Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

96) KERJA SEPARA MASA

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Dato' Haji Mohamed Idris Bin Haji Abu Bakar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kerajaan Persekutuan sedia untuk menguatkuasakan Peraturan-peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa untuk faedah rakyat). Adakah kerajaan negeri sedia untuk melaksanakan peraturan dan polisi ini ?

    Pekerja Separa Masa didefinisikan sebagai mereka yang bekerja antara 30% tetapi tidak melebihi 70% daripada waktu bekerja bagi Pekerja Sepenuh Masa. Sebagai contoh, waktu pekerja sepenuh masa adalah lapan (8) jam sehari maka Pekerja Separa Masa adalah mereka yang bekerja antara 2.4 jam hingga 5.6 jam sehari. Manakala bagi situasi di mana waktu bekerja Pekerja Sepenuh Masa adalah 48 jam seminggu, maka Pekerja Separa Masa adalah mereka yang bekerja antara 14.4 jam hingga 33.6 jam seminggu. Namun yang demikian, terma ini tidak meliputi pekerja-pekerja yang bekerja dari rumah (homeworking) atau bekerja secara teleworking.

    Kerajaan Persekutuan telah mewartakan Peraturan-Peraturan Kerja (Pekerja Separa Masa) 2010 pada tanggal 1 Oktober 2010 lalu. Peraturan ini diperkenalkan bertujuan menarik dan meningkatkan penyertaan tenaga kerja tempatan terutamanya 6.8 juta latent workforce yang terdiri daripada golongan suri rumah termasuk ibu tunggal, penuntut IPT, pesara dan OKU ke dalam pasaran buruh negara seterusnya secara tidak langsung akan menambahkan pendapatan individu dan isi rumah. Secara spesifiknya, Peraturan yang diwartakan ini diharapkan dapat menggalakkan majikan mengambil Pekerja Separa Masa dan sekali gus memenuhi hasrat Kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing.

    Buat masa ini, Kerajaan Negeri belum melaksanakan peraturan Bekerja Separa Masa ini dan kajian lanjut berkaitan inisiatif ini akan diambil oleh Jabatan yang berkenaan. Dalam hal ini, Kerajaan Negeri bersedia untuk turut sama menjayakan agenda ini dan memerlukan kajian yang komprehensif sebelum ia dilaksanakan sepenuhnya.

  2. Adakah agensi dan anak syarikat negeri boleh menyedia peluang pekerjaan separa masa ini ?

    Jabatan / Agensi dan anak syarikat Kerajaan Negeri dibenarkan menyediakan peluang pekerja kepada Pekerja Separa Masa ini hanya setelah kajian terperinci dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

Lampiran

Tiada Lampiran.