Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

45) ISU AHLI PARLIMEN SERDANG

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Pentadbiran

Adun: Y.B. Tuan Dr Shafie Bin Abu Bakar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Pada pertengahan Ramadhan 1431 = Akhir Ogos 2010, tercetus isu Ahli Parlimen Serdang Y.B. Puan Teo Nie Ching masuk ke Surau Al-Huda, Taman Sentral Kajang kerana menyampaikan bantuan. Mengapakan peristiwa di atas dijadikan isu?

    Isu Ahli Parlimen Serdang, Y.B. Puan Teo Nie Ching masuk ke Surau Al-Huda, Taman Sentral Kajang kerana menyampaikan bantuan telah disiarkan dalam akhbar Utusan Malaysia pada 27 Ogos 2010. Akhbar berkenaan melaporkan bahawa beliau telah menyampaikan ‘tazkirah’ di surau tersebut yang berlaku pada 22 Ogos 2010. Peristiwa tersebut disensasikan oleh beberapa akhbar atas sebab dakwaan beliau berceramah atau tazkirah dan tidak menutup aurat (bertudung). Ia juga disebabkan beliau seorang ahli politik yang mana tindakan tersebut bertentangan dengan Titah DYMM Sultan Selangor yang melarang masjid dan surau dijadikan pentas politik.

  2. Apakah kedudukan hukum dari kemasukan tersebut?

    Berdasarkan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Bagi Hal Ehwal Ugama Islam, menyatakan bahawa pelancong harus memasuki ruang masjid dengan keizinan. Bagi negeri Selangor peraturan telah dikeluarkan berdasarkan Titah DYMM Sultan Selangor berkenaan orang bukan Islam dilarang memasuki ruang solat masjid dan surau. Peraturan tersebut telah dimaklumkan melalui edaran kepada masjid dan surau untuk dipatuhi.

     

  3. Akibat tindakan yang diambil, surau berkenaan berkurangan dari segi jemaah, apakah tindakan yang diambil bagi mengimarahkan kembali surau ini?

    Jabatan Agama Islam Selangor telah menubuhkan Jawatankuasa Sementara untuk mentadbir Surau Al-Huda dari kalangan yang layak dan sedia mematuhi arahan. Sementara Jawatankuasa Tetap akan dilantik untuk mentadbir surau selepas ini apabila keadaan sesuai berbuat demikian.

     

Lampiran

Tiada Lampiran.