Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
84) BEKALAN AIR
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Infrastruktur & Kemudahan Awam
Adun: Y.B. Datuk Mohd Isa Bin Abu Kasim
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Kerajaan negeri mendakwa bekalan air cukup kepada rakyat Selangor sehingga 2019 berbanding laporan awal pihak kementerian yang mengatakan krisis bekalan meruncing tahun 2014. Apakah asas dakwaan ini dan siapakah konsultan yang mengkaji unjuran tersebut ?
Kerajaan Negeri Selangor tidak pernah menafikan isu kekurangan bekalan air yang dijangkakan akan melanda Negeri Selangor sebelum siapnya Projek Penyaluran Air dari Pahang ke Selangor. Pertikaian yang berlaku hanyalah dari segi penetapan tarikh bila akan berlakunya kekurangan bekalan air tersebut.
Berdasarkan kepada unjuran kapasiti pengeluaran air dibandingkan dengan unjuran permintaan bekalan air yang didasarkan kepada penggunaan sebenar bermeter (metered consumption) dan keupayaan pengeluaran semasa loji rawatan air, didapati bahawa kekurangan air akan berlaku pada tahun 2019.
Masalah kekurangan air adalah berkait rapat dengan pembangunan infrastruktur bekalan air sebagai langkah mengatasi masalah kekurangan bekalan air. Pembangunan infrastruktur bekalan air adalah memakan belanja yang tinggi dan setiap sen yang dibelanjakan untuk pembangunan infrastruktur bekalan air akhirnya akan ditanggung oleh pengguna dalam bentuk tarif yang tinggi.
Oleh yang demikian, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengambil sikap berhatihati di dalam menetapkan tarikh dijangka berlakunya masalah kekurangan bekalan air. Ini adalah sebagai langkah untuk mengelakkan semua pihak memberi tumpuan kepada isu bila berlakunya masalah kekurangan air dan mengabaikan fokus utama industri perkhidmatan air negeri Selangor iaitu untuk memuktamadkan penstrukturan semula industri perkhidmatan air.
Pada masa yang sama, dalam menetapkan tarikh dijangka berlakunya masalah kekurangan bekalan air, Kerajaan Negeri Selangor turut mengambil maklum akan pelaksanaan Projek Penyaluran Air dari Pahang ke Selangor yang dijangka akan siap pada tahun 2014. Projek ini telah menelan belanja yang besar dan kerja-kerja di tapak telah mula dilaksanakan. Sekiranya pembangunan infrastruktur bekalan air bagi projek-projek sumber air tambahan lain diberikan fokus utama sebelum terlaksananya projek Penyaluran Air dari Pahang ke Selangor, ini kelak boleh mendatangkan pembaziran kerana akan berlaku berlebihan pengeluaran air berbanding permintaan. Kerajaan Negeri Selangor amat menitik beratkan perbelanjaan berhemah bagi setiap projek yang dilaksanakan.
-
Adakah Kerajaan Negeri Selangor sedia bertanggungjawab jika krisis bekalan air berlaku lebih awal ?
Masalah kekurangan bekalan air boleh mendatangkan kesan dan risiko yang besar dari segi sosial, ekonomi dan politik serta imej kerajaan. Pada ketika ini, kapasiti maksimum pengeluaran dari 33 loji rawatan air adalah sebanyak 4,256 JLH. Dari jumlah tersebut, dianggarkan sejumlah 3,904JLH digunakan untuk menampung permintaan dari pengguna di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Unjuran purata permintaan bekalan air dikira berdasarkan kepada pertambahan penduduk dan pembangunan ekonomi serta industri dengan mengambil kira zon penampan sebanyak 10% dalam unjuran permintaan dan pengeluaran bekalan air bersih.
Pada ketika ini, semua data berkenaan dengan permintaan dan pembekalan air adalah dipegang oleh SYABAS. Dari data yang telah di analisa, didapati unjuran yang dibuat oleh SYABAS adalah agak tinggi. Rawatan air pula dikendalikan oleh operator yang berlainan. Namun demikian, sekiranya berlaku krisis bekalan air, dalam apa keadaan sekalipun, Kerajaan Negeri Selangor akan dipersalahkan. Oleh itu, salah satu tujuan penstrukturan semula industri perkhidmatan air negeri Selangor adalah untuk memastikan industri perkhidmatan air di Selangor dikendalikan secara holistik oleh satu operator bermula dari proses rawatan proses hinggalah pengagihan kepada pengguna.
Masalah kekurangan air adalah berkait rapat dengan pembangunan infrastruktur bekalan air sebagai langkah mengatasi masalah kekurangan bekalan air. Pembangunan infrastruktur bekalan air memakan belanja yang tinggi dan setiap sen yang dibelanjakan untuk pembangunan infrastruktur bekalan air akhirnya akan ditanggung oleh pengguna dalam bentuk tarif yang tinggi.
Namun demikian, Kerajaan Negeri Selangor sentiasa mengambil langkah berhati-hati di dalam menangani masalah kekurangan air. Apatah lagi dalam keadaan hari ini, kebanyakan loji dan rumah pam sekarang berada di tahap pengeluaran yang maksimum malah terdapat loji dan rumah pam yang beroperasi dalam keadaan overload (melebihi beban reka bentuk). Keadaan kekurangan bekalan air ini akan diburukkan lagi jika berlaku kejadian-kejadian seperti berikut:-
- Penutupan loji disebabkan oleh pencemaran sumber air, gangguan bekalan elektrik kerosakan peralatan loji, penyelenggaraan berjadual loji,
- Musim kemarau luar biasa yang boleh menjejaskan pengeluaran air dan meningkatkan permintaan air, atau
- Kerosakan paip induk yang disebabkan oleh pihak ketiga.
Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil langkah-langkah persediaan bagi mengatasi masalah krisis bekalan air sekiranya ia berlaku.
Bagi meningkatkan sumber air mentah, Kerajaan Negeri Selangor telah bercadang untuk menggunakan air bawah tanah sebagai sumber air alternatif. Dengan penggunaan air bawah tanah ini, penggantungan sepenuhnya terhadap air permukaan dapat dikurangkan. Negeri Selangor mempunyai lembangan sungai yang berpotensi tinggi untuk dibangunkan sebagai sumber air bawah tanah seperti:- i) Lembangan Sungai Langat; ii) Lembangan Sungai Bernam; dan iii) Lembangan Sungai Tengi.
Berpandukan kepada laporan Jabatan Mineral dan Geosains Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur pada April 2006, kawasan Lembangan Sungai Langat mempunyai luahan selamat (sustainable yeild) air bawah tanah sebanyak 45 juta liter sehari.
Kerajaan Negeri mempopularkan penggunaan air bawah tanah ini terutamanya bagi pengguna industri. Dalam mempopularkan penggunaan air bawah tanah ini, Kerajaan Negeri Selangor berkemungkinan akan memberikan insentif kepada mereka yang menggunakan air bawah tanah.
Penggunaan air bawah tanah yang berlebih-lebihan boleh membawa impak sosial, ekonomi dan alam sekitar seperti penenggelaman tanah dan kerosakan infrastruktur. Sehubungan dengan itu, pengawalan yang berterusan adalah perlu bagi mengelakkan penggunaan air bawah tanah yang tidak terkawal. Penggunaan air bawah tanah di negeri Selangor adalah tertakluk kepada kawal selia oleh Lembaga Urus Air Selangor (LUAS).
Selain mempopularkan penggunaan air bawah tanah, pada masa ini Kerajaan Negeri Selangor turut bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan mengambil langkah pro aktif bagi memastikan bekalan air sentiasa mencukupi. Di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua (PRE2), Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Tenaga Teknologi Hijau dan Air (KTTHA) telah bersetuju untuk melaksanakan Projek Loji Rawatan Air Sg Labu / KLIA Alternative Water Supply Scheme. Kerja-kerja pembinaan telah bermula pada 01Jun 2010 dan dijangka siap pada Disember 2011. Melalui projek ini, dapat meningkatkan sumber air sebanyak 105 JLH.
Selain itu, Mesyuarat Jemaah Menteri pada 18 Jun 2010 telah meluluskan peruntukan sebanyak RM285 juta bagi program litigasi yang dicadangkan untuk dilaksanakan di Selangor. Projek litigasi ini telah diperakukan untuk dilaksanakan di dalam Rancangan Malaysia ke 10 adalah seperti berikut:-
- Menaik taraf stesen mengepam air mentah dari Sungai Selangor Fasa 1, dapat meningkatkan kapasiti air sebanyak 190 JLH;
- Membina Sistem Pam Bernam River Headworks ke kawasan Kuala Selangor dan Sabak Bernam, dapat meningkatkan kapasiti air sebanyak 25 JLH; dan
- Projek penggantian paip lama bagi mengurangkan kadar kehilangan air tidak berhasil (NRW).
Langkah-langkah jangka masa panjang yang akan diambil bagi memastikan bekalan air mencukupi bagi rakyat Selangor pada masa hadapan ialah seperti berikut :
- Menyediakan Pelan Pengurusan Lembangan Sungai untuk Sungai Klang dan Sungai Langat bagi memastikan perancangan dan pembangunan secara holistik dan mampan dapat dilaksanakan selari dengan kepentingan sumber air dan alam sekitar amnya.
- Penyediaan ‘State of the river Report’ untuk Sungai Selangor, Sungai Langat dan Sungai Klang yang akan diterbitkan setiap dwitahunan sejak tahun 2006. Ia mengandungi maklumat dan data-data terkini mengenai lembangan sungai terutamanya dari aspek pengurusan kuantiti dan kualitinya. Ia juga melibatkan program/tindakan pemantauan dan penguatkuasaan secara bersepadu yang dijalankan bagi pengawalan pencemaran sungai di samping memberi maklumat kepada orang awam akan status sungai di Selangor.
- Pengawalan pelepasan air daripada empangan berdasarkan keperluan loji rawatan air di bahagian hilir sungai untuk memastikan kuantiti air sentiasa mencukupi untuk proses rawatan.
- Menganjurkan aktiviti kesedaran awam dengan melibatkan komuniti setempat dan pihak berkepentingan bagi memberi pendedahan akan kepentingan pemeliharaan sumber air dan alam sekitar di samping menjamin bekalan air serta mengekalkan kualiti hidup masyarakat sejahtera.
- Berdasarkan maklumat rasmi yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN), penggunaan per kapita nasional untuk penggunaan domestik bagi Semenanjung Malaysia bagi tahun 2007 dan 2008 adalah 285 liter/orang/hari. Kaedah yang paling efektif untuk menjimatkan penggunaan air adalah dengan mengurangkan kadar permintaan per kapita bagi penduduk di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya. Penjimatan 20% daripada kadar penggunaan air semasa iaitu daripada 285 liter per kapita ke 228 liter per kapita, ini bermaksud penjimatan yang besar iaitu sebanyak 304 JLH pada tahun 2010 dan 850 JLH pada tahun 2020 daripada jumlah permintaan air sedia ada. Usaha-usaha lebih giat akan dijalankan bagi mengurangkan penggunaan air per kapita.
- Mengadakan kajian untuk menggunakan air dari bekas-bekas lombong dan tasik-tasik.
Pada masa yang sama, dalam mengambil langkah-langkah untuk mengatasi masalah kekurangan bekalan air, Kerajaan Negeri Selangor turut mengambil maklum akan pelaksanaan Projek Penyaluran Air dari Pahang ke Selangor yang dijangka akan siap pada tahun 2014. Projek ini telah menelan belanja yang besar dan kerja-kerja di tapak telah mula dilaksanakan. Sekiranya pembangunan infrastruktur bekalan air bagi projek-projek sumber air tambahan lain diberikan fokus utama sebelum terlaksananya projek Penyaluran Air dari Pahang ke Selangor, ini kelak boleh mendatangkan pembaziran kerana akan berlaku berlebihan pengeluaran air berbanding permintaan. Kerajaan Negeri Selangor amat menitik beratkan perbelanjaan berhemah bagi setiap projek yang dilaksanakan.