Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010
27) PEMBANGUNAN SUNGAI KELANG
Tahun: 2010
Sesi: 3
Isu: Alam Sekitar
Adun: Y.B. Tuan Dr. Mohamad Khir Bin Toyo
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Difahamkan keseluruhan pembangunan Sungai Kelang menelan belanja RM 6 bilion. Apakah nama syarikat-syarikat yang terlibat?
Syarikat-syarikat yang terlibat pada awalnya adalah TSS-MAKO Sdn. Bhd, GJA Engineering Sdn. Bhd., dan konsortium Wessex Water-I Bhd. Sdn. Bhd. Tiga syarikat ini telah dipilih daripada 12 yang menghantar business proposal kepada Kerajaan Negeri Selangor.
-
Dari manakah syarikat terbabit mendapat sumber kewangan bagi membuat kajian awal?
Syarikat-syarikat yang terbabit yang telah membuat kajian awal telah menggunakan sumber kewangan mereka tersendiri untuk melaksanakan kajian tersebut.
-
Bagaimanakah syarikat terbabit akan meneruskan projek ini tanpa perruntukan kerajaan negeri?
Kerajaan Negeri Selangor telah mengenal pasti beberapa projek perniagaan/pembangunan yang akan digunakan untuk membiayai Projek Pemuliharaan dan Pembangunan Sungai Klang. Hasil yang diperoleh daripada projek-projek ini dalam bentuk premium tanah, perkongsian untung, sumbangan dan sebagainya akan digunakan untuk membiayai Projek Sungai Klang. Beberapa projek pembangunan telah disenaraikan untuk menjadi sebahagian daripada skim ini. Projek-projek tersebut ialah:-
- Projek Pembangunan Taman Keramat AU2 seluas lebih kurang 4 ekar yang di tender kepada umum pada 1 November 2010 – Dijangka memberi pulangan tunai dan bukan tunai sebanyak RM 20 juta untuk Projek Sungai Klang
- Projek Pembangunan di kawasan Sungai Sering seluas lebih kurang 75 ekar yang telah di tender pada Julai 2010 tetapi akan di tender semula untuk mendapatkan pulangan lebih baik – Dijangka memberi pulangan tunai dan bukan tunai sebanyak RM 150 juta ke atas untuk kerajaan negeri dan Projek Sungai Klang
- Projek Pembangunan di Seksyen 24, Shah Alam; masih di peringkat kerja-kerja awal – Dijangka memberi pulangan tunai dan bukan tunai sebanyak RM 30 juta ke atas untuk Projek Sungai Klang
- Projek Khas di I-City, Seksyen 7 Shah Alam; masih di peringkat kerjakerja awal – Dijangka akan memberi impak besar kepada kebersihan Sungai Rasau yang mengalir ke Sungai Klang
Projek-projek lain sedang dalam proses dikenal pasti. Kerajaan akan mengamalkan sistem tender terbuka terutamanya untuk projek-projek pembangunan bagi memastikan ketelusan.
Hasil-hasil yang diperoleh daripada projek-projek di atas akan diagihkan untuk kerja-kerja fizikal Projek Sungai Klang. Dijangkakan hasil daripada projek pertama di atas akan diperoleh pada Mac 2010 dan kerja-kerja fizikal akan dilaksanakan pada masa tersebut.