Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

08 November hingga 12 November 2010 dan 15 November 2010

5) BANTUAN BERPENDAPATAN (WORKFARE)

Tahun: 2010

Sesi: 3

Isu: Kebajikan

Adun: Y.B. Dato' Haji Mohamed Idris Bin Haji Abu Bakar

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Kerajaan negeri ada bercadang untuk menyedia dan melatih golongan menerima bantuan kebajikan agar dapat berdikari. Bagaimanakah perkembangan program bantuan berpendapatan ini ?

    Bantuan kebajikan sedia ada yang dicadangkan oleh Kerajaan Persekutuan kurang berkesan dalam menangani isu-isu kemiskinan terutama miskin bandar. Hanya 7% daripada keseluruhan penerima bantuan kebajikan JKM telah ditamatkan bantuan bukan kerana mereka telah dapat dikeluarkan daripada kepompong kemiskinan tetapi atas faktor penerima bantuan tersebut telah meninggal dunia ataupun telah berpindah ke daerah atau negeri yang lain.

    Oleh itu, bagi menangani isu-isu kemiskinan terutamanya miskin bandar, Kerajaan Negeri Selangor telah mengambil langkah drastik dengan mengubah dasar kebajikan (bantuan kewangan) kepada bantuan berpendapatan (“workfare”).Di Selangor, terdapat lebih daripada 1.56 juta rakyat miskin bilamana Kerajaan Negeri Selangor menetapkan Paras Garis Kemiskinan (PGK) ialah RM 1500. Daripada 1.56 juta ini, Kerajaan Negeri Selangor akan membahagikan kepada dua kategori. Kategori pertama akan dimasukkan ke dalam program di bawah dasar “workfare” dan kategori kedua masih menerima bantuan kebajikan sedia ada berdasarkan kriteria-kriteria yang telah ditetapkan. KriteriaKriteria yang telah ditetapkan tersebut ialah fakir miskin yang benar-benar tidak mempunyai sesuatu, hutang yang tidak mampu terbayar, dan penyakit yang membuat seseorang itu tidak mampu berusaha. Selain daripada kriteria-kriteria yang telah ditetapkan ini, penerima-penerima bantuan sedia ada akan diberi bantuan menerusi program di bawah dasar “workfare”.

    Sehingga kini Kerajaan Negeri Selangor sedang dalam peringkat untuk menyatukan dan mengintegrasikan data-data daripada agensi-agensi kebajikan di Selangor seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Lembaga Zakat Selangor (LZS), Unit Kemiskinan Bandar Pihak Berkuasa Tempatan, Kerajaan Prihatin, data daripada portal e-bu, Jabatan Perikanan, Jabatan Pertanian, serta Lembaga Perumahan Selangor. Sistem pengkalan data pusat ini menjadi ciri penting di dalam usaha memberikan bantuan berpendapatan kepada rakyat miskin di Selangor ini. Ini adalah kerana data-data bantuan sedia ada bertaburan di setiap agensi kerajaan dan ianya tidak disatukan serta diselaraskan. Ini mengakibatkan jumlah sebenar rakyat Selangor yang berada di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) tidak dapat dikenal pasti. Namun, sementara pengkalan data ini sedang dalam proses penyatuan, Kerajaan Negeri telah memilih peserta daripada senarai data-data kebajikan sedia ada untuk “pilot project” program di bawah dasar “workfare” ini.

  2. Berapa orangkah yang telah dilatih dan menerima manfaat hasil program ini mengikut daerah?

    Program-program latihan Kerajaan Negeri Selangor telah dijalankan di 14 buah Pusat Komuniti Wanita (PKW) dan sejumlah RM 210 000 telah di belanjakan, Lembaga Zakat juga telah mengadakan program pembangunan ekonomi bagi melatih penerimapenerima bantuan zakat dalam bidang perusahaan. Program terkini yang sedang dijalankan Kerajaan Negeri Selangor ialah Mikrokredit Miskin Bandar (MIMBAR) yang telah bermula pada September yang lalu dan Kerajaan Negeri Selangor telah menemu duga dan mengenal pasti 33 orang yang berpotensi yang mana profil mereka diambil daripada data-data kebajikan sedia ada.

  3. Berapakah nilai pendapatan yang diperolehi oleh mereka yang terlibat ?

    Kerajaan Negeri Selangor mensasarkan rakyat Selangor yang dibantu di bawah dasar “workfare” ini akan mempunyai pendapatan minima RM 1500 sebulan yang mana RM 1500 ialah Paras Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan Kerajaan Negeri Selangor. Ianya selari dengan objektif dasar “Workfare” ini iaitu mengeluarkan rakyat Selangor yang miskin keluar dari kepompong kemiskinan dengan mempunyai pendapatan sendiri.

Lampiran

Tiada Lampiran.