Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

30) KEDUDUKAN KEWANGAN PBT

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Kerajaan Tempatan

Adun: Y.B. Tuan Phillip Tan Choon Swee

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Sila senaraikan PBT yang masih mengalami defisit dan PBT yang mengalami defisit berjaya bertukar kepada surplus pada tahun 2009

    Berdasarkan Penyata Pendapatan dan Perbelanjaan bagi tahun berakhir 31 Disember 2009, terdapat lima (5) PBT berada dalam kedudukan defisit iaitu MB Shah Alam, MP Klang, MP Selayang, MP Sepang dan MD Hulu Selangor.

    Bagi MB Shah Alam, jumlah defisit Majlis telah meningkat daripada RM600 ribu kepada RM1.3 juta.

    Tiga (3) PBT mengalami perubahan daripada kedudukan surplus kepada defisit iaitu MP Selayang, MP Sepang dan MD Hulu Selangor. MP Selayang berubah daripada surplus RM4.15 juta kepada defisit RM7.68 juta. MP Sepang berubah daripada surplus RM2.96 juta kepada defisit RM1.72 juta. Manakala, MD Hulu Selangor berubah daripada surplus RM2.33 juta kepada defisit RM3.66 juta. Perubahan kedudukan suplus kepada defisit ini adalah disebabkan bertambahnya belanja susut nilai aset-aset yang mana bukan merupakan belanja operasi PBT.

    MP Klang pula telah menunjukkan pengurangan pada jumlah defisit iaitu daripada RM7.83 juta kepada RM2.43 juta sahaja.

    PBT yang mengalami defisit berjaya bertukar kepada surplus pada tahun 2009 pula adalah MP Subang Jaya yang berubah daripada kedudukan defisit RM7.04 juta kepada RM11.68 juta.

  2. Apakah kaedah-kaedah utama yang digunakan membolehkan PBT tersebut berjaya bertukar dari defisit kepada surplus?

    Kaedah-kaedah yang digunakan oleh PBT bagi membolehkan mereka memperbaiki daripada kedudukan defisit kepada surplus adalah dengan menyediakan bajet surplus di mana hasil dianggarkan melebihi daripada anggaran perbelanjaan. Dengan adanya bajet surplus, PBT perlu menjalankan pemantauan yang ketat terhadap prestasi kutipan hasil semasa dan perbelanjaan agar hasil dapat dikutip dengan maksimum dan perbelanjaan dibuat dengan penuh berhemat dan tidak melampaui bajet yang telah diluluskan.

    Selain itu, PBT juga dapat memperbaiki kedudukan defisit mereka dengan melipatgandakan kutipan tunggakan cukai, lesen serta kompaun. Kedudukan defisit juga dapat diperbaiki jika PBT berusaha untuk mendapatkan pelbagai punca hasil yang baharu bagi menambah pendapatan.

Lampiran

Tiada Lampiran.