuliharaan warisan ketara dan tidak ketara Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor telah mengambil inisiatif di dalam memulihara dan menghidupkan kembali kegemilangan warisan Melayu zaman silam.
PADAT telah melaksanakan penyelidikan dan juga melaksanakan bengkel yang berkaitan dengan tradisi tekstil warisan Melayu iaitu kesenian kelingkan dan juga kesenian menekat. Kedua-dua kesenian warisan ini telah hampir pupus dan tidak dikenali lagi bagi generasi kini.
Padat telah melaksanakan bengkel kelingkan selama 3 bulan bermula dari Mac hingga Jun, dan bengkel tekat dilaksanakan bermula pada bulan Ogos hingga Oktober dan output dari bengkel ini kakitangan PADAT telah mahir dalam kerjakerja menyulam kelingkan dan penyelidikan berkaitan kelingkan masih dijalankan dan ianya dalam usaha untuk membuktikan bahawa kesenian menyulam kelingkan ini adalah warisan dari kesenian Selangor .
Selain daripada warisan kesenian PADAT juga telah melaksanakan Pertandingan Nasi Ambeng dan juga Sireh Junjung. Kedua-dua ini adalah warisan ketara yang cuba di pulihara oleh PADAT.
-
Apakah perancangan perbadanan untuk menjadikan adat-adat Melayu itu menjadi amalan masyarakat Melayu masa kini.
Dalam konteks untuk mewujudkan adanya kesinambungan pengamalan elemeneleman adat-adat Melayu bagi di dilaksanakan dalam masyarakat kini PADAT telah melaksanakan perancangan dengan menyediakan Pelan Strategik PADAT.
Pelan Strategik PADAT ini telah memformulasikan beberapa teras strategik bagi mencapai sasaran PADAT sebagai pemangkin adat-adat Melayu ini.
Teras strategik PADAT adalah:
Penyelidikan Saintifik kep
- ada budaya dan warisan
- Pengurusan konservasi terhadap artifak dan budaya
- Mempromosikan adat Melayu dan Warisan Negeri
- Warga kerja yang kompeten dalam bidang adat melayu dan warisan
-
Apakah kerajaan negeri Selangor ada mengenal pasti adat-adat orang Melayu yang tidak bertentangan dengan syariat Islam yang boleh di implementasikan dalam masyarakat majmuk menjadi satu budaya negeri Selangor.
Melalui kerja-kerja penyelidikan yang berterusan pihak PADAT sedang mengenal pasti beberapa adat-adat yang menjadi amalan masyarakat Melayu pada masa kini.
Sehubungan dengan itu juga Kerajaan negeri Selangor melalui PADAT akan bekerjasama dengan Institusi Pengajian Tinggi dalam rangka menganjurkan satu Konvensyen Adat yang dijangka akan berlangsung pada Oktober 2011. Konvensyen ini akan dihadiri oleh pelbagai golongan masyarakat terutama mahasiswa yang terlibat secara langsung dalam penyelidikan budaya Melayu. Antara objektif konvensyen ini diadakan ialah untuk memperjelaskan peranan adat dalam pembentukan jati diri masyarakat Melayu. Selain itu, konvensyen ini juga akan mengupas isu adat dan kaitannya dengan agama Islam.
PADAT mengharapkan penganjuran konvensyen ini akan dapat menggariskan adat Melayu yang tidak bertentangan dengan hukum syarak dan bagaimana adat yang terdapat dalam masyarakat Melayu sebenarnya telah sebahagiannya diterima dalam masyarakat majmuk di Selangor seperti adat gotong royong, adat menziarah serta adat memuliakan tetamu.