Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

34) BADAN PENGURUSAN BERSAMA (JMB)

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Perumahan

Adun: Y.B. Dato' Ir. Muhammad Bushro Bin Mat Johor

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Bagaimanakah prestasi JMB yang telah ditubuhkan setakat ini?

    Sehingga kini sejumlah 1,087 Badan Pengurusan Bersama (JMB) telah berjaya ditubuhkan di negeri Selangor. Daripada jumlah tersebut, didapati 575 JMB adalah beroperasi secara aktif.   Walaubagaimanapun, JMB yang ditubuhkan telah menghadapi beberapa cabaran seperti berikut:

    • Isu peruntukan kewangan untuk menyenggara dan mengurus bangunan tidak mencukupi akibat daripada peratusan kutipan caj yang rendah di kalangan pembeli;
    • Isu karenah pembeli yang tidak mahu mengambil berat mengenai tanggungjawab untuk membayar caj penyenggaraan serta menjaga harta bersama;
    • Isu pemaju yang enggan untuk memulangkan lebihan wang kepada JMB atau telah membelanjakan semua wang akaun penyenggaraan bangunan dan kumpulan wang penjelas;
    • Isu kecacatan bangunan yang tidak dibaikpulih semenjak dari tempoh liabiliti kecacatan serta bangunan dan harta bersama yang tidak disenggarakan dengan baik oleh pemaju; dan
    • Isu JMB tidak mempunyai pengetahuan dan kepakaran mengenai perundangan, pengurusan dan penyenggaraan harta bersama.

    Terdapat juga sebahagian kawasan pemajuan strata yang masih gagal menubuhkan JMB  kerana pembeli tidak sanggup, tidak bersedia dan takut untuk menjadi ahli jawatankuasa kerana permasalahan-permasalahan sedia ada  di pangsapuri mereka.

  2. Apakah langkah bagi memastikan JMB yang dibentuk mendapat kerjasama penduduk?

    Dalam memastikan JMB ditubuhkan mendapat kerjasama penduduk, ahli jawatankuasa bersama (JMC) yang dilantik untuk mengendalikan JMB hendaklah mengamalkan sikap ketelusan dan pro-aktif agar pembeli menaruh kepercayaan pada setiap urusan perbelanjaan yang dilaksanakan JMC serta memahami bahawa tanggungjawab menjaga harta bersama adalah tanggungjawab bersama. Justeru itu, Kerajaan Negeri telah meminda dan dalam proses mewartakan pindaan Jadual Pertama Akta Bangunan dan Harta Bersama (Penyenggaraan Dan Pengurusan) 2007 [Akta 663] supaya lebih jelas bertujuan memastikan pengurusan yang dilaksanakan JMC mengikut peruntukan Akta 663.

    Bagi mewujudkan semangat kekitaan serta kerjasama antara pembeli dan JMB,

    Kerajaan Negeri telah meneruskan Program Kempen “Pangsapuri Kita Bersih, Ceria Dan Harmoni” di kawasan perumahan bertingkat khususnya perumahan kos rendah yang turut membawa mesej penghargaan kepada pembeli-pembeli yang telah menjelaskan bayaran caj penyenggaraan mereka. Matlamat dan objektif kempen ini untuk meningkatkan kesedaran dan memberi pendidikan kepada komuniti perumahan bertingkat terutama perumahan bertingkat kos rendah.  Ia bertujuan supaya setiap pembeli mempunyai inisiatif sendiri dan bertanggungjawab untuk menjaga kawasan masing-masing.   Sehingga kini, Kerajaan Negeri telah mengadakan dua siri program kempen  “Pangsapuri Kita Bersih, Ceria Dan Harmoni” di Pangsapuri Seri Kembangan, Bukit Beruntung pada 24 April 2010 dan Pangsapuri Sri Perantau, Pelabuhan Klang pada 27 Jun 2010.

    Walaubagaimanapun, di bawah peruntukan  Akta 663 terdapat 3 kaedah (punitif mechanisme) yang telah diperuntukkan untuk mendapatkan kerjasama pembeli untuk membayar caj  seperti berikut:

    • JMB membuat prosiding ke mahkamah;
    • JMB membuat permohonan kepada Pesuruhjaya Bangunan untuk membuat penahanan harta alih; dan
    • Tindakan pendakwaan oleh Pesuruhjaya Bangunan.

    Kerajaan Negeri sedang dalam usaha untuk menubuhkan Unit Penguatkuasaan Pesuruhjaya Bangunan yang dijangka akan beroperasi pada tahun 2011 dalam memastikan penguatkuasaan Akta 663 dapat dilaksanakan dengan baik termasuk pendakwaan kepada pembeli-pembeli yang enggan membayar caj.

Lampiran

Tiada Lampiran.