Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

81) PERINDUSTRIAN DI NEGERI SELANGOR

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Perindustrian

Adun: Y.B. Dato' Dr Ahmad Yunus Bin Hairi

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah kejayaan yang dapat ditunjukkan oleh jawatankuasa pengurusan taman perindustrian / IPMC dalam membangunkan suasana perindustrian di negeri Selangor

    IPMC yang ditubuhkan telah berjaya membantu para pekilang dimana kebanyakan isu/permasalahan yang dibangkitkan sewaktu mesyuarat IPMC diadakan adalah berkaitan dengan isu/permasalahan yang melibatkan Pihak Berkuasa Tempatan.

    Ahli-ahli IPMC yang ditubuhkan adalah terdiri daripada agensi-agensi perkhidmatan kerajaan, separa kerajaan, Persatuan Pekilang-Pekilang Daerah dan pihak industri. IPMC dipengerusikan oleh Tuan Yang Dipertua Pihak Berkuasa Tempatan.

    Oleh itu, sebarang isu/permasalahan yang dibangkitkan akan mendapat maklum balas secara terus dan tindakan segera akan diambil oleh Pihak Berkuasa Tempatan dan juga jabatan-jabatan teknikal yang berkaitan. Melalui IPMC juga memudahkan Pihak Berkuasa Tempatan membuat pemantauan.

    Antara isu/permasalahan yang sering dibangkitkan adalah seperti;-

    1. Kebersihan dan keindahan kawasan perindustrian.
    2. Kawalan kacau ganggu dan pencemaran persekitaran
    3. Kemudahan infrastruktur seperti jalan, saliran/longkang dan lampu jalan.
    4. Kemudahan pengangkutan awam.
    5. Kemudahan utiliti/perhubungan telekomunikasi, bekalan air, bekalan tenaga elektrik dan telefon.
    6. Masalah tempat letak kereta dan papan tanda jalan. vii. Kemudahan Asrama atau tempat tinggal bagi pekerja.

    IPMC telah memainkan peranan yang penting untuk menyelesaikan. sebanyak 75%80% isu/permasalahan yang dihadapi oleh para pekilang di Negeri Selangor.

  2. Adakah syarikat-syarikat perindustrian di negeri Selangor dapat membantu merancakkan pembangunan negeri Selangor terutamanya dalam khidmat masyarakat atau csr nya.

    Ya, syarikat–syarikat perindustrian yang berada di negeri Selangor secara tidak langsung membantu merancakkan pembangunan di negeri Selangor ini.

    Pelbagai program-program khidmat masyarakat telah dijalankan oleh warga industri hasil daripada inisiatif pihak-pihak  syarikat yang turut bekerjasama dengan agensiagensi lain seperti Pihak Berkuasa Tempatan dan lain-lain agensi serta penduduk setempat di persekitaran kawasan kilang-kilang mereka.

    Sebagai contoh pada 20hb April 2010 yang lalu, syarikat F&N Beverages Marketing Sdn. Bhd dengan kerjasama daripada pihak Majlis Bandaraya Shah Alam dan juga pihak Alam Flora telah menjalankan satu aktiviti program kitar semula bagi kawasan Bandaraya Shah Alam, Program yang berbentuk pertandingan ini adalah bertujuan bagi memupuk kesedaran dan juga secara tidak lansung mempromosikan program kitar semula kepada semua golongan.

    Selain itu, pada bulan Januari yang lalu, syarikat Pharmaniaga Sdn Bhd telah bekerjasama dengan pihak  Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) dan juga pihak  Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) bagi membangunkan sebuah kawasan iaitu Kawasan Taman Tasek Chempaka sebagai taman ilmu ‘knowledge park’.  Ini adalah merupakan salah satu projek “csr” yang dijalankan oleh pihak syarikat ini. Projek ini turut menyediakan penggunaan internet secara wireless percuma di kawasan tersebut, sebagai kemudahan kepada masyarakat di sekitar kawasan tersebut.

    Syarikat Top Glove (M) Sdn Bhd juga tidak tekecuali dalam memberikan khidmat kemasyarakatan kepada penduduk-penduduk disekitar kawasan kilang-kilang mereka. Pihak syarikat telah bersetuju untuk memberikan sumbangan bagi membiayai kos membaik pulih jalan dan juga parit di persekitaran kilang-kilang mereka untuk kegunaan dan kemudahan semua pihak dan ianya sedang dibincangkan bersama pihak JKR untuk tindakan selanjutnya, Selain itu juga pihak kilang seringkali menjalankan aktiviti gotong-royong bagi membersihkan kawasan persekitaran. Program yang dijalankan ini juga turut melibatkan penduduk-penduduk disekitar kawasan ini.  Pihak syarikat ini juga turut memberikan sumbangan kepada anak-anak yatim di kawasan ini pada sempena sambutan perayaan hari raya yang lalu.

  3. Berapa banyakkan peluang pekerjaan yang diberikan dan sambutan rakyat Selangor terhadap peluang pekerjaan ini.

    Terdapat sebanyak 20,000 peluang pekerjaan di negeri Selangor mengikut statistik yang diberikan oleh Persekutuan Pekilang-pekilang Malaysia (cawangan Selangor) dalam mempromosikan program Jom Kerja bermula pada November 2009.

    Sebanyak 5 Siri Program Jom Kerja yang telah diadakan bermula dari bulan November 2009 hingga bulan Oktober 2010. Sebanyak 5,562 orang calon yang telah datang mendaftar dan 2,441 orang pemohon telah berjaya ditemuduga.

    Program jelajah Jom kerja ini diadakan dari satu daerah ke satu daerah. Ianya telah menerima sambutan yang amat memberangsangkan daripada rakyat Selangor yang tiada pekerjaan dan ada juga di kalangan mereka mencari peluang pekerjaan baru.

    Daerah Klang telah mencatatkan penyertaan tertinggi iaitu seramai 2,060 orang calon dan diikuti oleh daerah Kuala Selangor dan Sabak Bernam seramai 1,672 orang calon datang untuk sesi temuduga. Ramai diantara calon-calon yang datang untuk sesi temuduga ini mencari kerja yang berdekatan dengan daerah kediaman mereka.

Lampiran

Tiada Lampiran.