Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

97) KEMUDAHAN UNTUK BERSUKAN

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Generasi Muda & Sukan

Adun: Y.B. Dato' Subahan Bin Kamal

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Setiap taman perumahan di Negara ini disediakan padang bagi membolehkan penduduk setempat, terutamanya remaja dan belia bersukan di masa lapang. Baru-baru ini, rakyat khususnya golongan muda telah merungut dan merasa tidak puas hati dengan tindakan Pihak Berkuasa Tempatan memasang papan tanda melarang mereka bermain bola di atas padang-padang ini. Malah ada ketikanya mereka telah diganggu dengan kehadiran pihak polis yang telah dipanggil oleh penduduk yang kurang senang dengan perbuatan remaja-remaja ini melanggar larangan yang telah dikeluarkan. Langkah melarang belia dan remaja bersukan adalah sesuatu yang tidak bijak dan mampu mengundang mereka terjerumus dalam aktiviti yang tidak sihat. Apakah rasional kepada tindakan yang diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan, khususnya oleh Majlis Perbandaran Selayang mengeluarkan larangan tersebut, sedangkan selama ini tidak pernah ada rungutan dari penduduk setempat berkaitan masalah yang dihadapi ketika belia-belia ini bermain?

    Papan tanda larangan bermain bola dipasang disebabkan kawasan yang digunakan untuk bermain bola oleh remaja-remaja tersebut bukan kawasan padang bola sepak. Di bawah peruntukan Undang-undang Kecil Taman Majlis Perbandaran Selayang Klausa 3(p) ’bermain layang-layang atau apa-apa permainan bola kecuali di tempat-tempat yang diperuntukkan dengan nyata bagi permainan itu’ adalah merupakan suatu kesalahan dan boleh dikenakan penalti sehingga RM 2,000.00’. Kawasan tersebut merupakan kawasan lapang untuk taman permainan kanak-kanak yang disediakan peralatan permainan dan juga gelanggang badminton. Kawasan lapang ini juga bersaiz kecil ( 50m x 30m ) dan tidak sesuai untuk bermain bola sepak. Saiz standard bagi padang bola adalah sekurang-kurangnya 52m x 113m. Selain itu, kedudukan kawasan lapang ini yang agak tinggi berbanding aras jalan iaitu lebih kurang 1 m tinggi dan dikelilingi perumahan juga menyebabkan permainan bola sepak terutamanya oleh remaja-remaja kawasan tersebut amat tidak sesuai dan seringkali berlaku kerosakan ke atas harta benda penduduk sekitar akibat daripada bola yang disepak melantun keluar serta mengenai kereta dan rumah yang menyebabkan kerosakan. Pihak Majlis mengambil tindakan memasang papan tanda

    tersebut hasil daripada aduan-aduan penduduk sekitar yang dikemukakan melalui sistem aduan STARS, telefon dan datang sendiri ke Majlis. Masalah tersebut juga telah dibangkitkan oleh Ahli Majlis yang mewakili penduduk kawasan tersebut.

  2. Nyatakan alternatif yang disediakan oleh Kerajaan Negeri dalam menggalakkan remaja dan belia setempat menggunakan padang yang disediakan untuk bersukan tanpa perlu mencari tempat permainan lain yang pastinya memerlukan mereka mengeluarkan perbelanjaan

    Kawasan-kawasan perumahan baru yang dibangunkan oleh pihak pemaju telah disyaratkan untuk menyediakan kemudahan riadah dan rekreasi yang lengkap. Pemaju diwajibkan untuk menyediakan peralatan permainan dan juga kemudahan gelanggang seperti gelanggang badminton / gelanggang serbaguna termasuk padang bola serta lain-lain kemudahan berkaitan untuk kegunaan penduduk. Namun demikian penyediaan kemudahan tersebut adalah bergantung kepada keluasan kawasan yang akan dibangunkan dan juga kepadatan penduduk serta kesesuaian sesuatu kemudahan tersebut disediakan sepertimana yang terkandung dalam Manual Garis panduan dan Piawaian Perancangan Negeri Selangor dan juga menepati Garis panduan Kelulusan Landskap PBT serta menepati piawaian ’Malaysian Standard’ MS ISO dan juga SIRIM.

    Selain itu, PBT di Negeri Selangor sentiasa berusaha untuk menyediakan dan membaik pulih segala kemudahan sukan dan rekreasi seperti pembinaan padang futsal melalui peruntukan tahunan bagi memastikan orang ramai terutamanya golongan remaja dapat menggunakan kawasan tersebut untuk melakukan riadah dan lain-lain aktiviti yang sihat.

  3. Tiadakah rancangan Pihak Berkuasa Tempatan menaikkan pagar di sekeliling padang di taman-taman perumahan bagi membolehkan remaja-remaja ini bermain dan dalam masa yang sama menjaga keselamatan rumah dan kenderaan penduduk berdekatan?

    Pihak Majlis Perbandaran Selayang sememangnya telah membina dan memasang pagar pengadang bola di semua padang-padang bola yang terdapat di dalam kawasan pentadbiran majlis. Namun demikian, bagi kawasan lapang yang bukan dalam kategori padang bola tetapi digunakan untuk bermain bola pihak majlis tidak dapat membina pagar pengadang memandangkan kawasan lapang sedemikian terlalu banyak dan ianya melibatkan peruntukan yang tinggi serta di luar kemampuan majlis. Keutamaan pada masa ini adalah membaik pulih kerosakan dan menyediakan kemudahan rekreasi yang lengkap untuk memastikan keselamatan dan keselesaan pengguna terjamin.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.