Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Dewan Negeri Selangor Tahun 2010

12 Julai 2010 hingga 15 Julai 2010

157) PERBELANJAAN TAMBAHAN

Tahun: 2010

Sesi: 2

Isu: Kewangan & Ekonomi

Adun: Y.B. Tuan Lau Weng San

Kategori: Mulut

Sub Soalan

  1. Adakah kerajaan bercadang untuk membentangkan perbelanjaan tambahan pada akhir tahun ini di Dewan Negeri?

    Adalah dimaklumkan bahawa pertimbangan mengadakan bajet tambahan oleh
    kerajaan Negeri adalah berdasarkan kepada keperluan dengan terlebih dahulu
    membuat keutamaan semula bajet sedia ada, mencari penjimatan sedia ada
    daripada program-program yang telah dibajetkan, mengkaji kedudukan jumlah hasil
    kerajaan semasa iaitu sama ada masih mampu menanggung tambahan
    perbelanjaan baru atau adakah kerajaan perlu membuat pinjaman dalam membiayai
    keperluan tambahan tersebut.
    Kedudukan semasa kewangan negeri sekiranya berada dalam kedudukan defisit
    perlu diambil kira memandangkan ianya akan melebarkan lagi defisit kewangan
    kerajaan. Sehubungan dengan itu sama ada Kerajaan bercadang untuk
    membentangkan perbelanjaan tambahan pada akhir tahun ini akan dibuat
    berdasarkan pertimbangan yang dinyatakan di atas.

  2. Mengapakah kerajaan tidak membuat perancangan awal seberapa teliti yang mungkin dalam belanjawan kerajaan negeri supaya tidak perlu dibentangkan perbelanjaan tambahan?

    Untuk makluman, belanjawan Kerajaan Negeri yang dibuat pada masa ini adalah
    belanjawan seimbang iaitu anggaran perbelanjaan adalah bersamaan dengan
    jangkaan hasil yang diterima. Oleh itu perancangan awal yang dibuat adalah
    berdasarkan kepada anggaran perbelanjaan dan jumlah jangkaan hasil yang
    diterima.
    Kerajaan Negeri telah membuat bajet tambahan pada tahun 2009 memandangkan
    terdapat program-program baru yang dilaksanakan iaitu program Merakyatkan
    Ekonomi Selangor yang perlu dilaksanakan dalam tempoh 2 tahun ini. Walau
    bagaimana pun Kerajaan Negeri akan mengawal perbelanjaan ini dan sebarang
    perlaksanaan program tidak dibuat dengan sewenang-wenangnya tanpa keperluan
    yang mendesak. Dengan itu Kerajaan Negeri perlulah berhemah dan merancang
    perbelanjaan dengan memberikan keutamaan kepada projek atau program yang
    penting dan mempunyai impak kepada pembangunan dan kesejahteraan rakyat.
    Untuk makluman, keutamaan bagi mengadakan bajet tambahan adalah dengan
    mengutamakan tambahan bajet bagi perbelanjaan locked–in iaitu satu perbelanjaan
    yang mesti diberikan seperti emolumen, sewaan, biasiswa dan lain-lain.
    Perbelanjaan tambahan juga perlu dibuat jika terdapat keputusan dasar oleh
    Kerajaan negeri ke atas program atau aktiviti yang tidak dibajetkan atau tidak
    disediakan peruntukan yang mencukupi pada tahun semasa.

Lampiran

Tiada Lampiran.