Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

10) PERUNDANGAN SYARIAT ISLAM

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: hal ehwal islam

Adun: Y.B. Tuan Dr Abdul Rani Bin Osman

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Apakah langkah-langkah yang telah di jalankan oleh pihak JAIS atau MAIS untuk menjelaskan tasawur perundangan Islam yang sebenarnya kepada non-muslims di Negeri Selangor supaya Islam phobia yang mereka hadapi dapat dihakiskan dari pemikiran mereka ?

    Antara langkah – langkah yang dilaksanakan oleh JAIS dan MAIS untuk menjelaskan tasawur perundangan Islam kepada non-Muslim di Selangor ialah :-

    1. Mengadakan kaunter penerangan mengenai agama Islam di Kompleks-kompleks membeli-belah
    2. Mengadakan lawatan muhibah ke rumah ibadat pihak non-Muslim, contohnya lawatan ke gereja di Brickfield.
    3. Mengadakan program mengeratkan hubungan silaturahim dengan non – Muslim, antaranya :-
      • Majlis berbuka puasa bersama non – Muslim
      • Majlis Hi-Tea bersama CEO non – Muslim
    4. Mengadakan ziarah dan melaksanakan sukan / sukaneka dan beramah mesra di perkampungan orang asli.
    5. Mengedarkan pamflet mengenai Islam di lokasi terpilih.
    6. Bekerjasama dengan NGO Malaysian Muslim (MIM) dalam pelbagai program mendekati masyarakat India untuk lebih mengenali agama Islam.
    7. Mengadakan ziarah hospital kepada Muslim dan non-Muslim secara berjadual di 10 buah hospital di Negeri Selangor.
  2. Setakat ini adakah pernah pihak JAIS atau MAIS mengesyorkan kepada Kerajaan Negeri Selangor untuk menjalankan hukuman syariah ke atas penganut-penganut Islam sahaja di Negeri Selangor dan kalau pernah, apakah halangan-halangan yang dihadapi untuk melaksanakan nya ?

    Perlembagaan Persekutuan telah memperuntukkan bahawa semua perkara yang berkaitan dengan hal ehwal orang Islam termasuklah dalam soal perundangan / hukuman syariah adalah terletak di bawah pentadbiran atau bidangkuasa kerajaan negeri. Perkara ini telah dinyatakan dengan jelas di bawah Jadual Kesembilan, Senarai  Kedua,  Senarai Negeri Perlembagaan Persekutuan seperti berikut :

    “ Kecuali mengenai Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya Hukum Syarak dan undang-undang diri dan keluarga bagi orang yang menganut ugama Islam, termasuk Hukum Syarak berhubung dengan mewarisi harta berwasiat dan tak berwasiat, pertunangan, perkahwinan, perceraian, maskahwin, nafkah, pengambilan anak angkat, taraf anak, penjagaan anak, pemberian, pembahagian harta dan amanah bukan khairat; Wakaf Islam dan takrifan serta peraturan mengenai amanah khairat dan khairat ugama, perlantikan pemegang-pemegang amanah dan perbadanan bagi orangorang mengenai pemberian ugama Islam dan khairat, yayasan, amanah, khairat dan yayasan khairat yang dijalankan, kesemuanya sekali dalam Negeri; adat istiadat Melayu: zakat fitrah dan Baitulmal atau hasil ugama Islam yang seumpamanya; masjid atau mana-mana tempat sembahyang awam untuk orang Islam; mengadakan dan menghukum kesalahan-kesalahan yang dilakukan oleh orang-orang yang menganut ugama Islam terhadap rukun-rukun Islam, kecuali mengenai perkara-perkara yang termasuk dalam Senarai Persekutuan; keanggotaan, penyusunan dan acara bagi mahkamah-mahkamah syariah, yang akan mempunyai bidangkuasa hanya ke atas orang-orang yang menganut ugama Islam …

    Berdasarkan peruntukkan tersebut setiap negeri mempunyai kuasa untuk melaksanakan Hukum Syarak hanya terhadap orang-orang Islam di dalam negeri masing-masing selagi tidak melampaui takat bidangkuasa yang disebutkan dalam peruntukan Perlembagaan Persekutuan. Dengan lain perkataan perlaksanaannya (hukum syarak) tidak boleh digunakan atau dikenakan ke atas penganut-penganut yang bukan Islam. Perlaksanaan Hukum Syarak di Negeri Selangor dapat dilihat perlaksanaannya melalui kewujudan Enakmen-enakmen perundangan Syarak yang telah digubal di Negeri Selangor seperti Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) Tahun 1995 yang memperuntukkan jenisjenis kesalahan jenayah syariah yang boleh dihukum dan bentuk-bentuk hukuman yang boleh dikenakan sekiranya seseorang itu disabitkan bersalah oleh Mahkamah Syariah. Begitu juga Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) Tahun 2003 yang digubal bagi menjamin hak-hak seseorang Muslim yang berkaitan dengan undangundang keluarga itu agar terpelihara dan mendapat pembelaan sewajarnya.    Penguatkuasaan enakmen-enakmen ini telah dizahirkan melalui perjalanan prosedurprosedur yang dilakukan di Mahkamah Syariah di Negeri Selangor .

    Oleh yang demikian, isu pengesyoran daripada pihak JAIS atau MAIS kepada Kerajaan Selangor untuk menjalankan hukuman syariah ke atas orang-orang Islam sahaja di Negeri Selangor tidak timbul kerana ianya adalah kuasa yang telah dianugerahkan kepada setiap negeri di negara ini termasuklah Negeri Selangor oleh Perlembagaan Persekutuan.

    Berhubung dengan isu halangan-halangan yang ada pula, ianya lebih tertumpu dalam soal untuk melaksanakan secara berkesan Undang-undang Syarak di negeri ini kekangan tenaga kerja, sekali gus kekurangan tenaga mahir, pakar dan berpengalaman dalam bidang ini.

Lampiran

Tiada Lampiran.