Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010
12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010
176) PERUBAHAN TRANSFORMASI (TRANSFORMATIONAL CHANGE)
Tahun: 2010
Sesi: 2
Isu: Perindustrian
Adun: Y.B. Tuan Lee Kim Sin
Kategori: Mulut
Sub Soalan
-
Apakah dasar dan rancangan kerajaan dalam mentransformasikan sektor perindustrian?
Pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor sentiasa mencatatkan pencapaian yang
memberangsangkan dari setahun ke setahun. Perkembangan yang positif ini adalah
kerana disokong prestasi kukuh sektor perindustrian yang dipacu oleh subsektor
pembuatan dan pembinaan. Kerajaan Negeri sentiasa meletakkan prioriti kepada sektor
perindustrian yang berperanan sebagai penyumbang terbesar kepada Keluaran Dalam
Negara Kasar (KDNK) Negeri Selangor. Negeri Selangor mempunyai lebih kurang 219
kawasan perindustrian dengan jumlah keluasan tanah melebihi 13,000 hektar. Pada
ketika ini, 4 kawasan perindustrian dan perdagangan bebas telah diwujudkan seperti di
Sungai Way, Hulu Klang, Telok Panglima Garang, dan Pelabuhan Klang.
Kini, sektor perindustrian di Negeri Selangor dipelopori oleh pembuatan komponen dan
produk berasaskan elektrik dan elektronik. Kerajaan Negeri tidak akan terlalu
bergantung pada pembuatan yang berasaskan elektrik dan elektronik semata-mata
kerana sektor pembuatan ini mempunyai saingan yang hebat daripada negara-negara
jiran seperti Thailand dan China yang mampu menyediakan kos tenaga buruh yang jauh
lebih murah.
Kerajaan Negeri menerusi Selangor State Investment Centre (SSIC) akan terus
berusaha dari semasa ke semasa menggalakkan pertumbuhan sektor perindustrian
Negeri Selangor dengan mentransformasikan sektor perindustrian kepada aktiviti
perindustrian yang lebih berteknologi tinggi, berasaskan pengetahuan dan
berorientasikan modal dan mesra alam. Penggalakan akan sentiasa diberikan ke atas
penglibatan industri-industri baru dan berpotensi besar untuk dikembangkan di negara
ini seperti industri bio-teknologi, industri penerbangan dan Green-Industry seperti
industri solar. Selain daripada itu, Kerajaan turut memberikan perhatian ke atas
pertumbuhan sektor perkhidmatan seperti Perkhidmatan Pelancongan, Perkhidmatan
Pendidikan dan Latihan, Perkhidmatan Perubatan dan Kesihatan dan Perkhidmatan
Logistik yang dilihat semakin penting dan mendapat tempat di kalangan masyarakat
pada masa ini.
Sebagai nadi utama penggerak ekonomi negeri, Kerajaan akan memastikan sektor
perindustrian di Negeri Selangor bukan sahaja berfungsi sebagai pusat pengeluaran
produk dan perkhidmatan yang terbaik, malah setiap pengeluaran yang dilakukan
mampu mewujudkan nilai tambah kepada pasaran produk khasnya, masyarakat dan
negeri secara amnya. -
Apakah dasar dan rancangan kerajaan dalam mentransformasikan sektor pertanian?
Sektor pertanian turut menyumbang ke atas pertumbuhan ekonomi Negeri Selangor.
Walaupun catatan sumbangan sektor pertanian di dalam Keluaran Dalam Negara Kasar
(KDNK) negeri agak kecil, sektor pertanian telah mencatatkan pertumbuhan positif
berbanding sektor-sektor lain yang mencatatkan penguncupan semasa kemerosotan
ekonomi dunia dan negara pada tahun lalu.
Bagi memastikan sektor pertanian di negeri ini terus berkembang dan tidak diketepikan
dalam usaha pembangunan negeri, Kerajaan telah menyenaraikan Program
Peningkatan Hasil Padi sebagai salah satu program utama di dalam Pakej Rangsangan
Ekonomi. Inisiatif ini jelas membuktikan sikap prihatin Kerajaan kepada golongan petani
dan pesawah bagi meningkatkan hasil pengeluaran padi daripada 4.5 tan per hektar
kepada 7.5 tan per hektar. Peningkatan ini sekali gus akan meningkatkan pendapatan
para petani dan pesawah daripada RM14,475 kepada RM20,475 setiap sesi menuai.
Kerajaan Negeri akan tetap memberikan peruntukan dengan menyediakan bantuan dari
segi teknikal, latihan dan motivasi kepada para perani dan pesawah di negeri ini. Di
samping itu, Kerajaan Negeri menerusi Jawatankuasa Tetap Pemodenan Pertanian,
Pengurusan Sumber Alam dan Pembangunan Usahawan akan terus memperkenalkan
teknologi penanaman padi yang baru dan amalan penanaman yang baik dari semasa ke
semasa setiap kali teknologi berkembang dan berubah.
Pelbagai aktiviti pertanian yang dilaksanakan di negeri ini akan dipantau dan diberikan
bantuan sewajarnya mengikut keutamaan. Selain penumpuan kepada tanaman kontan
seperti getah dan kelapa sawit yang dijalankan secara berskala besar, bantuan dan
penekanan juga diberikan kepada pengusaha berskala sederhana dan kecil seperti
pengusaha tanaman buah-buahan dan sayur-sayuran. Pelaksanaan program
penanaman cendawan dan penanaman nanas dengan teknologi baru kini mula
mendapat tempat di kalangan pengusaha tempatan kerana teknologi yang
diperkenalkan dapat memaksimumkan pengeluaran. Kerajaan Negeri berharap agar
sektor pertanian negeri akan sentiasa berkembang dan proses pemodenan sektor
pertanian dapat direalisasikan.