Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010

115) TUNGGAKAN CUKAI TANAH

Tahun: 2010

Sesi: 2

Isu: Tanah & Sumber Alam

Adun: Y.B. Puan Gan Pei Nei

Kategori: Bertulis

Sub Soalan

  1. Senaraikan jumlah hasil cukai tanah serta tunggakan cukai tanah mengikut pecahan daerah daripada tahun 2005-2010.

    Kutipan hasil Cukai Tanah Semasa keseluruhan Negeri Selangor pada tahun 2005
    adalah RM273.62 juta, meningkat kepada RM318.65juta pada tahun 2006. Pada
    tahun 2007, menurun kepada RM309.21juta dan meningkat semula pada tahun 2008
    dengan kutipan sebanyak RM335.78juta dan terus meningkat pada tahun 2009
    dengan kutipan sebanyak RM351.16juta. Sehingga Mei 2010, kutipan cukai tanah
    semasa adalah RM300.73juta.
    Kutipan hasil tunggakan cukai tanah keseluruhan Negeri Selangor pada tahun 2005
    adalah RM62.79juta, meningkat kepada RM75.18juta pada tahun 2006. Pada tahun
    2007, meningkat kepada RM77.42juta dan meningkat kepada RM99.24juta pada
    tahun 2008 dan menurun pada tahun 2009 dengan kutipan sebanyak RM92.14juta.
    Sehingga Mei 2010, kutipan tunggakan cukai tanah adalah RM41.87juta.
    Perincian kutipan hasil Cukai Tanah Semasa dan Tunggakan Cukai Tanah mengikut
    Pejabat Daerah/Tanah daripada tahun 2005-2010 adalah seperti di LAMPIRAN 1.

  2. Apakah langkah yang diambil oleh kerajaan bagi memungut semua tunggakan cukai tanah dan meminimumkan kadar tunggakan cukai tanah supaya tidak mengganggu pendapatan negeri?

    Langkah yang telah diambil oleh Kerajaan Negeri bagi mengurangkan tunggakan
    hasil negeri adalah melalui Operasi Bersepadu mengutip Hasil Tanah (Ops Kutip)
    yang dijalankan dengan kerjasama antara Perbendaharaan Negeri Selangor, semua
    Pejabat Tanah/Daerah dan PTG Selangor. Ops Kutip dengan polisi “Knock Door” ke
    premis penunggak-penunggak tegar dilaksanakan dengan pendekatan seperti
    berikut:-
    i) Pejabat Daerah/Tanah mengenal pasti hak milik dengan cukai tanah
    tertunggak (yang bermasalah/tempoh yang lama tidak membayar cukai) agar
    dapat diambil tindakan susulan;
    ii) Lawatan ‘Knock Door’ iaitu dengan menghantar notis tuntutan dan surat
    peringatan terus kepada penunggak-penunggak tegar;
    iii) mengadakan siri perbincangan bersama penunggak-penunggak tegar bagi
    menyelesaikan cukai tanah tertunggak;
    iv) memberikan peluang kepada penunggak untuk membayar secara ansuran
    berjadual dengan syarat pembayaran dibuat secara konsisten; dan
    v) sekiranya penunggak tegar tersebut masih tidak menjelaskan cukai tanah
    tertunggak, Pejabat Tanah dan Daerah tanpa teragak-agak akan terus
    menguatkuasakan Notis 6A, Notis Tuntutan Hasil Tertunggak dan sekiranya
    dalam tempoh 3 bulan ia masih tidak dijelaskan maka seterusnya Notis 8A,
    Rampasan Tanah akan dilaksanakan.
    Bagi menggalakkan pembayaran cukai oleh individu dan syarikat, Kerajaan Negeri
    juga telah memberikan Insentif Pengurangan Denda Lewat iaitu:-
    i) pengurangan sehingga 50% bagi denda lewat cukai tanah di atas
    pertimbangan oleh Pegawai Tanah dan Daerah atas syarat yang ditetapkan
    iaitu membayar keseluruhan cukai tanah tertunggak dan bukan secara
    ansuran; dan
    ii) pengurangan sehingga 100% di atas pertimbangan oleh Pengarah Tanah
    dan Galian Selangor.

  3. Adakah kerajaan mewujudkan sebarang insentif bagi PDT yang berjaya mengutip tunggakan cukai tanah yang paling tinggi?

    Kerajaan Negeri memberikan insentif penghargaan kepada Pejabat-Pejabat
    Tanah/Daerah yang berjaya mencapai sasaran kutipan hasil sebanyak 90% Cukai
    Tanah Semasa dan 70% Tunggakan Cukai Tanah berdasarkan prestasi pencapaian
    kutipan hasil Pejabat-Pejabat Tanah/Daerah Negeri Selangor. Pejabat Tanah/Daerah
    yang mencapai prestasi tersebut diberikan insentif wang tunai RM100,000.00 dan
    disampaikan sebagai Anugerah Prestasi Kutipan Hasil Pejabat Tanah/Daerah Negeri
    Selangor semasa Majlis Penganugerahan Bulan Kualiti Tahunan. Insentif ini telah
    dianugerahkan bagi prestasi kutipan hasil cukai tanah tahun 2007 dan 2008,
    manakala bagi prestasi kutipan tahun 2009 akan disampaikan pada Majlis
    Penganugerahan Bulan Kualiti 2010.

Lampiran

Tiada Lampiran.