Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
73) PEMBALAKAN
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Tanah & Sumber Alam
Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Berapakah kes pembalakan tanpa izin yang berlaku di dalam tahun 2009 & 2010?
Terdapat tiga(3) kes pembalakan tanpa kebenaran berlaku pada tahun 2009 manakala bagi tahun 2010, tiada kes pembalakan haram dikesan. Kebanyakan kesalahan hutan yang dikesan oleh JPNS melibatkan pemindahan kayu yang berada pada alat pengangkutan di mana pemilik kenderaan gagal untuk membuktikan pemilikan hasil hutan ini dengan dokumen yang sah serta penerokaan kawasan Hutan simpanan yang melibatkan penolakan pokok ketika pembersihan tanah.
-
Adakah kerajaan mempunyai rancangan membuka kembali pembalakan secara selektif di Hutan Simpanan dan hutan bakau?
Salah satu daripada tujuan Kerajaan Negeri mengadakan moratorium pembalakan ialah untuk mengkaji semula keberkesanan pembalakan secara selektif di Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Negeri Selangor sama ada ianya benar dapat menghasilkan dirian pokok matang yang mencukupi untuk pusingan tebangan seterusnya dalam jangka masa 30 hingga 55 tahun akan datang. Bagi hutan bakau pula, tempoh moratorium akan membolehkan pengurusan hutan jenis ini disusun semula bagi menentukan kawasan mana yang boleh dibuka bagi memenuhi keperluan industri dan kawasan-kawasan mana perlu dipelihara bagi menjamin kestabilan alam sekitar Negeri. Menurut pelan pengurusan JPNS, had kawasan tebangan tahunan secara selektif dalam HSK bagi semua jenis hutan yang dibenarkan bagi Negeri ini hanyalah lebih kurang 700 hektar setiap tahun . Had yang dibenarkan ini kecil untuk memenuhi pasaran negara tetapi kajian akan dilaksanakan untuk menentukan sama ada pembalakan selektif ini boleh dibenarkan semata-mata sebagai tanggungjawab sosial Kerajaan Negeri bagi membantu industri perkayuan dan sektor pekerjaan pembalakan tempatan.
-
Apakah rancangan dan tindakan diambil oleh Jabatan Perhutanan Negeri Selangor untuk mencegah pembalakan dan pencerobohan hutan simpanan?
Langkah-langkah yang telah dan akan diambil oleh JPNS ialah seperti berikut :-
- JPNS mengkaji kawasan-kawasan penempatan/ kampung, projek-projek kerajaan dan Lesen Pendudukan Sementara (TOL)yang telah di keluarkan oleh Pejabat Tanah Daerah dalam HSK bagi tujuan pertimbangan MMKN sama ada diwarta keluar dari HSK atau diambil tindakan undang-undang.
- Bagi kawasan penerokaan haram / pendudukan tanpa kebenaran, JPNS mengambil tindakan penguatkuasaan seperti berikut:
- memusnahkan tanaman.
- merobohkan binaan dan infrastruktur.
- menahan jentera, kenderaan dan peralatan kerja.
- merobohkan infrastruktur pertanian antaranya kolam, kandang/reban ternakan.
- menangkap individu yang menduduki hutan simpan tanpa kebenaran.
- mengkompaun atau mendakwa di mahkamah individu terbabit mengikut jenis kesalahan hutan yang dilakukan.
- Sekiranya kawasan-kawasan penerokaan haram / pendudukan Tanpa kebenaran diluluskan Permit Penggunaan maka hendaklah dikenakan had tempoh masa tertentu bagi membolehkan kawasan ini di hutan semula setelah tempohnya tamat.
- Bagi pembalakan haram, tindakan tanpa berkompromi akan diambil mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 termasuk mendakwa pihak terbabit untuk dikenakan hukuman berat iaitu denda dan hukuman penjara.